Monday, February 13, 2017

Cadangan saman Husam perlu disegerakan untuk selamatkan Pas dari terus dikelautkan oleh Hadi Awang

Monday, February 13, 2017
Cadang heret Husam ke mahkamah boleh jatuhkan Hadi Awang
ISU PANAS

Isu yang menggelegak ketika ini ialah pengakuan Husam Musa yang dia ada maklumat kononnya berlaku pengaliran wang kepada parti agama (Pas) menerusi Afinbank. Kenyataan beliau dalam ceramah di Selising Pasir Puteh itu menjadi kejutan kepada umum dan lebih-lebih lagi kepada Pas sendiri. Pendedahan Husam itu membuka dimensi baharu perkembangan yang ketika ini "masam" buat parti itu.

Husam menanti...
Tuan Ibrahim cadang..
Pendedahan Adun Salor yang juga Penasihat Amanah Kelantan secara sambil lewa itu juga dilihat muqadimah dan pancingan awal kepada Pas sebelum beliau membongkar rahsia-rahsia lebih besar secara berterusan dalam Pas. Ia juga boleh difahami yang Husam ada menyimpan rahsia Pas bukan sahaja dalam poket seperti Nik Amal Nik Abdullah tetapi dalam gedung besar?

Ekoran pendedahan Husam itu yakni dakwaan web Sarawak Report mengatakan Pas menerima RM90 juta daripada pihak Umno yang mulanya dianggap sebagai dongeng, tetapi kini telah menukar tanggapan umum serta menyebabkan orang ramai kian mempercaya dakwaan itu, bahawa pendedahan itu benar. Kelewatan Pas untuk menyaman laman web berkenaan, dengan memberi berbagai alasan dan dolak dalik menyebabkan minda orang ramai berasakan apa yang Husam dedah itu benar.

Bukan itu sahaja, ia juga diukur kepada sikap dan stail Husam yang bercakap dengan fakta dan bukti. Husam tidak pernah bercakap kosong dan dia sangat berhati-hati sebelum mengeluarkan apa-apa ulasan dan singgungan.

Husam sebelum ini banyak mendedahkan keburukan dan penyelewengan politik (Kerajaan) Kelantan yang mulanya dianggap sebagai rekayasa tetapi akhirnya dikeluarkan bukti satu demi satu menjadikan orang terperagah. Gara-gara Husam menyebabkan kerajaan Kelantan menjadi hilang akal sehinggakan tindakan memburuk peribadi Husam berleluasa. Terbaharu anjuran ceramah bertajuk "Husam Lari Dari Debat Bai'ah" adalah projek kerbau air budak-budak Pas Kelantan.

Exco jubah labuh menjadi penceramah utamanya. 

Apa yang saya bimbang sebelum ini yang mengharap sangat agar Husam dipelihara dalam Pas untuk tidak merosakkan Pas sudah menjadi kenyataan. Selepas dipecat Husam terus mencari penawar dalam mengubati lukasakitnya atas tindakan rakus Pas memecatnya. Kesan kini sudah dirasai Pas Kelantan. Seorang pemimpin Pas Kelantan yang ada kini terkial-kial untuk menentang Husam. 

Begitu juga dengan dakwaan beliau itu kononnya ada menerima maklumat dari Afinbank ada alirkan wang kepada pemimpin Pas. Kalau beliau tidak dibekalkan maklumat berkenaan, tidak mungkin beliau berani menyebutnya. Cara Husam dedahkan isu dilihat pancingan untuk mengheret Pas ke dalam masalah lebih besar.

 Dan ia juga memberi bebanan baharu kepada orang memberi maklumat. Saya yakin Husam ada dokumen berkenaan yang disimpan dan akan dijadikan bukti di mahkamah yang kemudian memaksa Pas, terutamanya Presiden mengesahkannya. Sebab itu apabila Tuan Ibrahim mengeluarkan kenyataan untuk menayamnnya Husam cepat menyambut cadangan itu agar ia diteruskan. 

Orang yang sangat terkejut dengan pengakuan Husam itu ialah Tuan Ibrahim Tuan Man. Menghairankan, macam mana beliau terkejut dengan pendedahan Husam itu sedang dia adalah orang nombor dua Pas. Mungkin Tuan Ibrahim benar-benar tidak mengetahui apa yang berlaku dalam partinya dan apa yang dimainkan oleh pemimpinnya. Perbuatan khalwat kemudian dilangsungkan dengan sanggama tanpa ijab kabul tidak diketahuinya. Sebab itulah Husam tempelak Tuan Ibrahim yang hendak samannya sebagai tidak mengetahui hujung pangkal.

Bukan sahaja hujung pangkal tidak pun Ibrahim tidak tahu. Tengah-tengah yang diketahuinya menjadikan timbalan presiden itu konfius dan sebab itulah dia dilihat tidak sehaluan dengan bosnya Hadi Awang. Sudah kerap berlaku percanggahan di antara keduanya dalam memberi pandangan politik.  Memang teruk dan kesian kepada orang yang hendak bercakap tetapi tidak tahu hujung pangkal kerana percakapannya akan menjadi sumbang kemudian akan diketawakan orang. 

Sepatutnya sebelum cadang hendak heret Husam ke mahkamah Tuan Ibrahim selidiki dahulu. Ataupun apakah itu sebagai tektik. Cara Tuan Ibrahim untuk memberi jawaban kepada dirinya sendiri. Apabila Husam diheret ke mahkamah maka terjawab apa-apa yang misteri dalam kepalanya. Barang kali begitu. Kerana kata Husam tindakan Tuan Ibrahim menyamannya itu boleh menerbitkan sebuah kebenaran? Jadi Husam cukup seronok. 

Sekiranya Husam berjaya membawa bukti apa yang dituduh itu ia memberi kesan buruk kepada Pas dan presidennya. Hadi perlu bertanggungjawab dan wajib meletakkan jawatan selepas ini. Pembuktian itu nanti akan menghilangkan kepercayana umum kepada Pas. Apa yang bakal berlaku nanti, sekiranya Tuan Ibrahim tidak terlibat ia menguntungkan anak saudara Tuan Sabariah itu. 

Dari sudut itu cadangan Tuan Ibrahim itu ada motif lain. Beliau bukan sangat untuk menyeksa Husam tetapi mahu menggunakan Husam memberi jawaban kepada persoalan yang berlabuh dalam kepalanya. Saya yakin soal wang RM90 juta tiada dalam pengetahuan Tuan Ibrahim dan beliau tidak terlibat maka beliau menggunakan Husam yang cerdik itu menyelesaikan kebutuannya.

Selain daripada itu yang diharap Tuan Ibrahim saya nampak tindakan segera beliau ke ats Husam itu untuk mendapat sedikit markah dalam politik. Mungkin Tuan Ibrahim mahu melihat dia sebagai hero Pas yang sedang diancam masalah kini sehingga memburukkan Pas. Kenapa Tuan Ibrahim perlu menunjukkan dirinya hero kerana dia sudah berbau bahawa ada gerakan untuk menyingkirkanya dari kedudukan sekarang dalam muktamar pada pertengahan tahun ini.

Apabila beliau menjadi hero sudah pasti perwakilan akan bersimpati dan berada di sebelahnya. Dalam kata lain Tuan Ibrahim menjadikan Husam sebagai alat atau umpan untuk menyokong ahli Pas kepadanya. Satu hal tidak dapat nafikan ada gerakan dalam Pas untuk menyingkirkan Tuan Ibrahim dari kedudukannya kini. Alasan kenapa timbalan presiden itu perlu disingkirkan ialah kerana beliau tidak berkelulusan Timur Tengah di mana politik wala'nya tidak setaksub pemimpin berkelulusan Timur Tengah atau India. 

Penyingkiran Tuan Ibrahim dan beberapa pemimpin bukan lulusan Timur tengah lain juga sebagai pemnbersihan "habis licin" para pemimpin profesional yang ada dalam Pas. Tindakan ini untuk memudahkan Pas menuju ke arah "diktator agama" sepenuhnya.  

Cuma apa yang hendak saya sebutkan disini, membawa Husam ke mahkamah Pas tidak akan laba banyak termasuk kepada Tuan Ibrahim. Ia membahayakan Pas dan merugikan Pas. Kenapa saya berkata begitu kerana apabila berlaku perbicaraan banyak perkara-perkara buruk yang sebelum ini ditusuk dalam kilas akan terlodeh keluar. 

Bila dibawa ke mahkamh Husam akan menggunakan apa sahaja kesempatan yang ada. Segala maklumat dan pengalaman yang dilaluinya bersama Pas dan terrahsia selama ini akan terkeluar. Ia nanti bukan sahaja berkisar kepda wang yang dialirkan menerusi Afinbak tersebut, tetapi lain-lain sumber juga. Penyelewengan yang berlaku di Kelantan misalnya; pemimpin dan Exco mana terima wang tumbuk rusuk, yang ambil duit pendahuluan dengan taukeh lombong dan balak akan terdedah.

Macam mana dan siapa yang memberi peruntukan untuk mengadakan Muktamar pada tahun 2008 bagi membantu projek pembersihan ethnik dalam Pas dalam tahun 2014 juga akan turut sama terdedah.Segala dokumen dan resit bayaran bilik-bilik hotel akan terburai. 

Cerita anak dan menantu siapa ke Aurstalia untuk mengundang taukeh emas di negara itu ke Kelantan dengan menggunakan wang PKINK, pergi bersama bekas CEOnya juga akan diceritakan. Berapa banyak seorang wakil rakyat mendapat manfaat daripada seorang taukeh lombong dari Pahang untuk membiayai majlis di sepanjang Ramdahan juga akn diceritakan.

Begitu juga macam mana seorang lawyer Pas yang menjadi konsultan untuk mendapatkan tanah kepada sebuah syarikat telah mengambil RM4 juta dan disimpankan dalam firma kawannya juga akan tubik dalam mahkamah nanti.

Demikian juga  kisah-kisah pembelian tanah di Rantau Panjang oleh pemimpin Pas Kelantan dan Pusat yang kini jadi pertikaiakan disebabkan pembahagian saham tidak adil turut sama keluar dalam mahkamah nanti.
Ah, banyak lagi kalau hendak disebut satu persatu tidak cukup ruang atau habis dalam masa satu hari ini mengenai skandal ataupun keburukan para pemimpin Pas berkaitan dengan duit. Semua cerita itu nanti akan terkeluar dalam masa perbicaraan nanti. 

Mengenai dakwaan terbabit dengan RM90 seperit mana dakwaan Sabah Report itu, Abdul Hadi tidak perlu pun menerima wang jutaan ringgit, tetapi cukup menerima ratusan sahaja ia sudah menjadi bukti atas apa yang dituduh itu. Yang pentingnya Husam tidak menyebut berapa jumlah tetapi menyebut pembabitan Pas. Soal siapa juga tidak spesifik, jadi kalau ia membabitkan sesiapa individu menjadi ahli Pas sudah cukup.

Apa yang berlaku dan natijah dari itu nanti menyebabkan Abdul Hadi kena ambil tanggungjawab melepaskan jawatan. Itulah yang Tuan Ibrahim ingini, dan tindakan ini dilihat untuk menyelamatkan Pas dengan menjadikan Husam sebagai kambing hitam.

Sebab itu bagi saya cadangan Tuan Ibrahim itu bagus dan perlu disegerakan. Jangan pula selepas ini cadangan itu dihayutkan begitu sahaja. Hadi tidak perlu mencari alasan atau muslihat untuk tidak membawa Husam ke mahkamah. Bukti bahawa Pas tidak terima RM90 juta seperti disebut oleh Mursyidul Am Pas itu tertolak sama sekali sebab alasan itu sama cerdik dengan alasan diberikan Hadi, konon Husam buat kenyataan itu mengharap dia disaman untuk mengelakkan tidak boleh bertanding dalam pilihan raya.

Pagi tadi saya minumg dengan seorang lawyer dia menyentuh kenyataan Hadi itu. Katanya macam mana Hadi hendak jadi Perdana Menteri, beza antara tindakan jenayah dengan sivil pun tidak tahu. Kalau dia jadi PM nanti tentu kelam kabut negara ini. 

Jadi untuk selamatkan Pas dari terus dikelautkan oleh Hadi Awang, cadangan saman Husam itu perlu disegerakan. Mudah-mudahan Tuan Ibrahim dapat membaiki Pas serta selamatkan Pas dari ditelan naga bernama Najib. Tindakan Tuan Ibrahim kali ini saya fikir ada sedikit kecerdikan walaupun dia menggunakan pihak kedua dalam mencapai matlamat politiknya. [wm.kl.3:13 pm 13/02/17]


Posted by mohd sayuti Omar at 3:14:00 PM

No comments:

Post a Comment