Thursday, March 9, 2017

Figura tersembunyi dalam sejarah Malaysia

AWAS: Figura tersembunyi dalam sejarah Malaysia
Pada 8 Mac 2017
oleh Jamaliah Jamaluddin
Tangan yang menghayun buaian juga mampu menggoncang dunia. Wanita yang mampu menjaga keluarga juga berupaya mengamankan dunia!

Baru-baru ini, sebuah filem bertajuk Hidden Figures telah menarik perhatian saya. Hidden Figures ini menceritakan kisah tiga orang wanita yang telah memberi sumbangan yang amat besar besar pada negara mereka dan juga agensi angka lepas Amerika, NASA, tetapi kisah mereka telah disorokkan dan jasa mereka dilupakan dengan mudah, hanya kerana mereka wanita.

Setiap kali, apabila tibanya Hari Wanita Sedunia, kita akan berbicara tentang wanita dan peranan wanita dalam masyarakat. Sempena sambutan Hari Wanita Sedunia, seringkali ramai akan memuji peranan dan kepentingan adanya wanita. Biasanya, kita akan berkata tanpa wanita, siapalah yang akan menjaga makan minum anak-anak? Tanpa wanita, siapalah yang akan memastikan sebuah keluarga dalam keadaan yang teratur? Paling penting, selain wanita, siapa lagi yang mampu melahirkan anak dan menyambung zuriat di dunia ini? Bukankah itu peranan yang teragung dalam dunia? Lelaki setentunya tidak dapat melahirkan, sepertimana wanita mampu melakukannya. Sekurang-kurangnya teknologi kita masih tidak lagi membenarkan. Tetapi, pengiktirafan seperti ini amat mengecewakan saya.

Memang benar. Kita boleh melahirkan anak. Memang benar. Meneruskan tamadun manusia adalah satu perkara yang mengagumkan. Tetapi, adakah itu sahaja peranan wanita dalam kehidupan ini? Itu sahaja pengiktirafan yang layak diterima, sebagai mesin melahirkan anak? Saya tidak setuju.

Mengapa sehingga kini, selalunya wanita hanya layak untuk menjadi watak sampingan? Tak kira dalam bidang apa sekalipun, wanita sering dilihat sebagai sidekick kepada lelaki. Malah, tidak kira di mana-mana organisasi, semakin tinggi sesebuah jawatan, semakin rendah peratusan wanita yang akan memegang jawatan tersebut berbanding lelaki. Tetapi sebenarnya, wanita juga telah banyak menyumbang dalam tamadun manusia. Wanita juga telah mencipta sejarah.

Wanita juga merupakan penggerak dunia. Namun, pengiktirafan terhadap wanita dalam sejarah acap kali amat menghampakan. Walaupun wanita turut menyumbang separuh tenaga kerja di dunia ini tetapi selalunya, cerita atau sejarah perjuangan wanita hanyalah sebahagian kecil dalam buku teks. Adakah ini sebabnya gelaran sejarah dalam Bahasa Inggeris adalah history dan bukannya herstory? Ataupun sekurang-kurangnya ourstory?

Sempena Hari Wanita Sedunia, saya ingin mengucapkan terima kasih pada srikandi-srikandi kemerdekaan yang telah menyalakan api juang dalam diri dan memberanikan diri untuk bangkit melawan. Saya ingin mengimbas kembali salah satu perjuangan awal wanita Tanah Melayu menentang penjajah, iaitu Angkat Wanita Sedar (AWAS).

Tidak kira mereka ini dari sayap kanan atau kiri, jangan kita menidakkan fakta yang mereka telah memperjuangkan kemerdekaan untuk kita semua. Pada saya, pengiktirafan sejarah ini sangat penting, kerana ianya satu sejarah yang mendidik kita, walaupun sebelum kemerdekaan, wanita-wanita kita sudah berani bangkit dan bergerak aktif dalam politik. Wanita-wanita kita juga terlibat sebagai barisan hadapan yang membuktikan bahawa kemerdekaan bukan sahaja dicapai dengan pengorbanan wira-wira kita tetapi juga dengan sumbangan srikandi-srikandi yang berani melawan penjajah demi mengejar kebebasan dan kemerdekaan.

Bahkan jadikanlah bulan Mac kali ini sebagai satu sambutan peringatan bahawa dunia ini dimiliki oleh lelaki dan juga wanita. Jadikan bulan ini satu bulan untuk memperingati tokoh-tokoh wanita yang telah memperjuangkan hak wanita dan kemerdekaan tanah air kita. Jadikan bulan ini satu bulan untuk meperingati Khatijah Sidek, Tan Sri Aishah Ghani, Eng Ming Ching (Suriani Abdullah), Shamsiah Fakeh dan srikandi-srikandi lain yang bangun melawan penindasan dan mengejar kemerdekaan.

Dan jikalau inilah kali pertama anda pernah mendengar nama – nama diatas, jadikanlah bulan ini sebagai satu bulan yang khas untuk mengenali mereka. Jadikanlah bulan ini bulan menyelongkar Hidden Figures kita, yang telah memilih untuk melalui jalan yang lebih susah, jalan yang meletakkan senduk dan mengangkat senjata, demi cinta mereka terhadap tanah air ini. Seharusnya jangan kita terus menyembunyikan mereka daripada sejarah kita.

Kerana satu hari nanti, jika takdir saya mempunyai seorang anak perempuan, saya impikan dia untuk berani mengejar bintang. Saya berharap dia akan sedar bahawa wanita juga mampu untuk mengecapi apa sahaja di dunia ini. Saya mahu dia tahu bahawa kita juga mempunyai tokoh-tokoh wanita yang lantang bersuara untuk memulakan perubahan.

Dan sekiranya takdir saya mempunyai seorang anak perempuan, saya berdoa pada masa dia dilahirkan, dunia sudah sebenar-benarnya melihat wanita berdiri seiring bersama lelaki, dan bukannya hanya teman sampingan.

Selamat Hari Wanita Sedunia!

*Jamaliah Jamaluddin ialah Ahli Majlis MBPJ dan Pembantu Khas kepada ADUN Damansara Utama Yeo Bee Yin. Jamaliah juga adalah cucunda kepada srikandi bangsa, Shamsiah Fakeh.

No comments:

Post a Comment