Sunday, November 26, 2017

‘anjing’ jilat ego pemimpin'

Kroni adalah ‘anjing’ jilat ego pemimpin, kata Robert Kuok
TMI · Diterbitkan pada 25 Nov 2017 7:04PM ·
Robert Kuok menulis tentang hubungannya dengan tiga bekas perdana menteri Malaysia sebelum ini; Tunku Abdul Rahman, Abdul Razak Hussein dan Hussein Onn. Katanya, Tunku, Bapa Kemerdekaan Malaysia mempunyai ramai kawan baik tetapi tiada seorangpun yang dijadikan kroni, yang menurutnya adalah anjing peliharaan jilat ego pemimpin. – Gambar AFP, 25 November, 2017

ROBERT Kuok, taikun yang kaya-raya bermula dengan perniagaan gula, dalam memoirnya yang masuk pasaran hari ini, mendedahkan hubungannya dengan tiga perdana menteri Malaysia yang awal dan bagaimana sikap mereka terhadap perniagaan.

Individu paling kaya di Malaysia itu merakamkan pengalamannya dalam buku Robert Kuok: A Memoir, yang petikannya disiarkan di portal berita South China Morning Post.

Dalam satu daripada tiga petikan yang disiarkan hari ini, Kuok menulis pandangannya tentang kronisme dan persahabatannya dengan tiga perdana menteri: Tunku Abdul Rahman, Abdul Razak Hussein dan Hussein Onn.

Menurut Kuok, Tunku ada kawan baik yang kadang-kala beliau bantu tetapi tidak ada yang beliau jadikan sebagai kroni.

Kuok merakamkan episod bagaimana Tunku menulis sepucuk surat kepada Menteri Kewangan Tan Siew Sin meminta pertolongan untuk kawannya yang ada masalah dengan cukai.

Siew Sin kemudian mengadu kepada Dr Ismail Abdul Rahman, yang hanya ketawa dan membuang surat itu ke bakul sampah.

Tulis Kuok, hanya setakat itulah Tunku membantu kawannya, iaitu dengan menulis surat.

"Kronisme berbeza. Kroni itu 'anjing peliharaan' yang menjilat ego seseorang pemimpin. Sebagai ganti, pemimpin itu menyerahkan kepentingan negara kepada mereka.

"Aset, projek dan perniagaan negara tidak harus jadi milik sesiapa untuk diagih-agihkan, baik seorang raja atau perdana menteri," tulis Kuok.  

Pemimpin sejati, tambah beliau, adalah pemegang amanah utama negara.

Pemimpin yang mengamalkan kronisme pula akan melakukan apa saja sehingga mengetepikan peraturan serta menekan bank milik kerajaan untuk memberi pinjaman.

"Sesetengah kroni ini mungkin pemuka kepada pegawai yang tidak jujur," tambahnya.

Buku setelah 376 halaman itu bertajuk Robert Kuok: A Memoir, dijual di Hong Kong dan Singapura bermula hari ini. Ia akan masuk ke pasaran Malaysia pada 1 Disember dan Indonesia sebulan kemudian.

Kuok juga menyifatkan Tunku seorang pemimpin yang bijak, cekap dan strategik, dan mempunyai timbalannya, Abdul Razak yang melaksanakan perancangan besar beliau dengan baik.

Menurut Kuok, selepas tragedi berdarah 13 Mei 1969, bidang perniagaan berubah — "tidak lagi bersih dan terbuka".

Beliau menceritakan bagaimana dasar ekonomi yang memberi ruang dan peluang kepada orang Melayu telah disalahgunakan secara salah, dan kesalahan itu tidak boleh dipertikaikan.

"Satu kesan sampingan kesungguhan mereka untuk merapatkan jurang ekonomi itu ialah perkauman yang jadi semakin jelek.  

"Saya nampak dengan jelas bagaimana bahayanya jalan yang dipilih oleh pemimpin-pemimpin selepas 1969," katanya.

Kuok kemudian berjumpa dengan Hussein Onn, yang ketika itu akan jadi perdana menteri ketiga, untuk menyuarakan pandangannya.

Katanya, beliau mengingatkan Hussein tentang pentingnya Malaysia dibangunkan oleh pemimpin yang berbakat dan layak tanpa mengira kaum, dan menasihati bakal perdana menteri itu tentang ciri-ciri pemimpin yang diperlukan oleh negara.

Pertama, integriti — bersih, lurus, jujur dan tidak tercemar sedikit pun dengan rasuah atau skandal. Kedua, mampu dan berupaya, dan ketiga sedia bekerja keras.

"Saya merayu kepadanya, tolonglah, Hussein, gunakan mereka yang terbaik, yang hatinya berada di tempat yang betul, rakyat Malaysia yang penuh integriti dan sangat berkebolehan, bekerja keras dan tekun.

"Gunakan mereka tanpa mengira kaum, warna kulit dan kepercayaan."

Kuok kemudian menulis bagaimana Hussein, selepas mendengar pandangannya itu, berkata orang Melayu belum bersedia dan menjelaskan ia akan ditentukan oleh orang Melayu.

"Saya fikir Hussein faham mesej saya tetapi beliau tahu apa yang berlaku sudah terlanjur," katanya, dan menambah perdana menteri ketiga itu berjaya sedikit membetulkan hala tuju negara.

"Negara ini sudah di landasan yang salah. Hussein tidak cukup kuat untuk membetulkannya dan meletakkannya semula ke landasan yang betul."  

Sementara itu, satu bahagian lagi yang disiarkan oleh SCMP hari ini menceritakan hubungan Kuok dengan ibunya, dan bagaimana ibunya merupakan pencetus keinginannya untuk melabur di China, negara “kelahiran ibu bapanya dan nenek moyangnya”.

Menurut Kuok, ibunya adalah individu bertanggungjawab membentuk pandangan hidupnya daripada cinta sehinggalah kepada perniagaan.  Kuok mula  berniaga di China pada 1965 dan melihat sendiri perbezaan negara itu sebelum dan selepas Revolusi Kebudayaan.

Pada bahagian ketiga yang disiarkan SCMP hari ini, Kuok juga berkongsi pengalamannya mengetuai syarikat penerbangan Malaysia-Singapore Airlines, selepas republik itu disingkirkan dari Malaysia pada 1965.

MSA kemudian berpecah membawa haluan sebagai syarikat penerbangan negara masing-masing pada 1972, selepas enam tahun beroperasi. – 25 November, 2017.

2 comments:

  1. This web site really has all the info I needed concerning this
    subject and didn't know who to ask.

    ReplyDelete
  2. Negara ini sudah di landasan yang salah

    dah medeka maseh guna kitab penjajah untuk merintah memang banyak salah pung
    asal t melayu pi tukar nama malaysia
    sia tu apa ke benda
    melayu yang duk pegang kuasa tak pegang amanah dari Allah
    tapi duk pegang pesan dari penjajah
    ni yang cilako punya melayu
    ada kuasa tak tau nak guna kuasa
    untuk daulatkan bm islam di t melayu
    tak ada keberanian untuk berjuang
    ynag da banyak cerita duk dengar depa ni
    kuat berebut wang

    ReplyDelete