Anwar hadir, sedia beri keterangan di RCI
Anwar merupakan menteri kewangan ketika kerugian mata wang asing Bank Negara pada 1990-an.
PUTRAJAYA: Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir di Istana Kehakiman di sini hari ini bagi memberi keterangan pada prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sekitar 1990-an.
Anwar yang juga menteri kewangan ketika kerugian itu diiringi pegawai Jabatan Penjara ketika memasuki Istana Kehakiman pada kira-kira 8.40 pagi.
Kenderaan Anwar diiringi kenderaan polis dan Jabatan Penjara menggunakan laluan khas untuk ke perkarangan mahkamah menyebabkan wakil media menghadapi kesukaran untuk merakamkan kehadirannya.
Anwar merupakan menteri kewangan dari 1991 hingga 1998. Beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1993 sebelum dipecat pada tahun 1998.
Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, anaknya Nurul Izzah Anwar serta anggota keluarganya, peguam beliau R.Sivarasa dan Datuk Dr Gurdial Singh Nijar juga berada di Istana Kehakiman.
Prosiding yang memasuki hari ke-6 telah memanggil 17 saksi sehingga semalam.
Selain Anwar, saksi lain yang dijadual memberi keterangan hari ini termasuk bekas Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Ahmad Mohd Don dan bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Dr Hadenan Abdul Jalil.
RCI itu ditubuhkan selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 [Akta 119] yang penubuhan dan keanggotaannya mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Suruhanjaya 6 anggota itu dipengerusikan Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.
Turut menganggotai suruhanjaya itu ialah Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Kamaludin Md Said; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd Datuk Seri Tajuddin Atan; Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan Tan Sri Saw Choo Boon, Ahli Institut Akauntan Malaysia K. Pushpanathan dan Pengarah Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan Datuk Dr Yusof Ismail yang juga Setiausaha suruhanjaya siasatan itu.
No comments:
Post a Comment