Tuesday, May 3, 2016

Sikap 'cool' Amanah harus dipuji

Amanah hormati pilihan Mejar Zaidi, hasrat perangi fitnah Umno disanjung
02 Mei 2016 | MALAYSIA DATELINE
Mejar B Zaidi Ahmad

Parti Amanah Negara (Amanah) menghormati pilihan yang dibuat bekas ahlinya Mejar (B) Zaidi Ahmad memilih untuk menyertai Parti Tindakan Demokratik (DAP) semalam.

"Amanah ingin mengucapkan terima kasih kepada beliau di atas segala sumbangan dan pengorbanan semasa beliau bersama Amanah.

"Semoga segala sumbangan dan pengorbanannya akan diterima Allah sebagai satu amalan soleh dan diberikan ganjaran yang setimpalnya, kata setiusaha agung Amanah, Mohd Anuar Tahir dalam satu kenyataan hari ini.

Dari apa yang dijelaskan, kata Anuar penyertaan Zaidi bersama DAP adalah untuk menangani fitnah yang terus dilemparkan terhadap DAP khususnya oleh UMNO dan pihak-pihak tertentu bahawa DAP adalah parti anti-Melayu Islam yang mana Amanah menganggap cita-cita tersebut sebagai cita-cita yang murni, kerana ingin membela pihak yang dizalimi dan difitnah.

"Amanah menyedari bahawa perkauman adalah senjata paling ampuh yang kembali digunakan UMNO, maka keinginan Mejar Zaidi untuk mematahkan senjata ini difahami dan dikongsi bersama. Akan tetapi Amanah mempunyai kaedahnya tersendiri," katanya.

Rakan-rakan dalam Amanah kata beliau terus mendoakan semoga beliau terus maju dalam usaha memperjuangkan keadilan dan kebajikan bagi rakyat melalui DAP.

"Keputusan beliau untuk menyertai DAP adalah hak dan pilihan beliau sendiri.

"Tindakan beliau tidak dilihat sebagai pengkhianatan terhadap Islam dan tidak juga dianggap menyalahi akhlak Islam," katanya.

Menurut beliau, Amaah sebagai sebuah parti Islam sentiasa menganggap penubuhan Amanah dan pendekatan yang dipilihnya adalah satu ijtihad yang tidak semestinya dipersetujui dan dipatuhi oleh setiap individu Muslim.

"Ianya adalah satu pendapat dan pandangan berhubung cara mencapai cita-cita menjadikan Islam sebagai asas kepimpinan dan pemerintahan Negara.

"Hanya yang bersetuju dengan ijtihad ini perlu bersama dan tiada dosa sekiranya berpandangan sebaliknya," katanya.

Awal tahun ini, Mejar Zaidi dilantik oleh kerajaan negeri Pulau Pinang sebagai pegawai penerangan beliau kerana mengagumi kegigihan dan pengorbanannya dalam menegakkan kebenaran.

Beliau sebelum itu dihukum buang kerja oleh TUDM apabila beliau bertekad mendedahkan apa yang didakwanya sebagai penipuan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya umum ke-13 lalu.

No comments:

Post a Comment