Thursday, November 2, 2017

MIC digegar sex.....dakwaan ada 60 rakaman pemimpin MIC minta habuan

Lelaki dakwa ada 60 rakaman pemimpin MIC minta habuan seks
mk      Hari ini, 1:06 pm

Seorang individu mendakwa memiliki 60 rakaman perbualan milik bekas pemimpin cawangan MIC yang dikatakan menawarkan bantuan dan pekerjaan untuk tidur bersama wanita, termasuk remaja.

Menerusi rakaman video yang tersebar di aplikasi Whatsapp, lelaki itu juga mendakwa bekas pemimpin parti itu juga telah masuk ke dalam "perangkap" yang dipasangnya selama tiga minggu.

Dia merujuk rakaman perbualan telefon antara pengerusi cawangan MIC itu dengan seorang wanita, di mana lelaki berusia 56 tahun itu berjanji akan mendapatkan pekerjaan untuk anak gadis wanita itu jika remaja itu sanggup tidur dengannya.

"Saya kenal keluarga mangsa. Wanita dalam rakaman audio itu seorang ibu tunggal dan walaupun dihimpit kemiskinan, dia berjaya memberi pendidikan kepada anak perempuannya hingga peringkat ijazah.

"Remaja itu sukar mendapatkan pekerjaan walaupun sudah pergi ke 20-30 temuduga. Ketika inilah keluarganya bertemu dengan tertuduh yang berjanji untuk membantu," katanya yang bercakap dalam bahasa Tamil.

Dakwanya lagi, ketika tertuduh yang juga guru di sebuah sekolah Tamil itu pertama kali membuat tawaran itu kepada ibu gadis itu tiga minggu lalu, tawaran itu telah ditolak.

Ke ibu pejabat MIC

Namun, lelaki itu mendakwa dia telah meyakinkan ibu itu untuk terus berhubung dengan tertuduh bagi mengumpul bahan bukti tentang salah lakunya.

Katanya lagi, dia kemudian meminta bantuan kawan, yang juga anak kepada seorang pemimpin kanan MIC. Selepas mendengar rakaman perbualan itu, pemimpin itu setuju tindakan perlu diambil terhadap tertuduh.

Sepanjang tiga minggu lalu, katanya lagi, "perangkap" dipasang dan setiap perbualan dengan tertuduh dirakam.

Dia berkata beberapa percubaan dibuat untuk bertemu dengan tertuduh, tetapi dia tidak menunjukkan muka sehinggalah hadir di ibu pejabat MIC di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dia juga berkata ketika ahli politik itu ditangkap, ibu mangsa pada mulanya enggan tampil ke depan mahupun membuat laporan polis.

"Dia beritahu saya tidak mahu terlibat atau buat laporan polis. Dia bimbang jika isu ini dibawa ke media dan mengaibkan keluarganya. Dia minta saya kendalikan perkara ini," katanya lagi.

Laporan akhirnya dibuat

Berhubung anak gadis itu pula, lelaki itu berkata dia telah diminta untuk menghadiri sesi temuduga dengan bantuan pimpinan MIC.

Dakwaan "seks untuk kerja" ini mendapat perhatian sejak dua hari lalu, susulan tersebarnya rakaman perbualan tersebut.

Dalam salah satu rakaman, lelaki itu dengan angkuh memberitahu dia telah membantu banyak gadis yang baru selesai menduduki peperiksaan SPM untuk mendapat pekerjaan setelah mengadakan hubungan seks dengannya.

"Beritahu saya masa dan di mana, dan berapa lama sesi itu. Jika dia tidak berminat, sila beritahu saya, saya akan gugurkan tawaran ini, kerana terdapat banyak gadis lain menunggu," katanya.

Pemimpin akar umbi itu dilapor telah meletakkan jawatan selepas perbualan telefonnya itu tersebar.

Sejumlah laporan polis telah dibuat anggota MIC di seluruh negara terhadap tertuduh.

1 comment:

  1. Fish starts rotting from the head. And you and I know who the head is.

    ReplyDelete