Tuesday, March 28, 2017

Rempuh remaja berbasikal: Pemandu dihadapkan ke Mahkamah mengaku tidak bersalah

Lapan remaja maut: Tertuduh mengaku tidak bersalah
28 MAC 2017
Lapan remaja maut: Tertuduh mengaku tidak bersalah Tertuduh (baju merah) dibawa keluar dari kamar perbicaraan.

JOHOR BAHRU - Seorang jurujual dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga mengakibatkan kematian, Februari lalu.

Tertuduh, Sam Ke Ting, 21,  bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret, Salina Omar.

Mengikut kertas pertuduhan, wanita berkenaan didakwa memandu kenderaan di atas jalan raya dengan cara melulu atau dengan cara merbahaya setelah mengambil kira tentang segala hal keadaan jalan (termasuk jenis, keadaan dan ukuran jalan tersebut).

Dalam kejadian kira-kira jam 3.20 pagi pada 18 Februari di Jalan Lingkaran Dalam itu, tertuduh didakwa memandu secara melulu sehingga mengakibatkan kematian lapan remaja yang sedang berbasikal di kawasan berkenaan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kertas siasatan kemalangan basikal diserahkan kepada TPR]

Lapan penunggang basikal berkenaan adalah, Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14 ;Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimee, 14 ;Muhammad Firdaus Danish Mohd Azhan, 16 ;Fauzan Halmijan, 13 ;Mohamad Azhar Amir, 16 ;Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14 ;Muhammad Shahrul Nizam Maruddin, 14 dan Haizad Kasrin,16.

Tertuduh dengan itu didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga mengakibatkan kematian lapan remaja berbasikal berkenaan.

Ia memperuntukkan hukuman penjara minimun dua tahun dan maksimum 10 tahun selain didenda antara RM 5,000 hingga RM20,000 selain lesen memandu digantung sekiranya sabit kesalahan.

Salina kemudiannya menetapkan 13 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes selain mengarahkan pasport dan lesen memandu tertuduh di serahkan kepada mahkamah sehingga tamat prosiding.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Roslan Mat Nor manakala tertuduh diwakili peguam, Faizal Mokhtar dan Bustaman Menon.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan lapan remaja maut dipercayai dirempuh kereta jenis Nissan Almera di Jalan Lingkaran Dalam berhampiran Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah, 18 Februari lalu. - sumber asal

Kaitan: Malang berbasikal tengah malam dekat kubur, 8 remaja maut

2 comments:

  1. memandu secara melulu lulu
    kalau lu tak mati dulu gua dulu
    hukuman untuk pemandu kenderaan yang mengakibat kematian secara pemanduan bahaya perlu di beratkan lagi (manusia perlu dididik dan dihukum)
    sesiapa orang ynag membahayakan pengguna jalan raya juga perlu dihukum berat
    keadilan untuk semua

    ReplyDelete
  2. Dengan keadaan kereta yang terbalik akibat kemalangan, itu jelas menunjukkan pemandu telah membuat brek mengejut untuk mengelak daripada melanggar budak-budak tersebut. Ada kemungkinannya juga dia telahpun cuba mengelak tetapi pada masa yang sama budak-budak tersebut juga turut mengelak ke arah laluan kereta yang sedang mengelak itu, akibatnya kena langgarlah juga. Maklum sahajalah diketika itu suasana tentunya gelap dan sudah pastinya pemandu hanya dapat melihat kumpulan budak-budak itu ketika telah tersangat hampir dan tidak cukup masa untuk berawas dari jauh lagi. Tambahan pula, sudah barang tentu budak-budak tersebut tidak memakai pakaian pembalik cahaya, atau berpakaian cerah serta basikal yang mereka gunakan juga tiada alat pemantul cahaya. Jika perbicaraan nanti memihak kepada pemandu itu, maka siapakah yang akan menanggung kerugian? Sudahlah anak-anak maut kemalangan diikuti pula dengan menanggung kos perbicaraan.

    Apa kata, selepas daripada ini acara LTDL yang dibuat disiang hari dan pesertanya pula bukan kepalang profesionalnya serta dewasa pula, tidak perlu kepada penutupan jalan dan pengawasan polis. Begitu juga dengan pekerja yang menyelenggara di jalanraya, jangan kata malam , disiang-siang hari pun mereka meletakkan kon keselamatan dan berpakaian mudah tampak dan jika diwaktu malam, siap dengan lampu berkelip lagi. Lainlah jika budak-budak itu sedang berborak di ruang tamu rumah salah seorang daripada mereka, tiba-tiba datang kereta merempuh, itu tidak syak lagi sudah tentulah salah pemandu.

    ReplyDelete