Sunday, November 26, 2017

Jalan lain PSM ke Parlimen

Awang Azman Awang Pawi · Diterbitkan pada 26 Nov 2017 11:26AM
DALAM banyak parti politik di Malaysia, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dilihat terlalu berterus-terang dengan agenda yang ingin dicapai. Kesemuanya berteraskan rakyat melalui pendirian parti yang condong berpihak kepada perjuangan rakyat dan berorientasikan kesejahteraan hidup.

Di tengah-tengah masyarakat bergelumang dengan isu kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang membebankan rakyat, PSM menegaskan pendirian parti yang “komited untuk bekerja menegakkan satu sistem sosialis - semua orang dapat hidup bahagia, aman dan adil serta pengagihan kekayaan secara adil” dan pendirian ini mampu mengugah hati nurani rakyat.

Jurang pendapatan rakyat kini dilihat semakin melebar. Ia bukan sahaja dirasai dan ditanggung rakyat akan tetapi banyak dikaji berdasarkan data semasa. Kesemua ini menjadi jalan lain untuk menyertai PSM.

Politik Etnik

Parti politik berteraskan etnik dan politik etnik serta agama pula dilihat terlalu banyak dijadikan sandaran untuk meraih sokongan. Biarpun selama ini sudah ada banyak sokongan, namun isu etnik dan agama dilihat tidak dapat diselesaikan secara tuntas seperti isu kemiskinan etnik.

Lambaian ideologi PSM dengan politik berteraskan keperluan dan bukan perkauman begitu mengujakan generasi muda yang muak melihat faktor etnik lebih banyak dipolitikkan daripada perjuangan politik etnik itu sendiri.

Di tengah-tengah situasi ekonomi semasa yang kurang memberangsangkan yang membawa kepada pemansuhan atau pengurangan subsidi, PSM sudah lama berikrar untuk memastikan rakyat mempunyai hak saksama untuk jagaan kesihatan, perumahan dan kemudahan asas yang lain. Kesemua ini merupakan suatu alternatif kepada golongan anak muda yang kurang mengaitkan PSM dengan tuduhan sebagai ‘anti- agama’.

Visibiliti PSM

Meskipun sudah ramai mengenali PSM tetapi terdapat segelintir pihak yang menyangka ia sekadar sebuah badan bukan kerajaan dengan gerakan kaum buruh, memperjuangkan masalah setinggan dan estet, penindasan gender dan sebagainya.

Penyertaan anak muda ke PSM dapat dilihat dari aspek pengaruh dunia globalisisasi dan kaitan dengan pergerakan sosial, yang sering juga  mentafsir dunia politik daripada perspektif lain sesuai dengan jiwa pencarian identiti dan inginkan perbezaan daripada yang lain. Situasi ekonomi dilihat  kurang memihak kepada rakyat dan suasana politik semasa pula kurang disenangi mereka.

Justeru, mereka cuba mencari model terbaik untuk dijadikan panduan dan pedoman. Golongan ini tidak semestinya memahami bidang sosialisme secara akademik akan tetapi menyakini bahawa sosialisme ini membawa kepada penekanan aspek kebajikan, persamaan dan kesejahteraan hidup masyarakat.

Namun, bukan mudah untuk dipilih sebagai calon wakil rakyat PSM. Seseorang perlu  sekurang-kurangnya 5 tahun menunjukkan prestasi di kawasan yang aktif dengan aktiviti PSM. Bagi yang menggunakan logo PSM untuk aktiviti, mereka wajib isytiharkan harta setiap tahun. Malah perlu mendirikan pusat perkhidmatan rakyat.

Jalan Lain ke Dewan

Kemenangan Dr Mohd Nasir Hashim di Dun Kota Damansara pada PRU 2008 bukan sahaja disebabkan faktor mesra lembut beliau, tetapi disebabkan isu-isu kesejahteraan yang terjejas di kawasan tersebut dan mengakibatkan kemarahan rakyat.

Isu pengambilalihan tanah pasar Kampung Baru Subang menjadi isu besar ketika itu manakala pasar sementara tidak selesa dan ini menyukarkan kehidupan penduduk di situ. Ketika itu, PAS berjaya diyakinkan bahawa tidak salah untuk mengundi PSM.

Pada 2008, PSM bertanding dengan menggunakan lambang PKR mewakili Barisan Alternatif yang turut disertai PKR dan PAS. Inilah jalan lain PSM ke Parlimen. PKR memberikan kepercayaan kepada PSM kerana hubungan baik dan setiakawan secara politik dan gerakan intelektual.

Namun langit politik tak selalu cerah bagi PSM apabila PAS turut berebut menentang calonnya pada PRU13 hingga mengakibatkan BN menang dalam pertandingan tiga penjuru.

Kerusi PSM terpelanting angkara tindakan PAS memecahkan undi meskipun slogan PAS ketika itu sangat terbuka dan menggunakan slogan PAS untuk semua. Ia seolah-olah mengkhianati perjanjian Pakatan Rakyat.

Di Sungai Siput pula, kerusi PSM yang disandang oleh Michael Jeyakumar Devaraj sejak tahun 2008 terus bertahan sekurang-kurang untuk waktu ini. PSM melonjakkan visibiliti politiknya apabila berjaya menjatuhkan ikon politik negara, bekas presiden MIC, Samy Vellu pada tahun 2008. Samy Vellu menjadi wakil rakyat di Sungai Siput sejak tahun 1974.

Yang menariknya, Jeyakumar pernah menggunakan lambang DAP pada tahun 1999 dan bertanding menggunakan lambang PKR pada PRU 2004, tetapi kedua-dua kali itu kalah kepada Samy Vellu. Sekali lagi PSM menggunakan logo PKR pada PRU 2008. Ternyata meminjam lambang parti lain adalah lorong politik PSM masuk ke Parlimen.

Masa Depan

Apabila PAS ingin bertanding di semua kerusi, sudah pasti peluang PSM untuk merampas kembali kerusi Kota Damansara semakin pudar. Laluan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Siput pasti berliku kerana DAP juga berminat untuk bertanding di kerusi itu.

Pada satu pihak PSM diganggu gugat PAS manakala pada satu pihak lagi menerima ancaman politik daripada DAP.

Sukar untuk ditahan ayunan pengundi penyokong DAP di Sungai Siput lebih-lebih lagi apabila lambang parti DAP kini mengikat pengundi Cina. Sukar bertemu jalan lain PSM untuk ke parlimen apabila bukan lagi menjadi sekutu Pakatan Harapan.

“Pada satu pihak lebih banyak kerusi, lebih banyak lagi kuasa akan diperoleh, maka lebih kuat lagi kedudukan parti, lebih banyak lagi tuntutan jawatan boleh dibuat.

"Tiada kenal kawan, semua nak dibolot, keseluruhan perhubungan berubah, namun selepas pilihan raya kembali berpeluk-cium seperti sedia kala,” kata Presiden PSM Dr Nasir Hashim apabila ditanya baru-baru ini mengenai  kecenderungan parti-parti lain yang ingin berebut kerusi politik.

Peluang ini dihambat lagi mainan politik etnik, sentimen agama sempit dan propaganda  semakin melebar terhadap rakyat. Pertandingan tiga penjuru bukan sahaja menjejaskan peluang PH untuk menang akan tetapi juga menjadi mimpi ngeri kepada PSM.  

Laluan berliku bagi PSM mencari jalan lain ke parlimen. Namun perjuangan tetap diteruskan! – 26 November, 2017.

No comments:

Post a Comment