Saturday, January 28, 2017

Takkah dia terasa bodoh?

Salleh Keruak perlu semak fakta sebelum jadi jurucakap Najib
Pada 25 Januari 2017
oleh Zamzani Husin
Tindakan UMNO menggunakan media nasional untuk memburuk-burukkan DAP dan pihak pembangkang dengan fakta tidak tepat sehingga disaman berkali-kali bukanlah perkara baharu yang kita dengar.

Oleh itu, sebelum membuka mulut dan menyerang, adalah elok untuk tuan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak menyemak fakta.

Melalui carian mudah di Google (atau apa sahaja mesin carian) adalah salah untuk mengatakan Saudara Lim Kit Siang sebagai Pengerusi DAP.

Di sini sahaja sudah dua kesalahan fakta, pertama DAP ketika ini hanya mempunyai Pemangku Pengerusi dan kedua ia bukan dijawat oleh Lim Kit Siang sebaliknya Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai.

Kit Siang menjadi Pengerusi DAP dari tahun 1999 hingga 2004 dan kemudiannya diganti oleh mendiang Karpal Singh.

Apa yang dikesalkan, kesalahan ini kemudiannya dipetik oleh agensi berita nasional Bernama dalam artikel berikut http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/ge/newsgeneral.php?id=1323046 daripada sumber asal di laman blog milik Salleh http://sskeruak.blogspot.my/

Adakah Salleh sebenarnya tahu tapi berpura-pura tidak tahu mendakwa Lim Kit Siang sebagai Pengerusi DAP semata-mata ingin menggambarkan kononnya parti itu dikawal oleh Kit Siang sahaja?

Salleh cuba memancing?

Dalam artikel berita yang sama, Salleh dilihat cuba ‘memancing’ Kit Siang supaya menyatakan kesediaan untuk menjadi Ketua Pakatan Harapan menggantikan Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan mengumumkan diri sebagai Perdana Menteri Bayangan sebelum mengajak bosnya, Datuk Seri Najib Razak berdebat.

Ia atas alasan kononnya Kit Siang tidak setaraf dengan Najib yang kini menjawat jawatan Perdana Menteri.

‘Umpan’ ini ditabur selepas DAP dalam kenyataan sebelum ini menegaskan berkali-kali bahawa tetap menyokong Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri jika Pakatan Harapan bersama Parti Pribumi Bersatu (PPBM) berjaya menawan Putrajaya kelak.

Sekali lagi, Salleh dilihat begitu naif dengan memasang ‘umpan’ kepada Kit Siang, satu sosok yang telah berjuang dalam arena politik tempatan hampir setengah abad.

Tidak timbul soal setaraf kerana Kit Siang ternyata gandingan yang kuat sekiranya Najib benar-benar berani berhadapan dengan Ahli Parlimen Gelang Patah itu untuk membincangkan isu semasa yang melanda negara ketika ini.

Persoalannya beranikah Najib? Atau kita terpaksa lagi melihat ‘pahlawan Bugis’ itu menghantar hulubalang lain supaya menjadi jurucakap? 

No comments:

Post a Comment