Wednesday, March 22, 2017

Mampukah Amanah lolos ujian awal?

16 Mac 2017 | AHMAD LUTFI OTHMAN
Apakah Parti Amanah Negara (Amanah) bakal menemui kegagalan, mengulangi sejarah parti-parti serpihan Pas, misalnya Berjasa dan Hamim? Atau, mungkin ia terpaksa diserapkan ke dalam parti pembangkang yang lebih besar, contohnya digabungkan bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR)?
Apakah Amanah akan diberi kepercayaan penuh oleh rakan-rakannya dalam Pakatan Harapan untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Pas? Sedangkan, dalam masa sama kedudukan Pas sendiri belum diputuskan secara muktamad, terutama apabila PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih tidak berputus asa untuk terus berunding dengan pimpinan parti Islam itu walaupun menemui jalan sukar.
Ya, sebahagian memandang remeh dan rendah keupayaan Amanah. Ada pula yang masih belum memahami alasan mengapa ia perlu ditubuhkan, termasuk pihak yang dekat dengannya.
Lebih malang, parti baharu ini bukan saja berdepan tekanan elit penguasa - seperti lazimnya parti pembangkang - malah mencetuskan kecurigaan di kalangan parti rakan dan terus-menerus menerima tohmahan dan label negatif daripada Pas. Hatta nama rasmi parti, Amanah, juga diperolok-olokkan; sering dirujuk sebagai pengkhianat atau PAN, dengan istilah menyindir, parti kuali!
Tidak kurang yang mempersoalkan keupayaan Amanah untuk mempengaruhi pengundi Melayu, terutama di kawasan luar bandar dan penempatan Felda. Mungkin parti itu boleh mendapat tempat di hati pengundi kota, khususnya masyarakat Tionghua, tetapi sukar diterima pengundi Melayu di kampung tradisional.
Momentum penghijrahan ahli Pas ke dalam Amanah pula seperti tersekat, selepas gelombang pertama sejurus ia ditubuhkan.
Walaupun berjaya mewujudkan pangkalan di setiap kawasan Parlimen terutama di Semenanjung, tetapi jumlah keahliannya dipercayai tidak begitu meluas.
Pas pula mempamerkan aktivitinya, yang masih menerima kehadiran ramai, di samping permohonan menjadi ahli yang semakin bertambah setiap bulan.
Dr Mazlan AliDr Mazlan AliNamun, dalam masa sama, ramai penganalisis politik menyimpan harapan lebih besar terhadap potensi Amanah, sebuah lagi parti Islam di negara ini. Pensyarah kanan Perdana School, Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mazlan Ali, yang sering muncul di kaca TV mengulas isu-isu politik, mempunyai tanggapan tersendiri.
"Amanah parti yang sangat muda, justeru peluang perlu diberi untuknya berkembang seiring perkembangan masa. Meskipun Pas dan Umno adalah dua parti Melayu yang dominan, ini tidak bermakna Amanah tidak mempunyai kemampuan menguasai sokongan Melayu.
"Malah saya melihat ia mampu memikat beberapa segmen pengundi, misalnya Melayu bandar, Melayu semi bandar, Melayu berpendidikan, Melayu yg berkarakteristik mobile, Melayu yang menjiwai semangat Islam progresif dan golongan muda Melayu," ujarnya, dalam satu pertemuan, baru-baru ini.
Julai 2015, mengulas penubuhan Gabungan Harapan Baru (GHB) oleh pimpinan Pas yang tewas dalam muktamar parti di Kuala Selangor, yang kemudiannya menjadi tapak awal kepada Amanah, Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Agus Yusof mengulas:
"Walaupun sejarah menunjukkan sukar bagi parti serpihan kekal kuat, tetapi dilihat kepada semangat golongan kelas pertengahan dan anak muda yang mahukan perubahan politik serta masalah yang dihadapi kepemimpinan Umno sekarang, ada banyak ruang yang boleh digunakan oleh kumpulan progresif untuk menarik sokongan rakyat. Gunalah ruang itu sebaiknya."
Dr Agus turut kecewa dengan sikap dan pendirian politik pemimpin Pas yang ada.
"Tanpa kumpulan progresif ini, tiada lagi pemimpin Pas yang kelihatan merakyat dan memahami isu-isu semasa negara. Tiada lagi kenyataan menarik dari pemimpin Pas untuk mengulas isu Felda, GST, 1MDB dan lainnya," tambahnya.

Seorang lagi pensyarah, bergelar profesor madya mengaitkan Pas umpama tongkat kepada Perdana Menteri, yang memperkukuhkan kedudukan Najib Razak ketika dia hampir rebah, walaupun diselubungi pelbagai skandal mega.
"Jika Pas berada bersama grand coalition pembangkang, mungkin Najib sudah tumbang," katanya sambil menambah, "tapi Pas keliru untuk mengambil pendirian tegas."
Justeru, begitu ramai rakyat di luar sana, yang jumlahnya jutaan orang, kecewa untuk melihat satu kolisi yang mantap untuk menyaingi BN. Inilah masa terbaik untuk menyaksikan peralihan kerajaan, apatah lagi dalam masa sama Umno menghadapi krisis dalaman yang serius apabila Dr Mahathir Mohamad bertungkus-lumus, siang malam, berkempen menjatuhkan BN-Najib.
"Hala tuju politik Pas semakin sempit dan saya percaya politik bunuh diri Pas ini akan membuat mereka tersudut dalam arus utama politik tidak lama lagi, selain kehilangan sokongan orang Melayu," kata Dr Mazlan.
Istilah "politik bunuh diri" ini digunakan oleh ramai pengulas termasuk sarjana media, Dr Janet Steele, Universiti George Washington, merujuk perkembangan terkini Pas dan pembangkang di negara ini.
"Sejak 2008 saya perhatikan politik Malaysia ada harapan dan potensi yang baik, tetapi realiti sekarang agak mengecewakan," katanya dalam kunjungan ke Kuala Lumpur.
Menyanggah tohmahan bahawa Amanah sukar berkembang dan mungkin gagal mengisi kekosongan Pas, Dr Mazlan menyifatkan kewujudannya sama sekali berbeza dengan kewujudan parti serpihan Pas sebelumnya.
"Amanah wujud disebabkan pertembungan aliran pemikiran, idea dan fikrah dalam Pas. Pas berpecah kepada dua aliran iaitu aliran konservatif dan aliran progresif. Aliran progresif akhirnya membentuk Amanah.
"Amanah adalah satu gerakan berbentuk harakah dan tajdid, justeru ia bergerak dalam lingkungan menyeluruh iaitu dari akar (grassroot) hingga ke pucuk (kepimpinan). Ia berpotensi untuk survive lebih lama, sama seperti Pas dalam Umno dahulu, berpecah dan bergerak dalam aliran tersendiri, ideologi Islam," ujarnya sambil menekankan kewujudan Berjasa dan Hamim bukan disebabkan pertarungan aliran pemikiran tetapi survival pemimpin.
Kassim Muhamad (kiri) bersama Pak Samad
Ditanya justifikasi penubuhan Amanah, aktivis kebudayaan, Kassim Muhamad, yang juga antara pengasas Seniman Paksi rakyat (Paksi) berkata: "Punca utama penubuhan parti Islam yang baharu ialah kegagalan saf kepimpinan Pas menghayati prinsip berorganisasi yang telus, terbuka dan demokratik.
"Kita di luar Pas pun dapat merasakan bahawa ada agenda tersembunyi yang sengaja dibawa secara diam-diam. Ini adalah agenda Melayu-Islam yang sangat ketara. Pendekatan untuk tidur sekelambu dengan Umno sangat melukakan."
"Amanah perlu fokus kepada usaha mendapat sokongan rakyat dan bukannya melayan kebadutan Pas," tambah Kassim. "Amanah mesti terus mara dengan menjuarai isu-isu rakyat. Itu sudahpun dilakukan Amanah tapi ia mestilah ditingkatkan," ujarnya.
Menyentuh tanggapan bahawa orang ramai semakin tidak berminat dengan isu-isu politik dan kenegaraan, Kasim berkata, rakyat termasuk anak-anak muda sudah letih dan bosan dengan antiknya para politikus.
"Mereka tak lagi melihat orang politik sebagai mereka yang bersih dan bercakap benar. Amanah boleh perbaiki aspek ini," katanya.
Persepsi Pas tidak lagi menentang regim Umno atau seumpamanya sudah pasti dibantah majoriti kepimpinannya dan dianggap fitnah untuk memburuk-burukkan maruah parti Islam. Namun, tidak mudah menolak andaian itu jika merujuk hubungan selesa Umno-Pas dan dalam masa sama timbul pelbagai masalah dan kerenah antara Pas dengan oposisi lain.
Tarmizi Mohd Jam Tarmizi Mohd JamTarmizi Mohd Jam, Pengarah komunikasi Amanah Wilayah Persekutuan lebih suka berterus-terang tentang masa depan parti itu.
"Sambutan orang muda di KL sangat perlahan. Mungkin tiada tokoh anak muda yang terajui Amanah Wilayah. Tiada event gila-gila, menonjol ditampilkan. Tiada mobilisasi khusus ke arah tarik anak muda sertai Amanah. Pemuda sekadar menjaring ikan yang tersangkut lekat, hasil tidak lumayan," katanya.
Apa pun, menurut Tarmizi, berdasarkan kerja kuat ahli, keupayaan pimpinan negeri dan nasional, tidak mungkin Amanah senasib Berjasa dan Hamim.
"Teras Amanah didukung aktivis yang segar, kreatif dan inovatif. Sifat peduli juga jadi daya tarikan masyarakat.
"Namun ia bergantung kerusi yang diraih dalam PRU14 kelak. Jika sifar, ia ada kesan kepada kemurungan parti selepas itu. Amanah perlu pastikan kerusi tertentu yang boleh menang diberi fokus.
"Sudah tepu untuk mengharapkan ahli Pas sertai Amanah kecuali Pas secara terbuka isytihar bersama Umno," rumus Tarmizi sambil mengakui sedikit sekali penyertaan ahli Umno atau "orang atas pagar".
Ditanya hubungan Amanah dengan parti pembangkang lain di Wilayah Persekutuan, beliau mengakui hubungan ada sedikit tidak sihat dengan PKR gara-gara ada pihak mahu berbaik dengan Pas.

"Kami belum berjaya luncurkan Pakatan Harapan peringkat Wilayah. Harapnya dapat dibuat secepat mungkin, apatah lagi dengan penyertaan Bersatu," kata Tarmizi lagi.
Sementara itu Dr Mazlan menggariskan tiga cabaran besar Amanah. Ia mesti terus teguh mengukuhkan tahaluf siasi dengan parti-parti dalam blok pembangkang. Kedua, membuka pintu rundingan, mempertimbangkan apa juga cadangan yang baik, tetapi mesti menolak sebarang cadangan supaya Amanah tidak menyertai PRU14.
Dari segi pengembangan parti, kata Dr Mazlan, ahli dan pemimpin Amanah perlu menggandakan usaha menambah cawangan dan ahli.
"Sasaran utama Amanah adalah pengundi Melayu. Pengundi Melayu perlukan sentuhan (touching), tidak seperti kaum Cina. Perhatian perlu diberikan kepada golongan miskin bandar, tubuhkan pusat khidmat, one stop center, untuk menyantuni rakyat. Di luar bandar, ahli dan kepimpinan Amanah perlu sertai institusi rakyat seperti surau, masjid, persatuan dan agensi kerajaan," tambahnya.
Beliau juga melihat cabaran besar lainnya adalah serangan musuh Umno dan Pas- bahawa Amanah adalah proksi DAP.
"Persepsi ini diperkuatkan dengan tujuan untuk melemahkan sokongan orang Melayu kepada Amanah," tambah Dr Mazlan.
Sesungguhnya rintangan dan cabaran buat parti baru ini begitu sengit-kritikal. Amanah memang sebuah parti masa depan yang begitu menjanjikan, tetapi apakah ia mampu lolos ujian awal ketika ini, apatah lagi ia menjadi sasaran percubaan "bunuh" oleh pelbagai pihak?
Bersediakah parti-parti rakan memperuntukkan jumlah kerusi yang munasabah dalam PRU14 kepada Amanah? Apakah gabungan mega pembangkang kali ini tidak akan berlaku gejala "tikam belakang" bagi menampilkan kesatuan yang benar-benar mantap? Berjayakah impian satu logo direalisasikan, untuk memudahkan rakyat membuat keputusan menyokong satu-satunya parti lawan kepada BN?

5 comments:

  1. Parti Ayam Negara dijangka menguasai semua negeri Pantai Timur, Selangor serta 60 kerusi Parlimen dalam GE14 nanti!
    ..... muahahahahhahahahahahaha

    ReplyDelete
    Replies
    1. Parti Ayam Sabung tetap akan diminati sampai bila2... sebab ramai kaki sabung ayam

      Delete
    2. Parti Babi seMalaysia (PIGS) pun dijangka menguasai Kelantan, Kedah, Perak, Selangor dan Terengganu
      hahahahahakkktuuuiii!!!

      Exco agama pun tak lulus periksa, kalau walaun lagi teruklah macam tu!!!

      Tanda2 walaun bodoh, ada pilihan antara yang halal dan haram yang dipilihnya.... pigs hahahamuuaahhAAHA

      Delete
  2. tinggalkan badut terus pecut

    ReplyDelete
  3. Istiqamah lebih bagus dari berdusta dalam percakapan. Disana cakap lain, disini cakap lain. Mcm tu ka ulama yg pentaksub bangga2kan??? Sayang, nama ja ulama tapi xdak rasa rendah diri dalam percakapan atau perbuatan. Kalau dah ulama itu pewaris kepada Nabi sepatutnya sifat2 nabi tu ada jgk dalam diri walaupun sedikit. Wallahua'alam...

    ReplyDelete