Wednesday, September 20, 2017

Nor Mohamed Yakcop 'penyelamat' negara

Nor Mohamed Yakcop 'penyelamat' negara - Tun Mahathir
Harits Asyraf HasnanAstro Awani |  September 18, 2017 19:48 MYT
Nor Mohamed Yakcop 'penyelamat' negara - Tun Mahathir
Tun Dr Mahathir hadir pada hari ketujuh prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat kes kerugian akibat urus niaga mata wang asing oleh BNM sekitar tahun 1990-an. - Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR
PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad memuji tindakan yang dilakukan bekas menteri kewangan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang disifat sebagai 'penyelamat' kepada ekonomi negara daripada mengalami kerugian ratusan bilion ringgit.

Jelas bekas perdana menteri itu, pelantikan Nor Mohamed sebagai anggota jawatankuasa kecil dalam menangani isu berkenaan tepat pada masanya selepas mereka mengadakan pertemuan di Buenos Aires, Argentina antara lewat 1997 dan awal 1998.

Katanya, beliau memerlukan pakar-pakar dalam bidang kewangan bagi membantu kerajaan menangani masalah krisis ekonomi 1998.

"Saya ingin mengesahkan bahawa apabila krisis ekonomi itu bermula, saya memerlukan pakar-pakar dalam bidang kewangan dan urusan mata wang bagi tujuan membantu kerajaan menangani masalah itu.

"Saya teringat bahawa pada satu hari, lewat 1997 ataupun awal 1998, saya pernah ternampak Nor Mohamed di jalan raya semasa saya berada di dalam kereta.

"Beberapa minggu selepas daripada itu, semasa saya berada di Buenos Aires, Argentina, saya teringat bahawa Nor Mohamed berpengalaman dalam bidang urus niaga mata wang, dan kepakaran ini diperlukan oleh saya untuk menangani masalah kejatuhan mata wang ringgit pada ketika itu.

"Saya terus mengarahkan untuk beliau datang ke Buenos Aires untuk berjumpa dengan saya untuk memberi maklumat berkenaan urus niaga mata wang.

"Kemudian daripada itu, saya melantik Nor Mohamed pada tahun 1998 sebagai anggota dalam satu jawatankuasa kecil yang bermesyuarat pada setiap pagi untuk menangani krisis ekonomi pada ketika itu.

"Nor Mohamed kemudiannya telah membantu dalam membaikpulih ekonomi dan memulihara mata wang ringgit dalam krisis ekonomi 1998 yang saya percaya telah menyelamatkan Malaysia daripada kerugian beratus bilion ringgit," kata Dr Mahathir.

Perkara itu terkandung dalam pernyataan bertulis saksi semasa prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat kes kerugian akibat urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sekitar tahun 1990-an.

Antara jawatan yang pernah disandang Nor Mohamed adalah Penasihat BNM, Menteri Kewangan Kedua, Pengarah Khazanah Nasional, Senator Dewan Negara serta ahli lembaga pengarah beberapa syarikat tempatan.

BACA: Dua 'Tun' hadir beri keterangan pada suruhanjaya

BACA: RCI Forex: Gabenor tidak maklum untung, rugi - Tun Daim

Dr Mahathir hari ini hadir di Istana Kehakiman, Putrajaya, bagi memberi keterangan di hadapan panel lima ahli RCI tersebut.

Terdahulu, beliau berkata pembabitan BNM secara aktif dalam urus niaga mata wang asing pada tahun 1980-an berlangsung tanpa pengetahuan beliau.

Katanya, bekas gabenor ketika itu Allahyarham Tan Sri Jaafar Hussein telah memutuskan untuk melibatkan BNM secara aktif dalam urus niaga mata wang asing bagi tujuan mengimbangkan volatiliti mata wang ringgit untuk memelihara rizab dan ekonomi negara. 

1 comment:

  1. Hey all! Remarkable article! I find nice the method reviewed Blogger: mountdweller88.
    Wonderful! Information on how have you ever pick up these
    kind of good way with words-at all? Truly any kind of proficiency as well outcome of extended labor?.

    That i would definitely provide this sort of suitable ability as a copywriter nevertheless i
    really feel horrifying advertising .
    Therefore, I made to buy magazine everything from file writing
    articles website pages. As well as be sure that Simply put i won’t waste the dollars another male supplement scam,
    I have visit this website essay editing service reviews at
    which I can seen considerable to experienced evaluation of countless work carriers

    ReplyDelete