Saturday, March 25, 2017

Bodoh ke apa? Tapi Cikgu Wan Rahim kata 'darat@jakun'!

HUSAM YANG BANGUN BERTANYA. HUSAM YANG TIDAK DIJAWAB. HUSAM JUGA YANG DIHALAU KELUAR.

Saya masih ingat. Cikgu selalu menasihati kita, semasa peperiksaan penting seperti SPM dan STPM, jika ada yang kita tidak faham termasuk soalan yang agak mengelirukan, kita boleh angkat tangan dan bertanya kepada Pengawas Peperiksaan.

Demikian termasuk juga perkara-perkara yang kita perlukan penjelasan mudah. Angkat tangan kepada Pengawas dan Pengawas wajar memberikan perhatian serta pertolongan dalam ruang lingkup yang diizinkan. Begitu juga, meminta kertas tambahan untuk menjawab soalan peperiksaan. Pendek kata ianya boleh, dibenarkan dan wajar.

Apatah lagi jika seseorang Ahli Dewan berdiri di Dewan yang mulia untuk meminta penjelasan daripada Ketua Pentadbiran Kerajaan Negeri darihal kelayakan seseorang EXCO AGAMA di bawahnya yang wewenangan mengeluarkan pelbagai "fatwa" dan hukum sehingga kepada hal-hal yang para ulamak pelbagai kelayakan sendiri berkhilaf pandangan.

Jika Dewan Peperiksaan boleh memberi perhatian dan respon yang baik kepada seorang Calon Peperiksaan, maka apatah lagi sebuah Dewan Mulia tempat semua Wakil Rakyat bersidang untuk bertukar-tukar fikiran bagi kemakmuran negara dan juga negeri.

Seorang Wakil Rakyat yang bangun adalah membawa mandat rakyat dan parti yang diwakilinya. Pertanyaannya _simple_ iaitu apa kelayakan Exco Agama rancak berfatwa bagai itu. Adakah pertanyaan itu terlalu sukar dijawab sehingga perlu diarah Bentara mengangkat Cokmar DiRaja guna menghalau seorang Ahli Dewan yang bangkit bertanya untuk pencerahan ummat khususnya di luar sana?

Saya bersetuju jika seorang Wakil Rakyat itu  diarah keluar Dewan kerana dia membuat kekacauan lantaran tidak berpuas hati dengan semua jawapan berkaitan setelah dijelaskan berkali-kali. Barangkali. Tetapi menghalaunya kerana mengemukakan pertanyaan yang tidak langsung dijawab adalah suatu yang sangat memalukan, merendahkan  Dewan yang mulia. Sekaligus menimbulkan lebih banyak persoalan.

*AIMAN ATHIRAH AL JUNDI*
23 Mac 2017 


1 comment:

  1. Terciptalah sejarah baru di Dewan Rakyat negeri Kelantan. Kan bagus dalam perlembagaan Dewan, speaker dipilih sendiri oleh Sultan dinegeri2 sendiri dan di parlimen oleh Agong. Bukannya wakil dari parti politik yg menang. (cadangan) lebih semak imbang dan tidak berat sebelah. Wallahua'alam...

    ReplyDelete