Wednesday, November 29, 2017

Hah tu.......janganlah terlajak sangat!

'Gila kalau MB bertumbuk'
mk      28 Nov 2017, 6:02 pm
Hampir seminggu berlalu selepas Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dilaporkan mengancam untuk menumbuk ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri namun pada hari ini beliau meminta maaf, lapor media tempatan.

"Kalau ADUN bertumbuk pun kita dah anggap gila, apa lagi kalau MB (menteri besar) yang bertumbuk.

Selama 67 tahun Adnan hidup, boleh tanya orang saya ini bagaimana...saya banyak berhujah, tapi bertumbuk tidak pernah. Saya bukan gengster," kata Adnan sebagaimana dipetik agensi berita Bernama.

Beliau menyampaikan permintaan maaf kepada ADUN Mentakab Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, ADUN Tanah Rata Leong Ngah Ngah dan speaker DUN Ishak Muhammad.

Adnan menegaskan bahawa beliau tidak pernah berniat mahu mengajak Tengku Zulpuri Shah (gambar, bawah) bertumbuk seperti yang dilaporkan oleh sesetengah media, malah perkataan tumbuk juga tidak pernah diutarakannya, lapor Bernama.
Beliau menjelaskan cabaran beliau kepada Tengku Zulpuri untuk 'keluar dewan' tidak bermaksud beliau mahu bergaduh secara fizikal di luar DUN.

"Saya ajak Mentakab (Tengku Zulpuri Shah) keluar dewan itu boleh jadi saya ajak beliau keluar untuk minum, mungkin nak bincang dengan lebih lanjut, mungkin nak bercerita...tapi orang buat pandangan sendiri," katanya dipetik Bernama.

Adnan menambah beliau berpandangan adalah perbuatan yang terpuji untuk beliau meminta maaf dan berharap semua anggota dewan, sama ada daripada pihak kerajaan dan pembangkang tidak lagi memanjangkan isu itu dan terus bekerja keras pada pilihan raya akan datang.

Bernama turut melaporkan Tengku Zulpuri Shah sebaik sahaja Adnan menamatkan penggulungan, berdiri menyatakan beliau 'memaafkan menteri besar dan tidak mempunyai masalah kerana faham Adnan mungkin tertekan pada sidang itu'.

Persidangan DUN Pahang hari ini juga sebulat suara meluluskan pembentangan Bajet 2018 yang menyaksikan bajet lebihan sebanyak RM640,000 untuk tahun 2018 yang juga bajet lebihan ke-15 sejak tahun 1992, dengan anggaran kutipan hasil sebanyak RM700.64 juta manakala perbelanjaan mengurus berjumlah RM700.04 juta.

Persidangan ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditentukan kemudian.

No comments:

Post a Comment