Friday, February 17, 2017

Jalan singkat kepada fasisme

Tariq Ismail Mustafa

Sejak kebelakangan ini, pihak-pihak tertentu semakin mencanangkan bahawa kebebasan ekonomi membawa kepada kebebasan politik. Untuk menjawab persoalan ini, kita perlu mendefinisikan “kebebasan” dan mengolahnya dalam konteks yang bersesuaian.

Bagi kebanyakan orang, kebebasan diertikan sebagai pilihan, iaitu hak memilih tanpa syarat adalah hak asasi manusia. Hak memilih ini juga paksi kepada demokrasi.

Oleh itu, apabila kita sebut kebebasan ekonomi, kita ertikannya sebagai cara rakyat memilih pilihan ekonomi tanpa syarat – antara lainnya, pekerjaan yang hendak disandang, cara membayar hutang, bagaimana corak perbelanjaan dan barangan apa yang hendak kita beli.

Akhirnya, kebebasan ekonomi terbukti oleh kesihatan ekonomi sesuatu negara, dan terang sekali bahawa keadaan ekonomi Malaysia semakin terancam. Kenapa kita kata ia semakin terancam?

Setakat 20 Januari 2017, rizab antarabangsa Malaysia telah jatuh sebanyak AS$300juta daripada AS$94.6bilion kepada AS$94.6bilion. Sementara itu, kadar tukaran wang dolar Amerika Syarikat ke ringgit telah meningkat dari paras AS$1 = RM4.2 pada Oktober 2016 kepada AS$1 = RM4.55 pada 20 Januari 2017.

Walaupun pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) secara amnya stabil dan pendapatan per kapita semakin meningkat, ia tidak mengambil kira akibat daripada inflasi, ketidaksetaraan kekayaan yang semakin melebar dan kenaikan kos sara hidup terhadap kebebasan ekonomi individu.

Sebab bagi ancaman ini berpunca dari faktor-faktor luaran dan dalaman. Tetapi, dengan menidakkan faktor penyebab dalaman sebagai salah satu punca utama kemerosotan kesihatan ekonomi kita, bagai mengabaikan asas-asas yang melonjakkan kita ke tahap 20 negara perdagangan terbesar di dunia sekitar tahun 1980-an sehingga sekarang.

Sememangnya asas-asas ekonomi inilah yang menampan ekonomi kita daripada turun naik ekonomi dunia. Asas-asas inilah yang semakin luntur akibat polisi-polisi ekonomi yang menyaksikan kedudukan kita jatuh ke tangga ke-23 negara perdagangan terbesar dunia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Antara lainnya, polisi-polisi ini juga telah menyebabkan kekangan pekerjaan dan melumpuhkan kebolehan rakyat untuk membayar balik hutang isi rumah yang kian meningkat. Dengan yakin, kita boleh rungkaikan bahawa kekangan ini sebagai bukti kemerosotan tahap kebebasan ekonomi rakyat kita.

Sama seperti kebebasan ekonomi yang membenarkan kebebasan membuat keputusan ekonomi, kebebasan politik membenarkan kebebasan untuk menggunakan kuasa politik tetapi tertakluk kepada ideologi dan sistem politik yang diguna pakai.

Akhirnya kebebasan politik untuk memilih ideologi dan sistem politik sesebuah negara itulah yang menentukan had kebebasan rakyat untuk membuat pilihan ekonomi dan politik.

Di mana letaknya demokrasi?

Kenapakah kebebasan politik menjadi penentu kepada kebebasan ekonomi? Ini hanya kerana politik memberi kuasa untuk mengatur, mengendali dan mempengaruhi sumber-sumber sesebuah negara yang lazimnya digunakan bagi tujuan ekonomi. Sememangnya, dalam model ekonomi secara amnya kerajaan adalah penentu perbelanjaan dan pertumbuhan ekonomi.

Oleh itu, kita perlu merujuk balik sistem politik yang sedia ada dan mengulas kembali arah tuju sistem politik kita.

Di satu sudut, sistem politik ekstraktif berbentuk penguasaan yayasan dan institusi politik oleh golongan elit, tanpa kekangan atau tentangan.

Golongan ini merangka institusi politik dan ekonomi yang hampir pasti menyebabkan golongan tersebut saling memperkayakan diri masing-masing tanpa menghiraukan rakyat selebihnya. Inilah yang membawa kepada ketidaksetaraan kekayaan yang ketara dalam masyarakat.

Di sudut bertentangan pula, terdapat sistem politik terangkum yang dibina berasaskan institusi politik inklusif. Apabila kita kata inklusif, kita maksudkan yang ia mengambil kira pilihan masyarakat secara umum.

Malaysia sebuah demokrasi. Perlembagaan Persekutuan kita secara khusus menjamin keterangkuman dan membahagikan kuasa kepada rakyat melalui empat cabang kerajaan – eksekutif (pelaksana), institusi diraja, parlimen dan badan kehakiman.

Sistem ini dibentuk bagi mengelak penumpuan dan penyalahgunaan kuasa atau kekayaan di kalangan golongan elit seperti dalam sistem politik ekstraktif. Ia direka bentuk untuk melindungi kebebasan politik dan ekonomi rakyat.

Malangnya, hari seakan-akan ada trend cabang eksekutif menjadi seakan-akan kacang lupakan kulit dan semakin galak mengambil alih kuasa institusi diraja, parlimen dan kehakiman melalui kuasa politik, dan secara langsung memonopoli penggubalan polisi dan keputusan ekonomi negara.

Ia membawa kita kepada kejatuhan 1MDB di persada dunia, pergantungan ketara kita ke atas China bagi pembangunan dan keselamatan negara.

Walhal hakikatnya, kebebasan politik kita telah luntur apabila tiga cabang lain kerajaan hilang kebebasan mereka.

Apa yang kita hadapi sekarang dalam erti kata lain merupakan sistem politik ekstraktif yang dikuasai golongan elit. Dari sistem itu, ia hanya jalan singkat kepada ideologi fasisme, sosialisme dan komunisme.

Jadi, di mana letaknya demokrasi?

*TARIQ ISMAIL MUSTAFA anggota majlis pimpinan tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

1 comment:

  1. Have you ever considered about adding a little bit more than just your
    articles? I mean, what you say is fundamental
    and all. But just imagine if you added some great images or
    videos to give your posts more, "pop"! Your content is excellent but with images and videos, this website could undeniably be one of the greatest in its field.
    Superb blog!

    ReplyDelete