Sunday, March 18, 2018

Justo akhirnya buka mulut

Justo akhirnya buka mulut, fail aduan terhadap Petrosaudi
mk  |  Dikemaskini 18 Mac 2018, 2:57 petang
Bekas kakitangan Petrosaudi International Xavier Justo akhirnya membuka mulut dan menuduh bekas majikannya itu memanipulasi media untuk menjejaskan reputasinya, seperti dilapor akhbar Switzerland Le Temps.

Dalam sidang media di Zurich semalam, Justo mengumumkan yang beliau telah memfailkan aduan kepada Pejabat Peguam Negara Switzerland terhadap dua eksekutif Petrosaudi, Tarek Obaid dan Patrick Mahony, atas dakwaan antaranya membuat ancaman, mengugut dan memeras.

Justo juga dilaporkan mendedahkan emel yang didakwa menunjukkan Petrosaudi berhubungan dengan syarikat "pengurusan reputasi" berpangkalan di Geneva, KBSD, untuk menyebarkan naratif bahawa beliau bukanlah seorang pemberi maklumat, sebaliknya pemeras yang bermotifkan keuntungan.

Dalam laporan itu, Le Temps mendakwa KBSD dikenali mengamalkan apa yang digelar sebagai "perhubungan awam (PR) gelap", atau penyebaran maklumat negatif.

Justo mendakwa naratif yang disebarkan KBSD juga bertujuan mencemarkan kewibawaan media pembangkang di Malaysia, terutama Sarawak Report.

Justo sebelum ini memberikan Sarawak Report ribuan dokumen daripada pelayan (server) Petrosaudi yang dikatakan mendedahkan penyelewengan dalam 1MDB.

Aduannya juga menegaskan dakwaan bahawa Petrosaudi mendesaknya untuk mengaku bersalah ketika menjalani hukuman penjara di Thailand.

Beliau mendakwa ia dibuat dengan cara ugutan, melalui penyiasat persendirian berbangsa Inggeris yang menyamar sebagai pegawai polis Scotland Yard untuk mendapatkan pengakuan daripadanya.

Ketika sidang media itu, Justo juga mendakwa Obaid menerima dana daripada 1MDB berjumlah RM1.4 bilion untuk Petrosaudi membeli pegangan dalam Sarawak bank UBG Bhd milik Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud - didakwa sebagai pertukaran untuk sokongan Taib kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

1MDB menafikan dakwaan itu.

Pada 17 Ogos 2015, Justo mengaku bersalah di mahkamah Thailand atas dakwaan mengugut Petrosaudi International, yang berurusan dengan 1MDB.

Beliau didakwa bawah Seksyen 338 Kanun Keseksaan Thailand dan dibebaskan setahun kemudian.

Ketika itu beliau mendakwa pemilik The Edge Media Group Tong Kooi Ong dan editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown menjanjikannya bayaran US$2 juta untuk dokumen berkenaan 1MDB dan Petrosaudi, tetapi tidak menerima bayaran itu.

Tong mengaku telah memperdaya Justo demi mendapatkan dokumen itu tetapi menafikan ada mengubah sebarang maklumat di dalamnya.

Petrosaudi International merupakan antara entiti utama dalam skandal 1MDB.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ mendakwa US$1 bilion yang dipindahkan 1MDB kepada syarikat itu antara 2000 hingga 2010 untuk sebuah projek usaha sama telah diselewengkan melalui Good Star Ltd - syarikat yang didakwa milik usahawan Low Taek Jho, atau Jho Low.

Justo muncul dengan sidang medianya di tengah-tengah tekanan antarabangsa yang meningkat terhadap syarikat pelaburan milik negara itu.

Sebelum ini, kapal layar mewah Equanimity, yang didakwa DOJ diperolehi menggunakan dana yang diselewengkan daripada 1MDB, telah dirampas di Indonesia.

Selain itu, kerajaan Switzerland juga merampas kira-kira RM470 juta yang didakwa wang berkaitan 1MDB yang dicuci.

Puluhan media antarabangsa pula menyiarkan laporan tentang dakwaan penglibatan Najib dalam skandal 1MDB.

Najib telah menafikan sebarang salah laku dalam skandal itu dan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali juga membersihkannya daripada sebarang kesalahan.

1MDB juga menafikan sebarang dananya telah diselewengkan.

1 comment:

  1. Kapal mewah Equanimity dirampas DOJ diperairan Indonesia bukan Australia. Fakta mesti tepat.

    ReplyDelete