Thursday, May 12, 2016

Hentikan propaganda ‘parti Semenanjung’ dan ‘parti penjajah’

 | May 10, 2016
Propaganda anti-Semenanjung dan ‘parti Semenanjung’ tidak boleh dibiarkan berlarutan hingga ke anak cucu.
sarawak-pru
PRN Sarawak kali ini merealisasikan cita-cita Adenan untuk memerintah lima tahun lagi dengan mandat yang besar berbanding ‘Pak Moh’ pada PRN 2011. Pastinya, kerja-kerja dan janji Adenan Satem menjadi tumpuan rakyat bagi mengukur sendiri pemimpin yang mereka pilih untuk memacu Sarawak.
PRN Sarawak telah menyaksikan pelbagai warna-warni pemikiran rakyat pelbagai lapisan. Jika diamati dengan jelas perkara yang dilontarkan ketika PRN Sarawak, terdapat jurang yang membahayakan kestabilan politik dan sosial Malaysia iaitu hubungan antara Semenanjung Malaysia dengan Sarawak.
Slogan ‘parti Semenanjung’ daripada pemimipin BN Sarawak telah memberi satu permulaan tidak baik untuk kerajaan Adenan Satem dalam menunjukkan kematangan berpolitik di Sarawak. BN Sarawak turut mengambarkan parti pembangkang datang untuk menjajah Sarawak. Isu ini jelas telah memberi kesan buruk kepada proses kematangan sistem demokrasi di Malaysia.
Sentimen semenanjung di Sarawak
Sentimen anti-Semenanjung dan ‘parti Semenanjung’ menjadi tumpuan utama pada PRN Sarawak. Pemimpin Sarawak turut menolak orang daripada Semenanjung untuk membicarakan perihal Sarawak. Isu ini jelas kelihatan apabila pemimpin Sarawak menggunakan sentimen parti Semenanjung bagi membakar semangat nasionalisme pengundi Sarawak dan menyebarkan kebencian ke atas Semenanjung.
Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan jelas menerangkan sesiapa sahaja berhak menubuhkan persatuan, parti politik dan organisasi selagi tidak bercanggah dengan Perlembagaan. Pengiktirafan ini memberi kebenaran sah mana-mana parti, tidak kira Semenanjung atau Kepulauan Borneo melakukan aktiviti secara sah. Penolakan terhadap parti politik pembangkang berdasarkan istilah ‘parti Semenanjung’ ialah tindakan yang tidak bertanggungjawab. Tidak disebut parti itu perlu bergerak mengikut kawasan atau negeri tertentu.
Semua parti bebas menubuhkan cawangannya. UMNO juga boleh memasuki Sarawak, cuma ia dihalang oleh pemimpin Sarawak. Tetapi, ini tidak bermaksud pengaruh UMNO tiada di Sarawak. Lihat sahaja di Sabah, bagaimana UMNO menginap masuk dan kekal hingga hari ini. Ini membuktikan bahawa mana-mana parti bebas aktif, bergerak dan ditubuhkan di Malaysia.
Saya amat kecewa apabila calon PRN Sarawak, masih menyemai permusuhan di antara wilayah. Presiden PBDS, Louis Jarau lantang menggunakan propaganda ‘anti-Semenanjung’ terhadap pembangkang atas dokma kepura-puraan Pakatan Harapan memperjuangkan autonomi Sarawak. Awang Tengah Ali Hasan menyifatkan ‘parti pembangkang’ sebagai parti ditubuhkan di Semenanjung hanya datang lima tahun sekali untuk PRN. Walhal, gerakan parti pembangkang untuk membantu komuniti telah berlaku sebelum PRN lagi seperti Impian Sarawak dan My ChangeMakers.
Ketua Menteri Sarawak juga turut menggunakan propaganda menolak PKR, DAP, PAS dan AMANAH kerana berasal dari Semenanjung. Adenan Satem lupa bahawa di dalam parti pembangkang itu ada orang Sarawak yang bersama-sama membanting tulang menolong rakyat Sarawak yang ketinggalan daripada dasar kerajaan negeri. Dia lupa, parti pembangkang juga mempunyai kepimpinan di Sarawak. Mereka berjuang untuk kepentingan rakyat Sarawak, cuma berbeza pendekatannya. Lebih utama ahli PAS, DAP, PKR dan AMANAH di Sarawak ialah rakyatnya sendiri.
Tidak perlu tubuh parti baru
Cadangan untuk menubuhkan parti baharu yang berunsur tempatan di Sarawak menarik perhatian ramai. Malah, para akademi seperti Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani daripada UUM berpandangan penubuhan parti baharu mampu menarik pengundi Sarawak menyokong pembangkang atas semangat nasionalisme Sarawak. Pandangan ini mampu membantu, namun ada cadangan lain yang perlu difikirkan terbaik untuk menghapuskan sentimen ‘parti Semenanjung’.
Pertama, parti pembangkang perlu memperkasakan kepimpinan peringkat negeri. Rakyat Sarawak masih tidak dapat melihat karismatik dan kepimpinan yang kuat daripada parti pembangkang untuk memerintah Sarawak. Baru Bian dan Chong Chien Jen tidak menonjolkan diri mereka sebagai identiti yang boleh memimpin rakyat Sarawak. Mereka juga jauh ketinggalan daripada segi karisma berbanding Adenan Satem. Elemen kepimpinan ini penting bagi pihak pembangkang untuk meraih sokongan rakyat.
Kedua, pemimpin pembangkang di Sarawak perlu menumpukan isu-isu negeri lebih daripada isu Persekutuan. Mereka perlu mahir dan memahami masalah rakyat Sarawak disamping mengemukakan dasar alternatif bagi negeri Sarawak. Tawaran pembangunan daripada pembangkang tidak membantu rakyat Sarawak memandangkan BN boleh melakukannya dua kali ganda dengan bantuan agensi dan jentera kerajaan Persekutuan. ADUN pembangkang kali ini perlu merangka dasar yang boleh memanfaatkan rakyat Sarawak sendiri dan tidak bergantung kepada agenda pembangunan.
Ketiga, parti pembangkang boleh sahaja memperkasakan rakyat Sarawak tentang isu semasa negeri dan kepentingan sebuah urus tadbir kerajaan yang baik. Mereka perlu berani untuk membantu masyarakat luar bandar dan melaksanakan program bersama mereka. Peningkatan undi pembangkang di kerusi luar bandar seperti Telang Usang, Murum dan Marudi pada PRN 2016 perlu menjadi anjakan paradigma Pakatan Harapan bekerja kuat demi rakyat Sarawak.
Hentikan propaganda ‘rasis’
Propaganda anti-Semenanjung dan ‘parti Semenanjung’ tidak boleh dibiarkan berlarutan hingga ke anak cucu. Masa hadapan Malaysia akan lebih rumit sekiranya persefahaman antara wilayah tidak diberikan perhatian khusus oleh pemimpin negara. Ujian Adenan Satem kali ini lebih genting kerana dia perlu meyakinkan rakyat Malaysia tentang keterbukaan Sarawak selepas slogan anti-Semenanjung dijaja oleh partinya pada PRN lepas.
Parti pembangkang juga perlu memberi gambaran jelas bahawa pemimpin di peringkat negeri mampu mewakili dan memerintah Sarawak. Mereka tidak seharusnya bergantung kepada figura parti di peringkat pusat untuk membicarakan perihal Sarawak. Pakatan Harapan mempunyai peluang membaiki kesilapan dengan mengambil tindakan proaktif. Bukan provokatif. Buktikan Pakatan Harapan itu milik rakyat Sarawak. Pasti parti baru pembangkang tidak perlu ditubuhkan.
Fakhrurrazi Rashid ialah pembaca fmt
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT

No comments:

Post a Comment