Tuesday, March 14, 2017

Jika Pas, Umno salah langkah: PH dan Bersatu ‘kenduri besar’ dan bertepuk tangan

Awas jika Pas, Umno salah langkah
ROSMIZA KASIM - 14 MAC 2017
Dr Rusdi Omar

KOTA BHARU - Jika tersilap percaturan dalam kerjasama politik antara Pas dan Umno di Kelantan, yang pastinya, Pakatan Harapan dan Bersatu ‘kenduri besar’ dan bertepuk tangan gembira dengan tindakan tersebut.

Penganalisis Politik, Dr Rusdi Omar berkata,  dalam konteks politik di Kelantan agak sukar untuk Umno dan Pas bekerjasama kerana kedua-dua parti itu berkeyakinan boleh memerintah Kelantan selepas PRU14 nanti.

Tambahan pula katanya, Pengerusi Umno Kelantan sendiri telah menyatakan kepada pucuk pimpinan BN negeri bahawa mereka tidak  akan bekerjasama dengan parti lawan dan Pas merupakan saingan politik.

“Akar umbi kedua-dua parti pun agak sukar untuk menerima kerjasama politik. Kalau tersilap langkah kemungkinan besar pihak pembangkang, PH dan Bersatu boleh mendapat 'advantange' dalam PRU nanti sekiranya terjadi kerjasama politik,”  katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Kelmarin, pemimpin nombor satu BN, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam lawatannya di Kelantan membayangkan tidak menolak kemungkinan kerjasama Umno-Pas di Kelantan pada PRU akan datang.

Bagaimanapun, Dr Rusdi berpendapat perkara itu tidak mungkin berlaku memandangkan PRU 14 nanti merupakan masa yang sesuai untuk Umno Kelantan menawan balik Kelantan.

“Kerjasama politik ini sebenarnya melibatkan rundingan kerusi. Adakah Umno bersedia untuk berkompromi dengan Pas mengenai kerusi yang  ditandingi mereka.

“Saya rasa tidak. Di Kelantan, Umno tidak mungkin dapat mengizinkan sebilangan besar kerusi yang dimenangi  mereka untuk dilepaskan dan sebaliknya.

“Oleh itu saya merasakan adalah mustahil untuk Umno dan Pas mengadakan kerjasama politik di Kelantan. Dan sejarah politik Kelantan juga telah membuktikan bahawa Umno adalah saingan politik utama kepada Pas,” katanya.

Katanya, sekiranya kerjasama politik itu tidak berlaku, kemungkinan untuk terjadi pertandingan tiga penjuru nampak pasti dan di sini sebenarnya memberi 'advantange' kepada Umno untuk memenangi kerusi-kerusi yang dipertandingkan dalam PRU14 nanti.

“Sebenarnya apa yang perlu Umno buat adalah memenangi hati dan minda rakyat atau dengan kata lain cakna rakyat. Pemimpin-pemimpin mereka perlu turun padang dan cakna rakyat. Insha ALLAH rakyat akan bersama mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment