Thursday, November 30, 2017

Santai: Nama-nama tempat berbunyi pelik di Malaysia

Nama Tempat Pelik Yang Benar-Benar Wujud Di Malaysia
Oleh Nurulwahida Othman 

1. Kampung Bogel, Terengganu

Walaupun Kampung Bogel dekat Kampung La, Hulu Besut telah bertukar nama dengan panggilan Kampung Beliku sejak 20 tahun lalu, tetapi penduduk sekitar masih senang memanggil dengan panggilan lamanya.
Peneroka asal kampung tersebut, Jusoh Mamat, 78, berkata dia tidak pasti mengapa kampung tersebut dikenali dengan nama itu kerana penduduk kampung memanggilnya sejak zaman arwah nenek moyangnya lagi.

2. Batak Rabit, Perak

Batak Rabit ialah sebuah pekan kecil di daerah Hilir Perak di Perak, Malaysia. Pekan ini terletak berhampiran bandar Teluk Intan. Ia dinamakan sempena tentera upahan Batak yang datang dari Daerah Batak di Sumatera yang dibawa oleh Raja Laut semasa perang saudara Selangor sekitar tahun 1867 hingga 1874.
Batak Rabit kini merupakan sebuah perkampungan nelayan kecil yang didominasi oleh kaum Batak Melayu yang asalnya dari Batak di Sumatera dan merupakan syurga bagi Udang Galah.

3. Kampung Dada Kering, Pahang
Kampung ini dinamakan Dada Kering merujuk kepada tanah yang telah dilombong dan terbengkalai. Semenjak penutupan lombong, tapak-tapak perlombongan telah dipenuhi dengan air dan bertukar menjadi ladang air segar.

Kampung ini pernah menjadi lombong emas, secara literal. Tetapi deposit emas dan rizab telah lama habis dan lombong telahpun ditutup.

4. Desa Temu Jodoh, Johor
Tempat ini dikatakan mendapat nama sempena majlis perkahwinan secara serentak membabitkan 24 pasangan suami isteri, yang kebanyakannya peserta Rancangan Tanah Muda kelolaan kerajaan negeri Johor.

Perkampungan ini dibuka kira-kira 30 tahun lalu dan ia dulu dikenali sebagai Rancangan Tanah Pemuda Kampung Sungai Lenek yang terletak 60 kilometer dari bandar Segamat dan 20 km dari daerah Yong Peng.
Antara papan tanda yang terdapat di Desa Temu Jodoh.

5. Kampung Imam Lapar, Terengganu
Ada sebuah kisah menceritakan, terdapat dua orang pedagang ke surau yang terletak di tepi tebing pengkalan berkenaan dan mendapati imam sedang khusyuk menghafaz al-Quran.
Kemungkinan peristiwa itu diceritakan oleh pedagang itu kepada orang lain bahawa dia memberitahu imam, lapar tetapi imam itu terus ‘laper’ (menghafaz) al-Quran.

6. Kampung Seronok, Pulau Pinang
Seorang jurutera Inggeris, D.W Grehan, sering datang ke kampung ini dan berkesempatan menghadiri beberapa majlis keramaian pada setiap tahun.
D.W. Grehan sungguh tertarik dengan cara hidup penduduk kampung ini dan aktiviti yang dijalankan. Beliau kemudian mencadangkan kampung ini dengan nama Kampung Seronok dalam tahun 1946 dan dipersetujui oleh orang kampung.

7. Kampung Baru Jumpa, Sabah



Kampung Baru Jumpa terletak kira-kira 25 kilometer dari pekan Tenom, yang sebahagian besarnya dihuni masyarakat etnik Lundayeh, kini merupakan sebuah kampung yang maju dan menjadi kampung contoh dan terkenal dengan hasil pertaniannya seperti padi, koko dan getah.

8. Kampung Atas Tol, Terengganu

Mengikut cerita orang-orang tua, penduduk di sini pada zaman tersebut tinggal di beberapa penempatan secara berkelompok, di pinggir tanah gersang yang terbentang luas, berpasir, tidak sesuai untuk tujuan bercucuk tanam dan sukar mendapatkan sumber air.
Tanah gersang yang tidak bernama itu sekadar disebut ‘di atas itu’ atau ‘atas tu’ sahaja, lama kelamaan ia telah menjadi bahan percakapan dan akhirnya panggilan ‘ATAS TU’ atau ‘ATAS ITU’ disebut dengan Atas Tol pada 1924 semasa penasihat British yang pertama iaitu Humpreys memperkenalkan sistem daerah buat pertama kalinya.

9. Mambang Di Awan, Perak

Mengikut seorang pegawai Inggeris bernama George Maxwell, dia menyebut tempat tersebut sebagai Mambang Di Awan kerana tempat berkenaan terdapat seorang mambang atau bidadari yang turun dari Gunung Bujang Melaka.
Ada juga yang mengatakan ia bermula dengan sekumpulan pelombong bijih timah yang telah bekerja keras sepanjang hari dan apabila mereka berehat, mereka ternampak bidadari di awan-awan kerana keletihan mereka, oleh itu, dapat disimpulkan bahawa nama Batang Tonggang kemudian menjadi Mambang Di Awan.


10. Kota Sarang Semut, Kedah
Riwayat menceritakan bahawa terdapat seorang raja bernama Raja Sulaiman telah lalu di tempat ini dengan sekumpulan lelaki dan juga gajah.
Semut, yang takut busut mereka akan dimusnahkan oleh kumpulan itu, menangis simpati dan didengari oleh Raja Sulaiman. Beliau kemudian memberi amaran kepada rombongannya agar tidak memusnahkan busut tersebut.

11. Kampung Penajis, Negeri Sembilan
Di DUN Kota dalam Parlimen Rembau terdapat satu tempat yang diberi nama Kampung Penajis. Menurut sejarah, nama asal kampung ini ialah Kampung Penajuh bersempena nama peneroka kampung ini iaitu Datuk Najuh. Ia turut dikenali dengan nama Kampung Penajeh.
Dalam bahasa Sanskrit Tajeh berasal dari suku kata Taj yang bermaksud mahkota. Bekemungkinan juga Penajeh bermaksud orang yang memakai mahkota atau orang yang dimahkotakan (ditabalkan).

12. Batang Melaka, Melaka
Batang Melaka ialah sebuah mukim dalam daerah Jasin, negeri Melaka, Malaysia. Pekan Batang Melaka pula adalah sebuah pekan kecil yang sebahagian daripadanya dalam daerah Jasin negeri Melaka dan sebahagian lagi dalam daerah Tampin, Negeri Sembilan
Batang Melaka terletak ditengah-tengah sempadan Melaka dan Negeri Sembilan di mana terdapat papan tanda memasuki negeri Melaka/Negeri Sembilan. Pekan ini boleh dikatakan seperti sebuah pekan koboi yang masih lagi tidak banyak berubah sejak dari tahun 1960’an.

13. Jalan Microwave, Sabah
Pengguna jalan raya memandu di sepanjang 350km yang sunyi jalan antara Kota Kinabalu dan Sandakan sentiasa boleh melihat tanda jalan raya untuk tertawa ria: Jalan Microwave di KM177.

14. Menggatal

Menggatal merupakan sebuah bandar kecil dan sub-daerah yang terletak di Daerah Kota Kinabalu, Pantai Barat Sabah. Nama pekan ini diambil bersempena nama sejenis pokok mangga yang mengeluarkan buah dimana ianya boleh menyebabkan kegatalan apabila dimakan. Pada asalnya, ia dipanggil Mangga Gatal, tetapi lama-kelamaan sebutan itu diringkaskan menjadi Menggatal.

Lagi:
 
-  sumber asal

2 comments:

  1. Foto kedua dan ketiga akhir itu berlatar belakang yang amat sebiji persamaannya, tetapi kenapa nama jalan itu berbeza?

    ReplyDelete
  2. Nak tambah, Batang Berjuntai, Selangor dan 3 buah mukim yang berturut2 di Kedah -- Langgar, Potok Sena, Gajah Mati. Ada signboard sebelum pekan Langgar yang tulis ke3-3 bandar di atas.

    ReplyDelete