Tuesday, January 10, 2017

Undi Akta 355: Kata Dr. Mariah ni memang betul pun!

MP yang akan undi Akta 355, bukan 300 ribu peserta himpunan Pas
10 Januari 2017 | HAZAYANI ZAKARIA
Dr Siti Mariah Mahmud pernah mempengerusikan jawatankuasa RUU355 yang ditubuhkan Amanah bagi mencadangkan langkah-langkah memperkasakan Mahkamah Syariah

Pas seharusnya terlebih dahulu memberi penjelasan mengenai pindaan Akta Mahkamah Syariah (Akta 355) kepada ahli parlimen bukan Islam dan ahli parlimen dari Sabah dan Sarawak bagi meyakinkan mereka.

Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan) Dr Siti Mariah Mahmud berkata, ini kerana ahli parlimen yang akan mengambil bahagian dalam undi belah bahagi apabila RUU355 dibentangkan di parlimen, bukan 300, 000 peserta yang hadir ke perhimpunan anjuran Pas.

Justeru katanya, parlimen ialah tempat paling sesuai untuk membahaskan RUU355.

"Ahli parlimen bukan Islam dan ahli parlimen Islam dari Sabah dan Sarawak perlu dijelaskan mengenai RUU355.

"Ahli parlimen yang akan mengambil bahagian dalam undi belah bahagi bila dibentangkan di parlimen nanti, bukan 300,000 peserta himpunan nanti," katanya kepada Malaysia Dateline.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Pas menganjurkan perhimpunan besar-besaran yang dinamakan Perhimpunan Akta 355 di Dataran Merdeka pada 18 Februari depan.

Ia bagi memberi penerangan kepada orang ramai terutamanya umat Islam tentang Akta 355.

Pas menyasarkan kehadiran 300,000 orang dalam acara lapan jam bermula 3 petang yang disokong beberapa NGO Islam itu.

Menurut Siti Mariah yang juga ahli parlimen Kota Raja, Pas seharusnya memberi penjelasan dari dahulu lagi kepada pihak-pihak yang menentang seperti MCA, Gerakan, dan NGO-NGO lain.

"Bagi saya himpunan ini hanya gimik politik Pas. Sepatutnya penjelasan dan dialog dibuat dengan pihak-pihak yang menentang RUU355 seperti MCA, Gerakan dan NGO-NGO lain," katanya.

RUU355 akan dibincangkan dalam sesi parlimen depan setelah mendapat laluan daripada kerajaan di parlimen.

Usul yang dibawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas-Marang) itu bertujuan menambah hukuman maksimum Mahkamah Syariah kepada 30 tahun penjara, denda RM100,000 dan sebatan 100 kali.

Siti Mariah telah mengemukakan satu usul yang mengandungi cadangan-cadangan bagi mencapai maksud memperkasa peranan dan bidang kuasa Mahkamah Syariah pada sesi belanjawan tahun lepas.

Bagaimanapun Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin mulia menolak usul itu di bawah Peraturan Mesyuarat 23 (1)(h).

Peraturan itu menyebut, sesuatu pertanyaan tidak boleh dikeluarkan dengan tujuan hendak mendapat buah fikiran atau penyelesaian berkenaan perkara undang-undang yang belum menjadi masalah atau hendak mendapat jawapan dalam perkara yang dimisalkan.

Sebelum ini Amanah menubuhkan jawatankuasa bagi membincangkan mengenai Akta 355 yang dipengerusikan oleh Siti Mariah.

No comments:

Post a Comment