Wednesday, March 22, 2017

Tentang Tuhan: Susah dan rumitkah?

Tentang Tuhan, dan soalan rumit lain buat umat Islam
Farouk A. Peru | March 22, 2017
KOMEN
Peguam Siti Kasim tidak jemu dikritik di media sosial. Minggu lepas, heboh di kalangan pengguna Internet selepas Siti Kasim memuat naik pandangannya mengenai ketuhanan.

Dia dikatakan mengeluarkan pendapat pernah sangsi akan kewujudan Tuhan. Kononnya, sekiranya semua dalam alam semesta tercipta, Tuhan pun mestilah dicipta juga.

Dia dipetik sebagai berkata, getaran baik (positive vibrations) akan menghasilkan “tuhan yang baik” dan sebaliknya!

Sebuah artikel yang mengandungi berita tersebut mendapat puluhan ribu perkongsian dan gambar yang disertakan pun memaparkan Siti Kasim bergelak ketawa seolah-olah membuat lawak jenaka tentang Tuhan.

Komen yang diterima tidak mengejutkan langsung. Malah, tidak satu pun cuba berdepan pandangan Siti Kasim secara ilmiah. Kenapa jadi begini?

Jawapannya kembali kepada cara umat Islam, dan bukan sahaja Melayu Islam, dalam menghadapi cabaran terhadap pengetahuan mereka mengenai konsep ketuhanan.

Soalan susah

Mereka tidak diberi didikan bagaimana untuk menangani soalan sebegini. Mereka hanya diberi sifat 20 dan disuruh menghafal sifat tersebut.

Satu daripada sifat itu ialah Tuhan semestinya wujud. Di mana penghujahan di sebalik pernyataan itu? Tidak diberi!

Bagaimana pula bantahan tentang kewujudan Tuhan iaitu pendapat golongan ateis? Tentulah diharamkan dan tidak diberitahu langsung, jauh sekali dijawab.

Inilah situasi sedih sistem pendidikan Islam sejak zaman berzaman. Ia berpunca daripada apa yang boleh dipanggil sebagai “mentaliti hak keistimewaan” (privileged mentality).

Sejak dari kecil, orang Melayu Islam diberitahu mereka sudah dijanjikan tempat di syurga kerana beriktikad dengan cara yang betul. Ulama mereka merumuskan akidah yang terbaik dan mereka tidak perlu lagi bertungkus-lumus menyusahkan diri untuk memikirkan soalan-soalan ini.

Inilah yang membawa kepada ketaksuban, sebenarnya. Jadi apabila kita meningkat dewasa dengan mentaliti ini dan kita tiba-tiba berdepan dengan soalan yang mencabar iktikad kita yang sudah lama tertanam, maka emosi kita akan diapi-apikan dan kita akan memberi respon yang amat negatif.

Sebenarnya kita perlu sedar yang persoalan mengenai Tuhan ini adalah persoalan yang paling abstrak iaitu tidak dapat dipersifatkan dengan cara fizikal. Ini adalah kerana Tuhan dalam tradisi Islam adalah luar daripada alam semesta.

Tuhan bukanlah konkrit. Minda manusia tidak dapat memegang kepada konsep yang abstrak tanpa mencari misalan-misalan yang fizikal. Al-Quran juga menggunakan kiasan untuk memberitahu kita tentang sifat Tuhan seperti satu, dua dan “tangan” Tuhan!

Bukan itu sahaja, bahkan nama Tuhan (Asma al-Husna) juga digunakan untuk manusia seperti “Rahim” and “Karim”. Ini bukan merendahkan Tuhan kerana walaupun Tuhan mempunyai sifat yang sama, kapasiti untuk sifat tersebut sudah tentulah di tahap infiniti manakala kita manusia hanya memilikinya pada tahap yang sedikit sahaja.

Tuhan dan tradisi ilmu Islam

Namun begitu, kita dapat memahami konsep ini kerana ia berhubung dengan dunia yang kita kenal.
Sebenarnya tradisi ilmu Islam bukanlah baru kepada soalan sebegini. Mungkin tidak ramai yang tahu tetapi golongan ilmuwan pertama dalam sejarah Islam ialah muktazilah yang mementingkan penggunaan akal dalam agama.

Mereka tidak gentar berhadapan dengan soalan yang susah kerana mereka percaya yang wahyu dan akal adalah selari. Mereka menterjemah dan memberi komentar kepada kitab warisan falsafah Yunani. Boleh dikatakan yang umat Islam yang menjadi penyelamat kepada warisan ini.

Walaupun muktazilah kemudiannya menurun dan golongan Sunnah menonjol, namun tradisi logik mereka tidak lenyap. Tokoh Sunnah seperti Imam al-Ghazali tidak kurang hebatnya dalam bidang pemikiran.

Kitab “Munqidh min Al-Dhalal” karangan Al-Ghazali menceritakan perjalanan intelektualnya daripada dogma kepada logik dan akhirnya kepada tasawwuf. Ini menunjukkan yang pencarian kebenaran itu satu proses dan bukan boleh diperturunkan.

Layanan yang amat buruk yang diberikan kepada Siti Kasim melondehkan kedangkalan umat Islam di Malaysia. Kita seharusnya dapat berbincang dengan baik mengenai persoalan ini.

Keimanan itu bukan perkara yang boleh diwarisi daripada nenek moyang kita. Apabila ini berlaku, maka identiti yang dihasilkan bukanlah daripada iman tetapi daripada berpuak. Inilah yang mengakibatkan kepincangan.

1 comment:

  1. Sesungguhnya binatang (makhluk) yang seburuk-buruknya pada sisi Allah ialah orang-orang yang pekak dan tuli yang tidak mengerti apa-apa pun.

    Dan apakah manusia tidak memperhatikan bahwa
    Kami menciptakannya dari setitik air (mani), maka tiba-tiba ia menjadi penantang yang nyata!

    Allah bagi akai sikit saja kat manusia ada manusia dah mula bongkak

    kesian minah ni n pengikutnya

    ReplyDelete