Monday, November 20, 2017

KSCIP : Tindakkah ini akan mengundang bahaya kepada kita?

‘Pusat lawan IS mungkin undang ramai musuh kepada negara’

  | November 19, 2017
Seorang penganalisis pertahanan bimbang imej Malaysia sebagai negara neutral tercalar dan menjadi alat Arab Saudi untuk menyampaikan suaranya kepada negara yang tidak memihak kepada mereka.
KUALA LUMPUR: Seorang penganalisis pertahanan memberi amaran kepada kerajaan masalah sebenar penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) bukan cara memerangi pengganas, tetapi Malaysia perlu mencari jalan mengelakkan ia mengundang lebih ramai musuh, jika gagal mengekalkan dasar berkecualinya.
Muhammad Fuad Mat Noor bimbang imej Malaysia sebagai negara neutral tercalar dan menjadi alat Arab Saudi untuk menyampaikan suaranya kepada negara yang tidak memihak kepada mereka.
“Kita di Malaysia menganggap Dr Syeikh Yusuf Abdullah al-Qaradawi sebagai ulama muktabar, tetapi Arab Saudi menganggap beliau membawa suara pengganas.
“Itupun kita sudah bercanggah, bagaimana kita mahu basmi keganasan,” katanya ketika dihubungi FMT.
KSCIP diilhamkan Raja Saudi, Raja Salman Abdul Aziz pada Februari lepas, semasa lawatan rasmi ke Malaysia.
Enam bulan lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dilaporkan berkata, KSCIP memulakan operasinya di sebuah pejabat sementara di Kuala Lumpur pada 30 Mei lalu, dalam usaha menangkis pengaruh ekstremis dan membetulkan persepsi masyarakat dunia terhadap Islam.
Katanya, KSCIP sudah ditetapkan untuk mula beroperasi selepas 90 hari lawatan Raja Salman ke negara ini.
Kerajaan turut memperuntukkan tanah seluas 16 hektar di Putrajaya untuk membina pusat tersebut, walaupun butiran lanjut, termasuk staf KSCIP belum diumumkan.
Fuad yang merupakan bekas ketua pengarang majalah pertahanan, Tempur tidak membantah pembinaan pusat melawan IS itu, tetapi bimbang Malaysia terjerumus dalam kancah politik negara Teluk membabitkan Arab Saudi.
“Kita mahu pengiktirafan dengan membina pusat membasmi IS, tetapi kalau kita tidak neutral dan dianggap berpihak kepada Arab Saudi kita susah nanti.
“IS ini tidak ada negara, tetapi berbahaya jika kita turut bermusuh dengan negara besar seperti Iran dan Yaman.
“Macam mana kita mahu memastikan polisi pusat keamanan itu tidak memihak, sedangkan pusat itu dibiayai Raja Salman?
“Saya khuatir KSCIP ini memerangkap kita dengan menggunakan nama ‘Raja Salman’ itu sudah menunjukkan (ia) tidak neutral.”
Penceramah kontroversi, Zamihan Mat Zin dalam sebuah video selama 2 minit 27 saat yang tersebar baru-baru ini menyifatkan tindakan perdana menteri membenarkan pembinaan KSCIP sebagai “kurang cerdik”.
Presiden Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) itu dilaporkan berkata, kerjasama Putrajaya dengan Riyadh untuk melawan IS tidak realistik kerana negara itu sendiri yang melahirkan pengganas dan agensi sedia ada dalam Malaysia mencukupi.
“Kalau Arab Saudi tidak datang ke negara kita untuk melawan keganasan juga tidak mengapa. Kita sudah ada Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Penjara Malaysia dan institusi keselamatan lain.
“Kenapa hendak bergantung kepada Arab Saudi untuk lawan IS. Arab Saudi sendiri lahirkan IS. Mereka (Arab Saudi) sendiri tidak boleh pulihkan IS di negara mereka, bagaimana hendak pulihkan tahanan IS di negara kita,” kata Zamihan.
Malaysia tak perlu bantuan luar basmi pengganas
Sementara itu, Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan, Brig Jen (B) Datuk Mohamed Arshad Raji berkata, dengan kepakaran yang dimiliki Malaysia, Putrajaya tidak perlu bergantung kepada negara lain untuk membanteras pengganas.
Beliau berkata, pihaknya kurang bersetuju dengan penubuhan pusat keamanan tersebut kerana Arab Saudi yang sepatutnya belajar daripada Malaysia cara menangani pengganas.
“Saya tak faham, kepakaran itu ada pada kita, kenapa kita nak guna ‘Pak Arab’ ini.
“Kita satu-satunya negara di dunia yang berjaya menentang komunis, jadi tidak perlu kita bergantung kepada orang luar,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, Malaysia juga mampu membina pusat memerangi IS tanpa perlu mengharapkan bantuan Arab Saudi.
“Arab sendiri bermasalah nak tentang pengganas.”

No comments:

Post a Comment