Tuesday, November 14, 2017

Dohtuu.......nok wala' ko sapo lagi? Kalu dok, parok demo!

Saya ‘wala’ kepada Najib, kata Zamihan
Amin Iskandar · Diterbitkan pada 13 Nov 2017 3:22PM
Pendakwah Zamihan Mat Zain berkata ada 'pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab' sengaja memfitnahnya. – Gambar YouTube, 13 November, 2017.

PENDAKWAH Zamihan Mat Zain mengatakan beliau setia kepada Perdana Menteri Najib Razak dan menambah “memberikan pendapat tidak bermaksud menghina”.

Mengulas mengenai kritikan beliau kepada Najib berhubung isu pemberian tanah kepada kerajaan Arab Saudi untuk Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) di Putrajaya, Zamihan berkata, “pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab” sengaja memfitnahnya.

“Saya cukup menghormati Najib sebagai pemimpin no satu negara. ‘Wala' saya tetap bersama beliau sebagai "government of the day".

“Ada pihak yang tidak bertanggungjawab cuba mengedit video ceramah saya sekerat demi sekerat untuk mentohmah dan memfitnah saya,” tulis Zamihan di Facebook semalam.


Zamihan merupakan petugas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tetapi dipinjamkan ke Jabatan Penjara di bawah Kementerian Dalam Negeri.

Dalam video yang tersebar itu, Zamihan bertanya apakah kerana Malaysia "terhutang budi" kepada Arab Saudi melalui bantuan kewangan dan persefahaman mengenai kuota haji maka negara itu dipelawa membuka pusat keamanan global itu di negara ini dan diberi tanah seluas 16 hektar.

"Bagi saya tindakan PM ini bukan tindakan cerdik.

“Nak ambil tindakan kepada saya penjawat awam, silakan. Kita negara demokrasi,”   kata Zamihan, yang juga terlibat dengan beberapa kontroversi baru-baru ini.

Semakan di YouTube mendapati video itu dirakamkan daripada ceramah di sebuah masjid di Ampang, Selangor dan dimuat naik di akaun Online Majlis Ilmu pada 11 Julai 2017.

Menurut Zamihan, kerjasama Malaysia dengan Arab Saudi untuk melawan pengganas Daesh itu tidak realistik kerana negara itu sendirilah yang melahirkan Daesh.

Katanya, Malaysia tidak memerlukan Arab Saudi untuk memulihkan tahanan militan kerana agensi sedia ada dalam negara sudah mencukupi. 

Dalam tulisannya semalam, Zamihan menjelaskan, ceramah sebenarnya pada Julai itu merupakan pengajian kitab “Sifat Solat Nabi Yang Sahih” berdurasi 1 jam, 30 minit dan 19 saat itu sengaja disunting dan diviralkan semula menjadi 2 minit 27 saat. 

“Motifnya jelas bagi melaga-lagakan saya dengan para pemimpin negara. 

“Bertaqwalah kepada Allah dan berlaku adillah dalam menilai sesuatu berita,” katanya.

Zamihan bulan lalu ditahan reman dua hari bagi membantu siasatan mengikut Akta Hasutan 1948 kerana ceramahnya di Masjid Tengku Ampuan Jemaah di Shah Alam yang didakwa menghina kaum lain serta kritikan terhadap Sultan Johor berhubung titah tuanku mengenai kedai dobi layan diri untuk Muslim saja.

Jabatan Agama Islam Selangor juga mengharamkan Zamihan daripada memberi ceramah di masjid dan surau negeri, manakala Majlis Agama Islam Selangor mengarahkan siasatan terhadap Zamihan kerana didakwa mengkritik institusi diraja semasa ceramahnya.

Sementara itu, beberapa pihak mempersoalkan penglibatan Zamihan dalam program pemulihan militan, dengan pandangan terbaru disuarakan oleh MCA.

Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA, Ti Lian Ker berpendapat kerajaan tidak sepatutnya mempertahankan Zamihan Mat Zin sebaliknya memulihkan pegawai agama itu terlebih dahulu sebelum beliau diberikan peranan memulihkan orang lain. – 13 November, 2017

1 comment:

  1. Najib mesti kembang habis. Ulama tersohor ni cuma wala' kpd najib. TG hj hadi pun tak dipandang dia!

    ReplyDelete