Tuesday, November 21, 2017

Jeneral (B) Datuk Mohd Arshad tibai Mohd Johari Baharum

Pemimpin kerajaan tidak berprinsip dakwa veteran ATM mahu guling kerajaan, kata Arshad
MALAYSIA DATELINE  -  November 21, 2017 3:51 pm
Dakwaan Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohd Johari Baharum bahawa sebahagian veteran angkatan tentera bersekongkol dengan pihak-pihak tertentu dalam mengejar kepentingan politik, dinafikan Persatuan Patrioit Kebangsaan (PPK).

Presidennya Brid Jeneral (B) Datuk Mohd Arshad Raji berkata, keanggotaan PPK yang terdiri daripada pesara tentera dan polis, ingin mengingatkan ahli-ahli politik yang memerintah untuk berhenti mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan kekeliruan, keresahan dan ketakutan di kalangan rakyat.

“Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai rekod yang kukuh di mana pasukan keselamatan sentiasa taat dan berdiri teguh dalam mempertahankan sistem Raja Berperlembagaan yang merupakan tonggak sistem demokrasi negara kita yang tercinta,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenia kenyataan  Timbalan Menteri Pertahanan Mohd Johari Baharum dilaporkan berkata bahawa veteran angkatan tentera bekerjasama dengan pemimpin politik pembangkang untuk ‘menggulingkan kerajaan’  sedangkan ujar Moh Johari lagi, kerajaan memberi pelbagai bentuk bantuan, penghargaan serta imbuhan kepada veteran.

Beliau bercakap demikian dalam sidang media selepas  menyampaikan  penganugerahan kepada 242 Veteran ATM dan balu Veteran ATM Kedah dan Perlis yang  menerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) di Dewan Ibnu Sina, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) pada Ahad.
Datuk Seri Mohd Johari Baharum

Mohd Arshad berkata, dakwaan Mohd Johari itu secara umum kepada bekas anggota tentera kononnya merancang untuk mengulingkan kerajaan dilihat menanam benih ketidakstabilan, perpecahan dan kecurigaan di kalangan rakyat, termasuk anggota keselamatan yang masih berkhidmat ataupun yang telah bersara.

“Adalah paling tidak berprinsip bagi seorang pemimpin untuk menyatakan bahawa “walaupun pelbagai bantuan dan kemudahan diberikan” kepada bekas anggota tentera dan ahli keluarga mereka yang masih hidup, mereka masih “bercita-cita untuk menjadi wakil rakyat” dengan parti-parti politik selain dari parti politik yang membentuk kerajaan majoriti hari ini.

“Pertama, beliau perlu disekolahkan dengan apa yang dimaksudkan ‘kerajaan’ dan mengapa beliau mesti faham dengan jelas perbezaan antara parti politik dan kerajaan.

“Malah, dengan memberi isyarat (hint) yang berniat jahat (malevolence) dan mengaitkan negara-negara seperti “Libya, Iraq dan Lubnan” adalah sama seperti mengugut negara kita yang aman, patriotik, taat dan ghairah (fervent) mempertahankan keamanan dan kemajuan yang dikecapi.

“PPK tidak akan menyerah kepada strategi mempecah-belah dan ugutan oleh ahli-ahli politik dan parti-parti politik yang percaya bahawa hanya mereka sahaja yang mampu dan mesti membentuk kerajaan.

“Kami juga ingin mengingatkan Timbalan Menteri bahawa mempersoalkan tahap kecekapan dan menuntut ketelusan daripada ahli-ahli politik dan akauntabiliti yang tidak dapat diragui bukanlah sama dengan bertujuan “menggulingkan” kerajaan.

“Sebaliknya adalah kewajipan setiap rakyat yang patriotik untuk memastikan bahawa negara kita dan Raja-Raja sentiasa dilindungi daripada mereka yang mempunyai motif tersembunyi yang didorong oleh kepentingan dan keuntungan peribadi dengan mengorbankan keamanan, kemajuan dan pembangunan jangka panjang negara kita Malaysia,” ujarnya.

Tambah beliau lagi veteran tidak hidup dengan ihsan mana-mana parti politik. Mereka juga tidak perlu bersumpah setia kepada mana-mana parti politik, sama ada yang berkuasa atau yang bercita-cita menjadi pilihan majoriti para pengundi, semata-mata kerana “pelbagai bantuan dan kemudahan diberikan kepada mereka”. Untuk berbuat demikian adalah sama seperti penyuapan yang melintasi sempadan rasuah.

Dikalangan veteran ujarnya lagi dibayar yuran, pencen, seperti yang termaktub dalam dasar dan undang-undang negara.

“Adalah menjadi tugas parti politik yang membentuk kerajaan hari ini untuk memastikan bahawa setiap Terma dan Syarat yang termaktub dilindungi bagi kepentingan mereka yang telah mempertaruhkan jiwa dan raga mereka untuk mempertahankan negara dan berbakti kepada Raja Perlembagaan.

” Ahli politik yang menyemai benih ketakutan adalah pengkhianat sebenar kepada rakyat, Raja dan negara,” ujarnya.

1 comment:

  1. kalau betoi baru padan muka
    puak amono ciloko ni

    ReplyDelete