Thursday, January 19, 2017

Kesahihan Perjanjian British-Siam 1909: Apa yang rakyat Malaysia perlu tahu

Mohd Hazmi Mohd Rusli, Astro Awani |  Diterbitkan pada Ogos 11, 2016 14:27 MYT
Perjanjian British-Siam 1909 perlu diambil sebagai suatu pengajaran untuk semua rakyat Malaysia

Semenanjung Melayu mengunjur sepanjang 842 batu atau 1, 355 km dari Segenting Kra di Thailand ke titik paling selatan di benua Asia di Tanjung Piai, Malaysia.

Banyak ketamadunan Melayu muncul di sepanjang semenanjung yang membentuk halangan daratan semulajadi di antara Lautan Hindi dan Laut China Selatan ini.

Langkasuka, Srivijaya dan Melaka antaranya adalah kuasa politik ketamadunan Melayu yang banyak meninggalkan kesan terhadap struktur sosio-politik di Semenanjung Melayu.

Berkurun lamanya, kedaulatan kerajaan-kerajaan Melayu ini membentang melampaui wilayah moden Semenanjung Malaysia sehinggalah Perjanjian British-Siam dimeterai di antara Siam dan British pada tahun 1909 tanpa rela pemerintah kerajaan-kerajaan Melayu.

Sejauh manakah Perjanjian British-Siam 1909 ini sah di bawah undang-undang antarabangsa?

Bunga Mas

Setelah kejatuhan Melaka pada tahun 1511 ke tangan Portugis, Semenanjung Melayu ditadbir oleh beberapa kerajaan-kerajaan Melayu kesinambungan Kesultanan Melaka.

Pihak Portugis hanya bertumpu di Kota Melaka, tidak berupaya untuk mengembangkan pengaruh mereka ke seluruh Semenanjung.

Kesultanan Melayu Pattani pernah mempunyai wilayah yang luas merangkumi beberapa wilayah moden di dalam Thailand termasuk Satun, Trang, Yala, Pattani dan Narathiwat.

MESTI BACA: Kesan timbangtara Laut China Selatan ke atas Malaysia 

Pattani mempunyai hubungan yang rapat dengan Siam dan mengirim bunga mas ke Istana Raja Siam dalam bentuk bunga mas yang Siam anggap sebagai simbol pertuanan mereka ke atas kerajaan Melayu ini.

Selain Pattani, kerajaan-kerajaan Kedah, Kelantan dan Terengganu juga turut mengirim bunga mas kepada kerajaan Siam.

Walaupun Siam menganggap amalan ini sebagai simbol kekuasaan mereka, negeri-negeri Melayu ini melihatnya sebagai suatu pertalian persahabatan.

Sebagai contoh, seperti yang tercatat di dalam buku Historical Dictionaries of Asia, Oceania and the Middle East yang diedit oleh Jon Woronoff, Terengganu mengirim bunga mas kepada Siam sebagai balasan kepada Raja Siam yang terlebih dahulu menghadiahi kerajaan Terengganu dengan pelbagai pemberian berharga.

Kedah juga berpendapat bahawa amalan ini hanya sekadar isyarat persahabatan di antara kedua-dua negara.

Perjanjian British-Siam 1909

Garis sempadan antarabangsa yang kini terpakai di antara Malaysia dan Thailand telah dilukis oleh pihak Siam dan British menerusi Perjanjian British-Siam 1909, tanpa merujuk kepada sultan-sultan Melayu pada ketika itu, mengakibatkan berlakunya kesan sosio-demografi yang rata-ratanya dialami oleh majoriti penduduk Melayu di wilayah selatan Thailand iaitu Pattani, Yala dan Narathiwat.

Sungai Golok yang sekangkang kera itu telah dijadikan sempadan negara di antara Malaya dan Siam, memisahkan masyarakat Melayu di Kelantan dengan bekas rakan senegara mereka di Yala, Pattani dan Narathiwat yang kini menjadi milik Thailand.

MESTI BACA: Apa hak Filipina untuk menuntut Sabah? 

Garis sempadan antarabangsa yang merentasi perbukitan Bukit Puteh di Perlis memaksa masyarakat Melayu di wilayah Satun untuk tidak lagi dianggap sebagai rakyat Kedah mahupun Perlis.
Figura 1. Kedudukan Kampung Ko Puyu di utara Semenanjung Malaysia (Sumber: GoogleMaps)

Sebagai contoh, Kampung Ko Puyu (Pulau Puyu) dan Kampung Ko Yao (Pulau Panjang) didiami hampir seratus peratus masyarakat Melayu.

Seperti yang digambarkan dalam Figura 1, perkampungan ini hanya terletak kurang dari 20 kilometer dari Kuala Perlis dan berjarak lebih dekat dengan tanah besar Semenanjung Malaysia berbanding Pulau Langkawi. Masyarakat di sini bertutur dalam loghat Kedah tetapi garis sempadan yang dilukis secara sesuka hati oleh British dan Siam ini telah menyaksikan orang-orang Melayu di sini tercerai daripada saudara-saudara mereka di Kedah dan Perlis.

Sejauh Manakah Perjanjian ini Sah?

Undang-undang antarabangsa mengesahkan hanya negara berdaulat berhak menandatangani perjanjian antarabangsa.

Sesetengah sarjana mengatakan bahawa negeri-negeri Melayu ini bukanlah negara berdaulat tetapi hanya negeri lindungan Siam.

Pengataan ini, walaubagaimanapun, tidaklah benar secara keseluruhan.

Undang-undang antarabangsa ada menetapkan bahawa sesebuah entiti politik itu boleh diiktiraf sebagai sebuah negara apabila ianya memenuhi beberapa syarat yang ditetapkan.

Ini termasuk mempunyai wilayah yang berpenduduk, memiliki kerajaan yang berfungsi dan kapasiti untuk menjalin hubungan antarabangsa dengan negara-negara lain.

Kedah adalah salah satu kesultanan yang paling tua di dunia yang diasaskan pada tahun 1136.

Sebelum menjadi sebahagian daripada Malaysia, Kedah telahpun mempunyai wilayah berpenduduk yang ditadbir oleh kerajaan yang berfungsi penuh serta telahpun menjalin hubungan antarabangsa dengan negara-negara lain seperti Siam dan kerajaan British.

Siam seringkali menganggap Kedah sebagai sebahagian dari wilayah negaranya.

Pertamanya, sekiranya ini adalah apa yang didakwa, pihak British tidak akan membuat perjanjian dengan Sultan Kedah bagi mendapatkan Pulau Pinang pada tahun 1786 dan seterusnya Seberang Prai pada tahun 1798.

Keduanya, jika Kedah adalah milik Siam, pihak Siam sudah pasti akan memaksa pegawai British untuk membuat perjanjian serahan ini (penyerahan Pulau Pinang dan Seberang Prai) dengan mereka dan bukannya dengan Sultan Kedah. 

Kerajaan-kerajaan Melayu yang lain seperti Kelantan, Terengganu dan juga Perlis memenuhi syarat-syarat ini memandangkan kesemua kerajaan ini mempunyai kapasiti untuk menjalin hubungan antarabangsa dengan negara-negara lain.

Ini jelas terbukti daripada amalan turun-temurun pengiriman berbalas bunga mas dan hadiah yang berlangsung di antara kerajaan-kerajaan Melayu ini dengan Siam.

Lagipula, setelah tamat Perang Dunia kedua, kerajaan British telah menugaskan Sir Harold Mac Michael untuk mendapatkan persetujuan sultan-sultan Melayu dari Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu untuk menyerahkan kedaulatan mereka bagi memudahkan pembentukan Malayan Union pada tahun 1946.

Sekiranya sultan-sultan ini tidak berdaulat, kenapa perlu pihak British untuk mendapatkan persetujuan mereka?

Fakta-fakta ini membuktikan secara langsung dan tidak langsung bahawa kerajaan-kerajaan Melayu ini adalah kerajaan yang berdaulat.

Maxim perundangan nemo dat quod nan habet ada menyebut bahawa ‘tiada siapa boleh memindahkan pemilikan lebih daripada apa yang dia miliki’.

Memandangkan Kedah dan kerajaan-kerajaan Melayu ini bukanlah jajahan atau negeri bawahan yang ditadbir secara langsung oleh Siam atau British, kerajaan British dan Siam tidak berhak untuk melukis garis sempadan antarabangsa seperti yang termaktub di dalam Perjanjian British-Siam 1909 tanpa terlebih dahulu mendapatkan persetujuan pemerintah-pemerintah Melayu yang mana wilayah kerajaan-kerajaan mereka terkesan akibat syarat-syarat perjanjian ini.

Kesimpulan

Sebelum Perjanjian British-Siam 1909 dimeterai, kedaulatan kerajaan-kerajaan Melayu di utara Semenanjung Malaysia ini melampaui sempadan moden Malaysia-Thailand yang membentang dari Kuala Sungai Golok di Kelantan ke perbukitan Bukit Puteh di Perlis.

Kerajaan British dan Siam telah memeterai perjanjian ini tanpa mempertimbangkan kesannya ke atas sosio-demografi masyarakat Melayu di utara Semenanjung Malaysia dan selatan Thailand.

Tidak keterlaluan untuk menyatakan sempadan moden Malaysia-Thailand yang ada pada hari ini bukanlah dilukis bagi memisahkan wilayah sebenar orang-orang Melayu dan Siam.

Tindakan kerajaan British dan Siam yang mengorbankan wilayah tradisi orang-orang Melayu bagi tujuan cita-cita imperialistik mereka adalah suatu yang tidak patut berlaku.  

Dalam pada yang lain, pemerintah Melayu pada waktu itu sendiri terlalu lemah untuk bangkit menentang penindasan dan perlakuan sewenang-wenangnya British dan pihak Siam.

Benar, tiada satu pun pemerintah kerajaan-kerajaan Melayu ini yang secara lantang menentang garis sempadan ini sehinggalah kesannya terasa sehingga ke hari ini.

Sama ada perjanjian ini adalah sah atau tidak menurut undang-undang antarabangsa, kenyataannya adalah agak mustahil bagi Malaysia untuk mempersoalkan keesahannya kerana perjanjian zaman penjajahan ini telahpun diakui dan digunapakai tanpa sebarang bantahan untuk lebih daripada 100 tahun.

Wilayah negara kita adalah apa yang ada pada hari ini.

Rakyat Malaysia patut mengambil iktibar daripada kesan Perjanjian British-Siam 1909 ini sebagai suatu pengajaran.

Kita haruslah berdiri teguh sebagai rakyat yang setia mempertahankan pusaka kita yang paling berharga -  negara kita yang tercinta, Malaysia.

Mohd Hazmi bin Mohd Rusli (Ph. D) ialah seorang pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia dan seorang profesor pelawat di sekolah undang-undang, Far Eastern Federal University, Vladivostok, Russia.

1 comment:

  1. dah lama berlaku dah lama berlalu
    bagaiamana kita ditipu oleh penjajah britis
    ada yang tak mau mengaku
    memang bangsa kita dulu ditipu
    apa nak malu
    bukan semua malayu dulu cerdik buakn semua maksumm
    semanagt kurang memang senang ditipu orang
    inilah apa yang tinggal kat kita
    sejarah jangang diubah sejarah tetap sejarah
    walaup pun ada orang yang tak suka
    dulu persekutuan tanam melayu
    ingatlah wahai bnagsa ku

    ReplyDelete