Friday, November 24, 2017

Kerakusan menjarah: Banjir lumpur di Lojing

Banjir lumpur ancam perkampungan Orang Asli di Lojing 
TMI · Diterbitkan pada 23 Nov 2017 8:58PM
Penggondolan bukit secara tidak terkawal d Lojing Gua Musang didakwa antara faktor yang menyebabkan kejadian banjir lumpur dan tanah runtuh. – Gambar Youtube, 23 November, 2017

TANAH runtuh dan banjir lumpur dilaporkan sering berlaku dan memberi ancaman kepada lebih 300 penduduk Orang Asli daripada 120 keluarga di Kampung Sang Wai, yang terletak di kawasan tanah tinggi Lojing di Gua Musang sejak tiga bulan lepas.

Ketua Penghulu Orang Asli Kelantan Bidi Ronggeng berkata kejadian itu sering berlaku akhir-akhir ini sejak kawasan bukit yang terletak kira-kira 100 meter dari perkampungan mereka digondolkan oleh sebuah syarikat untuk dijadikan kawasan pertanian bagi penanaman sayur-sayuran.

Terbaru tanah runtuh berlaku tiga hari lepas dan aliran air Sungai Belatop juga terganggu kerana timbunan tanah, katanya ketika ditemui pemberita di perkampungan itu, hari ini.

Menurutnya selain Kampung Sang Wai, beberapa perkampungan Orang Asli lain di Lojing dan Pos Brooke turut terjejas akibat daripada kerja-kerja penerokaan hutan manakala penempatan rosak akibat banjir  lumpur seperti Kampung Jedip.

Sementara itu, seorang penduduk Orang Asli kampung itu, Kamarudin Uda, 43, berkata masyarakat Orang Asli sudah jemu membuat aduan kerana setiap laporan yang dibuat kepada kerajaan negeri Kelantan sebelum ini tidak disusuli sebarang tindakan lanjut.

"Saya minta tolong sekali lagi kepada semua pihak, harap dapat bersimpatilah dengan nasib masyarakat Orang Asli dan hentikanlah menggondol bukit ini," katanya.

Ketika ditemui, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas Ab Aziz Yusof berkata kerajaan negeri sewajarnya menghentikan sebarang kegiatan pembukaan tanah pertanian di Lojing kerana didapati aktiviti membersihkan kawasan hutan atas alasan membuka kawasan pertanian kini sudah tidak terkawal.

Beliau berkata kesan daripada kegiatan itu amat jelas apabila masyarakat Orang Asli menerima padahnya kerana perkampungan masyarakat itu hilang satu-satunya sumber air bersih selain kehilangan sumber pendapatan daripada hasil hutan.

"Saya sudah beberapa kali melaporkan perkara itu kepada pemimpin kerajaan negeri selepas meninjau sendiri keadaan yang berlaku tetapi saya kecewa kerana sehingga kini masih belum ada tindakan daripada pemimpin kerajaan negeri," katanya. – Bernama, 23 November, 2017.

1 comment:

  1. Lebai kt nak berhenti buat apa. Ia halalan thoiyiban

    ReplyDelete