Saturday, February 18, 2017

Jamal cemarkan imej Polis dan burukkan Menteri KDN?

FRIDAY, 17 FEBRUARY 2017

JAMAL MAHU BURUKKAN MENTERI DALAM NEGERI ZAHID HAMIDI

ZAM BUKAN ANGGOTA PARTI BERSATU

Dengan ini saya menafikan sekeras kerasnya dakwaan Malaysiakini yang mengatakan saya adalah ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia.(Dalam berita kritikan seorang pemuda UMNO terhadap saya)

Dari awal lagi saya tidak menyertai sebarang pertemuan  parti ini walaupun dijemput. Saya tidak hadir  di Deklarasi Rakyat dan juga lain- lain mesyuaratnya.

Saya  masih anggota UMNO Kedah  dan baru sahaja menerima jemputan dari Mubarak Kedah  (Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia Negeri Kedah) untuk hadir di mesyuaratnya pada 12 Mac bagi membincangkan peranan Mubarak dalam menjayakan  kemenangan BN di PRU 14 di Kedah- zainuddin maidin(zam).

JAMAL MAHU BURUKKAN ZAHID

Tindakan Pengerusi Gabungan NGO Malaysia yang juga Ketua Bahagian UMNO Sg Besar Dato  Jamal Md. Yunus mengambil tugas polis tidak sahaja mencemarkan imej polis tetapi memperkecilkan keupayaan dan kecekapan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri  Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam beberapa minggu yang lalu Jamal  dan gengnya menempah nama besar dengan menyerbu pusat-pusat perjudian dan hiburan di Selangor untuk mendedahkan kelalaian dan amalan rasuah di kalangan polis.

Hakikat bahawa Polis Diraja Malaysia berada secara langsung di bawah Menteri Dalam Negeri  menjejaskan nama dan imejnya.

Semakin  jelas tindakan ini bermotif  politik apabila Jamal  membawa 10 buah keranda ke depan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor untuk membantah penyalahgunaan wang program Kebajikan dan Khairat  Kematian yang didakwanya telah diberikan oleh kerajaan negeri  kepada anggota -anggota Parlimen pembangkang.

Jamal lupa bahawa jika UMNO boleh mengadakan samseng,parti lain pun berhak untuk menggunakan samseng yang menyebabkan pertembungan berlaku bila geng PKR mencabar mereka di hadapan pejabat tersebut  yang menyebabkan polis terpaksa bertindak mencegah pergaduhan.

Jamal  telah di tahan reman beberapa hari oleh polis yang bertujuan untuk mengingatkannya bahawa polis masih berkuasa dan orang ramai tidak boleh mengambil kuasa polis. Dia telah digari dan Ini memberi kesan kepada semangatnya dan menyebabkan dia mahu meletakan jawatan.

Tetapi Jamal harus sedar bahawa tiap-tiap sesuatu ada batasnya.

Orang ramai membaca lebih jauh  implikasi dari tindakan Jamal itu dan bertanya dia menjadi alat siapa dalam krisis intra parti yang sedang  menjadi api dalam sekam.

Akhir-akhir ini hal-hal  yang menyentuh peribadi  Zahid  telah banyak disebarkan  oleh  beberapa media sosial berikutan dengan adanya khabar-khabar angin mengatakan Zahid berkeinginan untuk mengambil alih jawatan Perdana Menteri dari Datuk Seri Najib kerana keadaan yang tidak lagi memihak kepada Najib tetapi Najib lebih condong kepada  sepupunya Datuk Hishammuddin Hussein jika beliau terpaksa meninggalkan jawatannya.

Soal kepuyaan Bahasa Inggeris Zahid juga sengaja ditimbulkan untuk mengingatkan Zahid agar tidak terlalu ghairah. Orang ramai cenderung kepada melihat exploitasi isu-isu ini sebagai strategi politik yang halus untuk  menyekat kemaraan Zahid. Tindakan Jamal juga dilihat dari segi ini.

Sebetulnya UMNO sebagai parti pemerintah  tidak memerlukan samseng kerana ia telah mempunyai tentera dan polis dan jika samseng   UMNO sendiri mahu mengambil tugas mereka, maka ini memberikan gambaran bahawa jentera keselamatan kerajaan lemah dan merendahkan taraf polis. Impliksinya berat kepada Menteri Dalam Negeri.


Saya masih ingat,ketika saya berada di Ibu Pejabat UMNO lama di Jalan Tunku Abdul Rahman dalam tahun 60an, Tun Dr.Ismail Menteri Dalam Negeri yang kebetulan berada disitu telah menghalau Yusuf Suria(Allahyarham) seorang pelakon filem yang setelah selesai penggambaran datang ke pejabat  UMNO ini dengan memakai uniform pegawai polis. Tun Ismail menghalaunya  supaya balik menukarkan pakaiannya. Yusuf seorang yang rapat dengan pejabat UMNO.

UMNO harus memikirkan sebagai parti yang percaya kepada demokrasi dan hak rakyat maka jika UMNO boleh mengadakan barisan samseng untuk mengambil tugas polis, parti -parti pembangkang  juga berhak untuk mengadakan samseng mereka  tetapi sebagai parti pemerintah UMNO tidak perlu ada samseng kerana UMNO telah ada polis dan tentera kecuali jika pemimpin-pemimpin UMNO tidak tahu menggunakan mereka dengan sebaiknya atau menyalahgunakan mereka.

Posted by zainudin maidin at 23:25

No comments:

Post a Comment