Monday, May 16, 2016

Usul di bawah peraturan mesyuarat 27(3) oleh Mahfiz

USUL DI BAWAH PERATURAN MESYUARAT 27(3) BAGI MERUJUK YANG BERHORMAT ROMPIN KEPADA JAWATANKUASA HAK DAN KEBEBASAN

Bahawa saya, Dato’ Haji Mahfuz Omar, Ahli Dewan Rakyat bagi kawasan Pokok Sena mohon mencadangkan bahawa Majlis ini hendaklah merujuk Ahli Dewan Rakyat bagi kawasan Rompin, Yang Berhormat Dato’ Hasan Bin Arifin kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

Bahawa Majlis mengambil maklum berkenaan Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara telah dibentangkan kepada Majlis pada 7 April 2016.

Bahawa Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara telah dipinda oleh Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, Dato’ Hasan Bin Arifin Ahli Dewan Rakyat kawasan Rompin tanpa persetujuan Ahli-Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara.

Bahawa Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara telah bertindak secara bersendiri tanpa mengikut tatacara Jawatankuasa apabila meminda Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara sebelum dibentangkan.

Bahawa Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara sendiri mengakui beliau telah meminda Laporan Jawatankuasa tanpa persetujuan semua Ahli Jawatankuasa.

Bahawa tindakan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara membuat pindaan kepada Laporan Jawatankuasa yang dibentangkan kepada Majlis telah mengubah dan menutup maklumat sebenar berkaitan laporan tersebut.

Bahawa tindakan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara meminda Laporan Jawatankuasa adalah suatu tindakan yang mengelirukan Majlis, Ahli-Ahli Majlis dan seterusnya menghina Majlis.

Oleh yang demikian, Yang Berhormat Ahli Dewan Rakyat kawasan Rompin merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara hendaklah dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

Sekian, terima kasih.

DATO’ MAHFUZ OMAR
Ahli Dewan Rakyat, Pokok Sena

No comments:

Post a Comment