Monday, September 4, 2017

RCI Memali dan persediaan PRU14

DR ISKANDAR HASAN TAN ABDULLAH  -  4 SEPTEMBER 2017
SURUHANJAYA siasatan diraja (RCI) Memali menjadi satu isu panas dan saling berkait rapat antara Pas dan Amanah. RCI Memali amat penting dalam mengukuhkan hubungan politik matang sebagai persediaan menghadapi PRU14.

Ini boleh dilihat apabila elemen gelombang kedua Politik Islam semakin nyata apabila PKR dengan sendiri mengadakan mesyuarat rahsia dengan Presiden Pas. Mesyuarat tersebut lebih ke arah pertandingan satu lawan satu dalam PRU14 tanpa ada blok ketiga. Kebangkitan tsunami Politik Islam sememangnya akan menjadi kenyataan. Ini disebabkan beberapa faktor.

Antaranya pertama, dalam PRU14 nanti akan menyaksikan sebahagian besar pemimpin-pemimpin yang bertanding pemilihan ketua kerajaan dalam sistem demokrasi Malaysia adalah terdiri daripada beberapa tokoh pemimpin veteran politik dikenali umum.

Pemimpin-pemimpin tersebut sebahagian besarnya adalah pemimpin Melayu Islam. Ini menjurus kepada pengundi-pengundi yang sebahagian besar adalah Melayu Islam yang merangkumi 70% keseluruhan pengundi di Malaysia membuat keputusan dalam pemilihan ketua kerajaan PRU14 nanti.

Kedua, kejatuhan ideologi materialisme dalam kalangan generasi pengundi muda Islam adalah disebabkan ketidakseimbangan antara pendapatan dan hutang individu. Situasi ini berlaku kerana keperluan kehidupan seperti kenderaan dan perumahan bukan lagi barangan kemewahan tetapi satu keperluan. Ini menyebabkan majoriti pengundi-pengundi muda Islam menanggung antara 50-75% hutang daripada pendapatan mereka. Faktor ini menyebabkan mereka beralih kepada agenda pengisian Islam sebagai satu jalan keluar dalam mencari kebahagiaan kehidupan di dunia dan  akhirat.

Ketiga, penambahan pengundi-pengundi Islam antara 5-10% di semua kawasan Parlimen dan Dun di Malaysia. Diikuti penurunan pengundi-pengundi bukan Islam antara 3-8% di semua kawasan Parlimen dan Dun. Ini menyaksikan pertambahan nisbah antara pengundi Islam dan bukan Islam, tetapi andai kata pertambahan nisbah pengundi Islam ini tidak melibatkan diri dalam pengundian PRU14 nanti, akan menyebabkan pertambahan nisbah tersebut tidak memberi makna langsung. Maka agenda kesedaran tanggungjawab sebagai pengundi perlu digerakkan terutama dalam kalangan pengundi-pengundi baharu ini.

Keempat, faktor parti-parti Melayu Islam bertanding dalam PRU14 nanti lebih ramai bilangannya berbanding parti-parti bukan Islam. Walaupun begitu, parti-parti bukan Islam ini akan memainkan peranan dalam penentuan kemenangan gabungan parti-parti yang mereka anggotai di Malaysia. Ini disebabkan penguasaan majoriti pengundi-pengundi bukan Islam di kawasan bandar telah menurun antara 2-6%.

Situasi ini sebenarnya memberi kelebihan kepada pemimpin-pemimpin Islam yang bertanding dalam PRU14 nanti menjadi calon di kawasan bandar. Bagaimanapun, penentuan kemenangan bergantung kepada pengundi bukan Islam jika faktor peratusan kehadiran pengundian daripada pengundi Islam yang tidak hadir tinggi.

Kelima, pelbagai gejala sosial membabitkan rasuah dan jenayah yang semakin menular menyebabkan masyarakat Islam terpanggil untuk melaksanakan tanggungjawab menjaga keamanan dan keselamatan mereka. Ini menyebabkan masyarakat Islam semakin dekat dengan agenda pengisian Islam sebagai satu jalan keluar dalam menangani gejala sosial tersebut. Mahu tidak mahu kesedaran agenda pengisian Islam semakin menyerlah. Ini menyebabkan kebertanggungjawaban untuk memilih pemimpin Islam yang amanah, adil dan berintegriti.

Mahu tidak mahu, tarikh keramat PRU14 yang semakin menghampiri penamatnya memerlukan satu strategi taktikal dalam real politik bagi memenangi hati rakyat. Politik aura positif dengan memaparkan usaha dan tindakan kerajaan dalam meningkatkan kehidupan rakyat kurang berkesan dalam serangan taktikal alam maya.

Dalam sesuatu peperangan, Sun Tzu menyatakan kelebihan untuk menang bukan bergantung kepada kekuatan tetapi bergantung sejauh manakah sokongan sekutu dalam serangan taktikal ke atas musuh. Malahan RCI Memali merupakan langkah catur dalam inovasi politik dalam menyelesaikan permasalahan ummah yang berlaku dalam tahun 80-an. Golongan terkesan daripada RCI Memali adalah mereka yang lahir sebelum 80-an, terutama di kawasan utara Malaysia.

Walaupun RCI Memali ini melibatkan Pas dan Amanah tetapi akan memberi kesan kepada tsunami politik Islam dalam PRU14 akan datang. Inilah saat yang dinantikan dalam pemilihan sebuah kerajaan melalui sistem demokrasi Malaysia. Selamat Hari Kemerdekaan tanah air ku.

* Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Kelantan

No comments:

Post a Comment