Posted on August 15, 2017 by JEBATMUSTDIE
“Saudara-saudara sekelian percayalah,
Kita menentang UMNO, bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.
Percayalah saudara-saudara sekelian,
Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha, Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk Kristian, Tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan ‘politik suku, agama suku”.
Di atas adalah Amanat Haji Hadi yang diucapkan olehnya di dalam tahun 1981. Ini penting untuk mempelajari kesannya terhadap Peristiwa Memali yang berlaku di dalam tahun 1985. Tambahan pula, perkara ini patut diketahui oleh para penyokong UMNO sekarang ini, kerana kini rata-rata kita dapati mereka cuba menyalahkan kerajaan terhadap Peristiwa itu.
Bayangkan, penyokong UMNO sendiri cuba menyalahkan Tun Dr. Mahathir, perdana menteri kerajaan UMNO mengenai kejadian di dalam tahun 1986 tersebut! Walhal, sejak dari tahun 1985 hinggalah ke tahun 2015, hampir kesemua ahli politik di dalam UMNO mempertahankan UMNO di dalam peristiwa Memali ini.
Akibat Amanat Hadi Awang inilah, salah seorang ahli PAS bernama Ibrahim Mahmood, atau nama popularnya, Ibrahim Libya mati terbunuh di dalam peristiwa berdarah yang terjadi di Kedah kira-kira 32 tahun dahulu.
Cuba tanya Najib, cuba tanya Zahid Hamidi, dan cuba tanya Anwar Ibrahim. Adakah mereka pernah berucap mempertahankan kerajaan UMNO mengenai peristiwa Memali ini? Sudah tentu mereka pernah. Takkan lah sejak tahun 1985 dan selama lebih 3o tahun mereka bergelumang di dalam UMNO, mereka mahu mengaku bahawa UMNO lah yang bersalah? Tidak mungkin.
Oleh itu amat pelik tiba-tiba Zahid baru-baru ini berkata Tun Dr. Mahathir berbohong mengenai kisah Memali? Pelik bin Ajaib! Zahid terlebih makan pil bodohkah? Adakah Tun Mahathir ketika itu bukan pemimpin UMNO? Dan adakah ketika itu Zahid meletakkan jawatan kerana tidak puas hati bagaimana Musa Hitam menggepalai tragedi itu? Tidak sama sekali.
Pelik juga apabila Hadi Awang tiba-tiba terhuyung-hayang masuk gelanggang sambil mengambarkan bahawa yang bersalah adalah Tun Dr. Mahathir sebagai penyebab utama peristiwa itu. Wah, seperti orang baling batu sembunyi tangan, Hadi Awang berdegar-degar berkokok tapi tak sedar ekor bergelumang tahi. Jika bukan kerana amanatnya dan fahaman fanatiknya yang mengkafirkan UMNO, tidak mungkin kejadian berdarah itu berlaku.
Kita boleh baca kertas putih yang disediakan sendiri oleh Musa Hitam yang ketika itu adalah Menteri Dalam Negeri. Ini penting supaya kita semua tidak terperangkap dengan dakyah palsu dan pernyataan yang berteraskan pembohongan yang cuba diterapkan oleh rejim yang tidak bertanggungjawab.
Mereka yang membawa semula isu ini seperti Musa Hitam (untuk menyelamatkan dirinya), Zahid Hamidi (untuk menunjukkan dia setia pada Najib), Hadi Awang (untuk menunjukkan dia suci dari kesalahan) dan beberapa orang macai upahan UMNO (kerana mereka miskin ilmu) sudah kehilangan isu untuk dibangkitkan.
Peristiwa ini tidak patut diungkit kerana mereka yang meninggal dunia telah pergi meninggalkan kita selama lebih 30 tahun. Seramai 4 orang anggota polis meninggal dunia kerana dibunuh pihak pelampau agama di Memali.
Kita dan seluruh dunia di masa kini sedang melawan fahaman extremis agama seperti ISIS dan Al-Qaeda, mengapa pula rejim-rejim kleptokrat kini dengan semberono mahu mempertahankan pengganas dan puak pelampau agama suatu ketika dulu? Mengapa kita memanggil mereka sebagai pengganas agama? Sama-sama kita bacakan kertas putih di bawah:
(Rujukan yang lebih jelas boleh dibaca di sini – http://library.perdana.org.my/Digital_Content/PLF/WHITE-PAPERS/1006335.pdf)
Kaitan: Penyelewengan Tabung Memali terbongkar
Kaitan: Penyelewengan Tabung Memali terbongkar
No comments:
Post a Comment