Thursday, September 21, 2017

PAS parti pengacau pada PRU14: Tanggapan atau fakta?

PAS Selangor nafi jadi ‘pengacau’ pada PRU14
Amin Iskandar
Diterbitkan pada 21 Sep 2017 11:00AM
Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir menafikan parti Islam itu sengaja menjadi 'pengacau' sedangkan ia sejak sekian lama sentiasa meletakkan calon di kerusi-kerusi ditandingi Umno. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 21 September 2017.

PAS Selangor menafikan mereka akan menjadi “pengacau” pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) untuk memenangkan Umno, mengatakan parti tunjang Barisan Nasional (BN) itu merupakan lawan tradisi mereka sejak dahulu lagi.

Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, sejak dahulu lagi parti Islam itu akan meletakkan calon di kerusi-kerusi ditandingi Umno.

“PAS tak pernah tak bertanding lawan Umno. Macam mana pulak kita jadi pengacau? Kita tak pernah tidak melawan Umno,” kata Roslan dalam satu wawancara bersama The Malaysian Insight.

“Mereka keluarkan kenyataan begitu kononnya PAS ada kerjasama dengan Umno. Tetapi terbuktilah sampai saat ini tak nampak mana pun kerjasama macam mana.”

Selepas mengambil keputusan untuk menubuhkan Gagasan Sejahtera dan tidak menyertai Pakatan Harapan (PH), PAS dituduh mahu memecahkan undi bagi memberikan kemenangan kepada calon BN.

Menjawab pertuduhan itu, Roslan yang juga timbalan ketua penerangan PAS berkata, dalam pertembungan tiga penjuru, kemenangan belum tentu akan berpihak kepada BN.

“Contohnya kita lihat di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sijangkang, kita sudah bertanding di situ sejak lama dahulu.

“Kali akhir PAS bertanding di situ sebelum wujudnya Pakatan Rakyat, Dr Yunus Hairi hanya kalah beberapa ratus undi sahaja. Itu bukti PAS memang mempunyai sokongan,” katanya.

Roslan berkata, pengacau sebenar ialah parti lain yang bertanding di kawasan tradisi ditandingi PAS.

“Bila datang parti lain, masuk jadi tiga penjuru itulah yang sebenarnya memecahkan peluang mengalahkan Umno.

“Saya tak rasa parti yang ketiga itu akan menang. Bila dia buat begitu, lebih menguntungkan BN,” katanya.

Menurut Roslan, segelintir pengundi Melayu atas pagar yang sebelum ini cenderung kepada Umno bersedia mengundi PAS pada pilihan raya umum 2008 dan 2013.

“Biasanya 30 pengundi Melayu akan undi PAS, 35 hingga 40% undi Umno.

“Yang atas pagar ni ada satu segmen yang sudah bersedia untuk undi PAS tetapi bila tengok PAS ada hubungan dengan DAP, mereka tidak jadi mengundi PAS,” katanya.

Kerjasama dengan Umno hanya dalam isu Melayu-Islam

Roslan berkata, PAS tidak akan mengadakan kerjasama dengan Umno dalam politik tetapi hanya dalam isu Melayu-Islam.

“Sejak dua tiga tahun kebelakangan ini kita bekerjasama lebih kepada isu yang melibatkan kepentingan Melayu-Islam.

“Contohnya dalam kes Rohingya, dan sebelum ini apabila Presiden PAS dijemput dalam program Multaqa Al-Azhar, kita pergi kerana isu-isu yang melibatkan kepentingan Melayu-Islam.

“Saya lihat sebelum ini parti bukan Melayu contohnya parti majoriti Cina seperti DAP dan MCA dia boleh bersatu dalam isu-isu yang melibatkan kepentingan masyarakat mereka, dalam isu sekolah dan sebagainya. Jadi tidak ada masalah sebenarnya,” katanya.

Menurut Roslan, perpecahan dalam PAS sehingga menyebabkan Amanah ditubuhkan pada 2015 tidak menjejaskan parti Islam itu.

“Selepas hampir tiga tahun, sokongan tu saya rasa tak sebagaimana cita-cita dia (Amanah) untuk ganti PAS.

“Dalam kawasan-kawasan tertentu di Selangor malah tak nampak langsung kekuatan (Amanah),” katanya.

Roslan berkata, PAS tetap mendapat banyak pertambahan ahli selepas Amanah ditubuhkan.

“Selepas tertubuhnya Amanah, PAS masih berjalan seperti biasa, malah dari segi keahlian pun, terbaru dalam mesyuarat PAS Pusat lepas daripada Januari ke September tahun ini, secara puratanya 125 orang ahli baru sehari di seluruh Malaysia.

“Ia sangat besar berbanding dengan tahun lepas. Sepatutnya dengan penubuhan Amanah, kalau ia bercita-cita nak menggantikan PAS, sepatutnya ia mengurangkan pertambahan keahlian kami,” katanya.

Katanya, Amanah sukar untuk berjaya pada masa akan datang sekiranya tidak mempunyai kekuatan akar umbi.

“Mungkin mereka bertenggek kepada pimpinan tertentu tapi tradisinya kalau parti politik Melayu-Islam ni, apa pun dia kena bersandar kepada kekuatan akar umbi.

“Kita tak boleh samakan parti Melayu-Islam ini dengan DAP contohnya. DAP dia lebih kepada ketokohan, tak perlukan akar umbi.

“Tapi kalau dari segi sejarahnya parti Melayu-Islam, kalau tiada akar umbi, susahlah masa depan,” katanya. – 21 September, 2017.

1 comment:

  1. Ini dia seorg manusia dulu penjilat hasan jati
    Skrg penjilat tegar hadi amanat sesat

    ReplyDelete