Wednesday, March 22, 2017

Takutkan pendedahannya: Husam dihalau keluar Dewan

Wednesday, March 22, 2017
Husam dihalau keluar Dewan kerana takut pendedahannya
ULASAN
Bentara siap untuk bawa Husam keluar.

Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan ke lima penggal ke 13 yang berlangsung selama tiga hari bermula 20 hingga 23 Mac berakhir menjelang Zohor hari ini.

Persidangan kali ini dianggap sebagai persidangan terakhir untuk parlimen ke 13. Sebab itu beberapa orang Adun dari BN seakan mengucap sayornara kepada Dun Kelantan, dengan memohon kemaafan jika selama menjadi wakil dan berada dalam Dun itu melakukan salah dan silap.

Permohonan itu mungkin merasakan mereka tidak lagi akan bertanding dalam Piraum akan datang dan tidak lagi berada dalam dewan berkenaan. Setengahnya sudah lima hingga enam penggal berada dalam Dun berkenaan. Piraum ke-14 dijangka akan diadakan pada tahun ini. Manakala parlimen ke 13 genap pada Mei tahun depan.

Berbeza dengan Adun dari kerajaan (Pas), tidak ada seorang pun menyuarakan nada apologetik walaupun ada setengahnnya sudah empat penggal. Seolah-olah mereka yakin dalam sidang akan datang mereka masih akan memasuki Dun berkenaan. Optimis bahawa parti mereka masih menguasai Kelantan. 

Apapun sidang Dun terakhir ini mencatat sejarah dan membawa signifkan tersendiri. Sejak 27 tahun lalu Pas menguasai dewan berkenaan, dengan tiga orang Speaker, bermula dengan Allahyarham Omar Mohamad, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, kemudian terkini Abdullah Yakob, pada sidang kali ini menyaksikan seorang Adun dihalau keluar dibawah peraturan Dewan.
Abdullah Yaakob asalnya Imam Kampung.

Speaker Abdullah Yaakob telah memerintah bentara membawa Adun Salor, Husam Musa (Amanah) keluar apabila Husam enggan patuh arahan Speaker Abdullah Yaakob supaya duduk apabila permintaannya untuk mencelah semasa Adun Pasir Pekan (Ahmad Yakob) (Pas yang juga MB) menggulung perbahasan enggan memberi laluan.

Husam yang dinafikan haknya untuk mengambil peluang membahas titah ucapan Pemangku Sultan semalam dan pagi ini, mencuri peluang semasa Ahmnad menggulung perbahasan, dengan harapan ada ehsan dari MB itu tetapi gagal. Lebih dua kali Husam merayu meminta peluang kepada Ahmad tetapi tidak diendahkan. Entah macam mana kali ini Ahmad tidak jadi pemurah mungkin kerana terkesan dengan isu pembubaran Cawangan Pas Kampung Laut yang terletak dalam kawasannya. 

Husam respons untuk mendapat peluang itu apabila Ahmnad diawal penggulungan lunak merdu membaca ayat Quran menjelaskan Islam membenarkan perundingan dan menyatakan kehadiran setiap anggota Dewan untuk berbincang dan berunding demi kepentingan rakyat dan negeri, tetapi Ahmad tidak sedia menuruti apa yang dibaca seperti dimaksud ayat Quran itu.

Memandangkan Husam enggan duduk, Speaker yang sebelum ini menggunakan kuasa veto untuk menghalang Husam daripada berbahas selepas Dewan berhenti rihat, dengan angkuh menggunakan kuasa vetonya sekali lagi untuk memerintah Husam diiring keluar.

Tidak ada apa masalah bagi wakil tunggal Amanah itu dan boleh jadi beliau sengaja bertindak begitu untuk diperlakukan demikian kerana tindakan Speaker itu akan memberi keuntungan (political mileage)  kepadanya.

Orang diluar akan melihat Husam adalah pejuang rakyat yang berdiri di Dewan yang bangkit  membawa suara rakyat. Orang akan mentafsirkan suara Husam disekat kerana dia cuba membangkitkan apa-apa yang tidak betul dilakukan kerajaan.

Penyekatan itu akan diterjemahkan kerajaan sebagai pengecut dan cuba melindungi sesuatu keburukan dari dibentangkan dalam Dewan.  

Pemerhati di luar tentu suspen apakah yang akan dibangkit dan dibongkar kali ini sehinggakan dia dihalang. Tentu orang berfikir isunya besar dan mengejutkan?Tindakan itu tidak mengutungkan pihak kerajaan. 

Tindakan membawa Husam keluar itu adalah sejarah bagi Dun Kelantan. Sejarah yang anti klimeks. Pemerhati akan melihat Dun Kelantan sama juga dengan Dun-Dun negeri lain atau Parlimen sendiri yang dikuasai UBN yang dituduh sebagai bersikap tidak adil ke atas pembangkang selama ini.

Speaker khasnya di Parlimen sering menggunakan kuasa yang ada kepadanya untuk menutup keburukan dan mempertahankan wakil kerajaan dengan bertindak menggantung ahli dewan atau pun menghalau keluar.

Tindakan Abdulah itu bukan sahaja tidak demokratik, tidak adil dan tidak saksama tetapi dia mempertahankan sesuatu perkara yang boleh menjejaskan nama baik dan reputasinya sebagai Speaker. Tindakan itu tidak bijak dan menggambarkan beliau seorang pengadil yang gagal melaksanakan persidangan dengan adil dan berat sebelah. Apakah beliau faham fungsi dan falsafah seorang Speaker? 

Jelas beliau tidak bijak dan tidak reti mengira masa kerana hanya beberapa minit selepas beliau mengarahkan Bentara mengiring Husam keluar, beliau menangguhkan persidangan. Sungguh tidak berbaloi.

Rasanya belum sampai Husam melangkah meninggalkan pintu Dewan, Dewan ditangguhkan oleh Speaker. Bukankah lebih baik dan manis kalau beliau menangguhkan Dewan ketika semua 59 ahli Dewan berada di kerusi masing-masing memandang persidangan mungkin yang akhir. Tentu ia dilihat harmonis dan ini menggambarkan Dewan itu di sebuah negeri Islam. 

Sekiranya Abdullah mempunyai integriti dan mahu dilihat Speaker yang mesra Dewan dan  profesional beliau tidak menggunakan peraturan Dewan itu yang dikira paling akhir dan terdesak untuk menghalang Husam. Selamanya sejarah akan mencatat Abdullah telah mencorengkan punggungnya dengan dakwat hitam.

Beliau akan dianggap bukan sahaja seorang Speaker yang tidak adil, tidak profesional tetapi juga seorang Speaker yang digerahamnya dipasang ensel untuk mempertahankan kerajaan sehingga mengorbankan intergitinya seorang Speaker yang seharusnya terbuka dan adil bagi dihormati. Abdullah adalah penjaga pintu kurang berhemah lebih kejam dari Malik Zabaniah. [wm.kl. 1:20 pm 22/03/17]

Posted by mohd sayuti Omar at 2:02:00 PM

1 comment: