Sunday, March 5, 2017

Tidak ada PM sejujurnya

SUNDAY, 5 MARCH 2017
TUNKU BERTANYA :"HANG DAH PUAS AKU TAK MAIN BINI HANG"
TIDAK ADA PM SEJUJURNYA

Kompilasi tulisan Tunku "Looking Back"
yang diterbitkan oleh Pustaka Antara
Authograph Tunku pada bukunya yang
diberikan kepada saya.



Saya banyak menerima pertanyaan; apa salahnya seseorang terus jadi Perdana Menteri jika tidak popular ekoran dari  komen saya "Apa salahnya Shafie Afdal mahu  jadi Ketua Menteri Sabah sedangkan orang yang tidak popular pun boleh terus jadi Perdana Menteri."

Saya membuat kenyataan itu setelah Datuk Seri Najib mendedahkan  di Sandakan baru-baru ini  perihal Shafie Afdal meminta untuk menjadi Ketua Menteri Sabah


Bagi saya, anggota  Parlimen yang dipilih oleh rakyat menerusi Pilihanraya nasional dan atas persetujuan parti seseorang berhak untuk menjadi perdana menteri walaupun tidak popular di kalangan majoriti rakyat. Maka itu Datuk Seri Najib berhak dari segi demokrasi.


Tetapi ketidakstabilan negara,kehilangan keyakinan rakyat yang berpunca  dari ketidakcekapan dan ketidakbijaksanaan dalam pengurusan politik,ekonomi dan keselamatan adalah mewajarkan seseorang Perdana Menteri yang berfikiran demokratik untuk meletakkan jawatan.


Apa pun kesilapan Tun Dr.Mahathir yang cuba dibangkitkan dalam pengurusan negara tetapi rakyat lebih mengenang dan mengingat tentang kemakmuran, kesejahteraan , kemudahan dan pembangunan bermaruah  di bawah pemerintahannya.


Atas kesedaran dan sentivitinya terhadap perasaan rakyat lah maka Perdana Menteri Malaysia Pertama Tunku Abdul Rahman meletakkan jawatan dan menyerahkannya kepada Tun Abdul Razak pada 23 September 1970 sekalipun dari segi demokrasi beliau masih berhak untuk terus jadi Perdana Menteri.


Beliau  dapat menciumi perasaan dalam  parti dan kemarahan rakyat khususnya orang Melayu terhadap sikap tolak ansurnya walaupun beliau percaya kepada kebenaran dasarnya sehingg keakhir hayatnya. Maka itu beliau memberikan laluan kepada Tun Razak dan demikianlah juga Tun Abdullah Badawi dalam memberikan laluan kepada Datuk Seri Najib.


Tunku Abdul Rahman tidak takut untuk meletakkan jawatan kerana beliau tidak berasa telah melakukan kesilapan besar terhadap negara dan bangsanya. Beliau  tidak menyelewengkan wang negara, beliau tidak menyembunyikan kesilapan dan kelemahannya sebaliknya membuat pengakuan terus terang sekalipun yang melibatkan peribadinya.


Beliau tidak takut untuk ditangkap atau dihukum oleh rakyat sekiranya beliau berhenti.


Umpamanya apabila saya menemui beliau selepas tragedi 13 mei 1969 bertanyakan apakah benar beliau bermain poker bersama kawan-kawannya ketika negara sedang berada dalam kekacauan  seperti yang didakwa oleh Dr.Mahathir Muhammad,Tunku terus mengakui " Ya benar, bukan saya ambil duit bapa dia,tulis,tulis," katanya


Bagaimanapun saya tidak  menulis atas permintaan oleh Ketua Setiausaha Sulitnya Datuk Nik Hassan. Bagaimanapun saya menulis lama kemudian untuk menunjukkan kejujuran Tunku.


Demikian juga bila Datuk Syed Kecik jutawan Melayu menghadiahkan kereta Rolls Royce kepadanya, beliau berkata dalam  suatu majlis ulangtahun kelahirannya yang turut dihadiri oleh ramai wartawan dalam dan luar negara " "Syed buat apa hang bagi kereta kat aku,hang bagi duit kat aku,aku boleh pi main poker."


Beliau juga memberitahu  bahawa Show Brothers Penerbit Filem Melayu di Singapura  telah memberinya RM30,000 sebelum beliau menulis cerita Raja Bersiong. "Baiknya dia" kata Tunku.


Apabila tamat majlis  pelancaran bukunya Looking Back di rumahnya di Bukit Tunku pada malam 18 Mei 1977, secara berseloroh Tunku berkata" Siapa nak main poker tunggu, siapa tak mahu main, berambus balik"


Tetapi apabila kami wartawan-wartawan Utusan Melayu  hendak pulang termasuk Tan Sri Melan Abdullah (Ketua Pengarang), Osman Abadi, Harun Hassan, Jiro dan saya sendiri Tunku mengekori kami dan bertanya " nak pi mana ni?


Kami memberitahu "nak pulang Tunku". Eh mai duk dulu dan dia meninggalkan semua kawan-kawan kaki poker dan duduk bercerita dengan kami sehingga lebih jam satu  malam. Antaranya  ialah tentang siapakah disebalik usaha untuk menjatukannya dari Perdana Menteri dan memfitnahnya mempunyai scandal dengan seorang seniwati Melayu tersohor..


Bila suami kepada seniwati ini datang meminta ampun kepadanya setelah mengetahui hal sebenar, Tunku bertanya "Hang dah puas aku tak main bini hang" Kami ketawa besar.


Si suami menemui Tunku menerusi jasa baik Tan Sri Senu Abdul Rahman walaupun Tunku menyatakan kepadanya "tak payah lah, yang sudah, yang lepas, lepaslah."


Dari pengalaman saya,tidak ada seorang pun Perdana Menteri Malaysia sejujur Tunku.


Posted by zainudin maidin at 17:19 

1 comment:

  1. bukan contoh pemimpin Islam yang baik
    untuk dijadikan teladan
    banyak kerja maksiat

    ReplyDelete