Wednesday, November 29, 2017

Sehingga gini dipaksa kunci mulut?

Universiti larang kakitangan, pelajar tunjuk kelemahan kerajaan

  | November 28, 2017
Kakitangan dan pelajar diberitahu mereka tidak boleh memberikan sebarang kenyataan dan penjelasan kepada media tanpa kebenaran menteri.
PETALING JAYA: Pihak pengurusan sebuah universiti awam tempatan terkemuka mengenakan larangan ke atas kakitangan dan pelajar, yang melarang mereka menunjukkan kelemahan dasar universiti atau kerajaan kepada media atau orang ramai.
Tidak diketahui apakah yang menyebabkan universiti mengeluarkan notis itu.
Seorang kakitangan yang tidak mahu dinamakan memberitahu FMT, beliau menerima notis daripada pihak pengurusan minggu ini.
“Nampaknya sekarang tak boleh kritik kerajaan,” katanya, dan menambah itu kali pertama universiti itu mengeluarkan notis seperti itu.
Notis itu dikeluarkan oleh unit integriti pejabat naib canselor.
Notis itu memberi amaran kepada kakitangan dan pelajar bahawa mereka tidak boleh membuat pernyataan awam yang memudaratkan dasar, rancangan atau keputusan universiti atau kerajaan tentang apa-apa isu.
Mereka juga tidak boleh memburukkan nama universiti atau kerajaan; menunjukkan kelemahan dasar, rancangan atau keputusan; memberikan apa-apa maklumat atau fakta mengenai perjalanan fungsi universiti; dan memberikan apa-apa penjelasan berkenaan apa-apa peristiwa atau laporan mengenai universiti atau kerajaan.
Mereka hanya dibenarkan bercakap jika kebenaran diperolehi daripada menteri yang berkenaan.
Pernyataan awam yang dirujuk dalam notis itu termasuk kenyataan akhbar, ulasan, ucapan dan penerbitan media sosial, secara lisan, bertulis dan apa-apa cara lain.
Notis turut menyatakan notis dikeluarkan mengikut Peraturan 18 daripada Peraturan-Peraturan Tatatertib Badan Berkanun bawah Akta Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj).
Notis bagaimanapun tidak menyatakan hukuman jika kakitangan atau pelajar didapati bersalah melakukan kesalahan.
Unit integriti universiti itu ketika dihubungi FMT mengesahkan pihaknya mengeluarkan notis itu semalam melalui sistem e-mel universiti.
Unit itu bagaimanapun enggan memberikan alasan mengapa notis sebegitu dikeluarkan.
Aktivis pelajar Anis Syafiqah Mohd Yusof mengkritik notis itu dan berkata tindakan itu cubaab terdesak menghalang pelajar mengkritik universiti dan kerajaan.
“Ini membuktikan universiti dikawal sepenuhnya oleh kerajaan dan ahli politik,” katanya.
Sebelum ini, Anis dan 3 pelajar lain memfailkan saman mencabar kesahan peraturan universiti, yang didakwa melanggar kebebasan bersuara mereka.
Anis digantung selama 1 semester dan didenda RM400 oleh tribunal universiti kerana menganjurkan tunjuk perasaan “Tangkap MO1” pada Ogos tahun lepas.
Seorang lagi aktivis pelajar, Tan Jia You, berkata mengehadkan pernyataan perasaan kakitangan dan pelajar suatu tindakan yang tidak logik.
“Universiti tempat untuk kita belajar bagaimana untuk menyampaikan fikiran kita secara bebas dan berfikir secara kritikal.
“Notis itu melanggar kebebasan akademik,” katanya.
Tan berkata notis itu juga tidak jelas mengenai pernyataan bagaimana yang dianggap boleh menjejaskan nama universiti.
“Jika saya pulang ke rumah dan beritahu ahli keluarga saya tidak berpuas hati dengan kemudahan tertentu, adakah pihak universiti akan mendakwa saya membuat pernyataan awam terhadap fakulti?”

1 comment:

  1. Dulu setakat profesor sj yang kangkung, skrg universiti pula kangkung. Omg. Unit integriti? Kepala bapa kau.

    ReplyDelete