Saturday, March 25, 2017

Nasionalisme yang menggerunkan

ELVIZA MICHELE KAMAL
25 MAC 2017
HARAPAN. Satu perkara yang paling menjahanamkan. Tetapi setiap orang ha-nya dapat meneruskan hidup, sekonyong-konyong masih percaya harapan itu tadi.

Samalah juga sistem dan pegangan sosial masyarakat sejagat seperti nasionalisme, patriotisme, sosialisme dan liberalisme. Mereka ini semarak dalam api yang sama; harapan untuk mencari modul kehidupan terbaik insan.

Yang paling ketara dewasa ini adalah kebangkitan nasionalisme seantero dunia - malah trend nasionalisme hampir homogen di rantau Eropah dan Amerika Syarikat. Nasionalisme dan patriotisme itu berbeza walaupun keduanya sering dihubung kait dalam penjelasan yang samar.

Penulis esei George Orwell telah melakar garis yang jelas membezakan. Patriotisme adalah semangat, kesetiaan dan kasih sayang seseorang terhadap sesebuah tempat dan cara hidup tertentu - di mana kesetiaan tersebut dikira terbaik untuk dia dalam seluruh dunia, tetapi dia tidak akan memaksa orang lain untuk percaya kepada paksi kesetiaannya. Patriotisme secara harfiahnya berbentuk defensif daripada segi militer dan budaya.

Manakala nasionalisme tidak boleh dipisahkan sama sekali daripada kehendak untuk memiliki kuasa yang meruap-ruap. Berbeza bukan? Mungkin nasionalisme bunyinya gah ketika Malaysia, Indonesia dan rantau Asia masih berantakan untuk mencapai kemerdekaan dari genggaman rejim kolonial.

Tetapi apa yang sedang marak sekarang tidak sama. Apa yang sedang kita saksikan adalah sejenis nasionalisme lebih menjurus ke arah ketulenan bangsa, warna kulit, keturunan dan kemampuan ekonomi seseorang.

Donald Trump, misalnya, telah berjaya meyakinkan 61 juta pengundi dengan janji kempen untuk menjadikan Amerika hebat semula. Frasa Make America Great Again” itu tidak inklusif, tersendiri, malah tersasar dari kepercayaan liberalisme yang menjadi pegangan negara demokratik kedua terbesar dunia, pasca Perang Dingin.  

Janji-janji pilihan raya Trump yang lain turut berbaur nasionalisme di mana dia berjanji untuk membina kubu sepanjang sempadan Texas – Mexico, mengharamkan orang Islam masuk ke Amerika dan menghantar pulang 11 juta pendatang asing tanpa dokumen.

Sebelum Trump dan janji-janji nasionalisnya menang di Amerika, Britain terlebih dahulu memilih untuk keluar dari gagasan Kesatuan Eropah (EU). Ia menghantar mesej jelas tidak tertala yang menggegarkan benua Eropah: Britain mendakap nasionalisme dan populisme. Para penyokong referendum Brexit percaya bahawa keputusan untuk keluar dari Kesatuan Eropah getir dalam mempertahankan dan mengembalikan semula identiti, budaya dan kemerdekaan Britain di mata dunia.

Perancis apa kurangnya – tanah kelahiran Revolusi Perancis (1789) yang unggul, di mana  kesamarataan dan kebebasan diperjuangkan – kini tidak lagi ghairah dengan konsep globalisme. Perancis, jika dibandingkan dengan Britain, sememangnya tak senang kehadiran migran Islam di negara mereka.

Bekas presiden yang sudah menyatakan hasrat untuk bertanding semula dalam pilihan raya presiden Perancis 2017 dengan angkuh berkata; "sekiranya kamu rakyat Perancis maka nenek moyang kamu adalah Gauls." Beliau menolak migran yang tidak bercakap dan mengikut cara hidup orang Perancis; migran yang enggan memeluk konsep asimilasi. Dan menurut Sarkozy bila berada di sekolah, anak-anak yang beragama Islam boleh mengambil makanan lain selain dari makanan berasaskan khinzir.

Dalam kata-kata lain, Perancis tidak bertanggungjawab untuk menyediakan makanan mengikut kepercayaan agama kaum minoriti.

Calon paling popular untuk menang pilihan raya presiden Perancis tahun depan dari parti National Front, Marine Le Pen, awal-awal lagi sudah berjanji mengadakan referendum Frexit untuk keluar dari EU. Manakala lawan Le Pen dari parti Republicans, Francois Fillon percaya bahawa Perancis bukan sebuah negara yang mendakap kepelbagaian budaya. Perancis adalah Perancis: tulen dan tersendiri.

Kebangkitan nasionalisme seperti ini menjadikan arus globalisasi dan liberalisme hambar persis falseto. Tapi dalam gemuruh nasionalisme Eropah, rakyat Netherland telah menghantar mesej berbeza: segala yang populis dan bersandarkan nasionalisme cuma gah semasa berkempen, hambar bila bertemu hakikat. Rating calon Trump versi Belanda, Greet Wilders naik mencanak sebelum hari mengundi, namun Perdana Menteri Mark Rutte tetap menang pilihan raya.

Percayalah, pilihan raya Eropah pasca pilihan raya Netherlands akan disaksikan dengan tegang oleh dunia – Perancis, Jerman dan kemungkinan Itali selepas ini, demi menentukan sama ada EU akan kekal bersatu atau sebaliknya.

Jika EU berpecah, dari sudut ekonomi, ia akan memaksa Asean mengukuhkan integrasi ekonomi serantau dan memastikan negara-negara ahli anggota dilindungi dari ketidaktentuan perdagangan antarabangsa.

Tetapi dari sudut politik, perkara nasionalisme yang popular dewasa ini tidak boleh ditafsirkan semudah melepas batok di tangga. Apatah lagi semasa negara berada di ambang pilihan raya ke-14 seperti ini.

Nasionalisme yang terkurung dan populisme tanpa sempadan (hanya semata untuk meraih undi) adalah penasihat yang paling curang dalam mana-mana pentadbiran. Orang yang berani menentang moral sesuatu zaman, adalah orang yang sebenarnya mendahului zaman. Populariti itu sementara, manakala polisi dan pentadbiran mantap itu merintis jalan yang ideal untuk semua.

No comments:

Post a Comment