Monday, March 19, 2018

Lelaki dakwa temui bangkai MH370: Tidak benar kata menteri, adakah ianya 'Berita palsu'?

Menteri nafi dakwaan MH370 ditemui
JANATUL FIRDAUS YAACOB - 19 MAC 2018
KUALA LUMPUR - Malaysia menafikan dakwaan kononnya pesawat Malaysia Airlines, MH370 telah ditemui di utara Mauritius.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata dakwaan penemuan bangkai pesawat dengan kesan lubang peluru itu adalah tidak berasas.

Malah, jelasnya Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) turut menafikan dakwaan tersebut.

“CAAM telah mengenal pasti berita itu adalah tidak berasas. Orang ramai jangan percaya berita palsu ini kerana paling penting ialah ikut laporan kita di aplikasi atau menerusi laman web untuk dapatkan maklumat terkini.

“Penemuan-penemuan itu adalah tidak berasas. Kita bekerjasama dengan ATSB (Biro Keselamatan Pengangkutan Australia) di Australia di mana kumpulan pakar kita telah kenal pasti kawasan pencarian itu adalah dekat perairan Australia dan bukan di sebelah Mauritius atau Afrika.

“Oleh itu, misi pencarian kita masih lagi berlangsung. Ocean Infinity masih berjalan dengan lancar dan kita berharap kita dapat menemui bangkai pesawat itu di kawasan perairan yang telah kita tetapkan iaitu 25,000 kilometer radius,” katanya ketika ditemui di Parlimen, hari ini

Terdahulu , laporan agensi berita antarabangsa yang memetik kenyataan pihak berkuasa seperti ATSB dan Pusat Penyelarasan Agensi Bersama Australia (JACC) turut menafikan jurutera mekanikal Australia, Peter McMahon.

[ ARTIKEL DI BAWAH: BANGKAI PESAWAT MH370 DITEMUI? ]

McMahon mendakwa telah menemui pesawat MH370 yang hilang empat tahun lalu menerusi aplikasi Google Earth di lokasi 16km selatan Pulau Round, sebuah pulau kecil di utara Mauritius.

McMahon juga mendakwa pesawat itu penuh dengan lubang peluru.

Beliau berkata pihak berkuasa tidak mahu ia ditemui kerana ia penuh dengan lubang peluru dan akan membuka kepada siasatan terbaharu.

Berita sebelumnya:

Bangkai pesawat MH370 ditemui?
WARTAWAN SINAR HARIAN  - 19 MAC 2018
CANBERRA - AUSTRALIA. Pesawat MH370 dalam keadaan berlubang ditembusi peluru didakwa telah ditemui menerusi imej yang diperoleh daripada aplikasi Google Earth.

Gambar tersebut menunjukkan pesawat Mas terbabit yang dilaporkan hilang bersama kesemua 239 penumpang berada di bawah permukaan air di utara Mauritius.

Pakar penyiasat nahas pesawat dari Australia, Peter McMahon, 64, mendakwa beliau telah menghabiskan masa selama beberapa tahun mengkaji imej Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa) dan Google Maps sejak pesawat itu dilaporkan hilang di Lautan Hindi pada 2014.

Menurutnya, beliau percaya pesawat itu berada pada jarak 16 kilometer di selatan pulau kecil, Round Island yang mana ia tidak termasuk dalam kawasan lingkungan carian sebelum ini.
Bahagian hadapan dan badan utama pesawat tersebut yang didakwa ditemui di perairan Mauritius

Difahamkan, beliau juga telah mengemukakan laporan penemuan itu kepada Biro Pengangkutan dan Keselamatan Australia.

Pihak berkuasa terbabit bagaimanapun memberitahu mereka dimaklumkan oleh pegawai Amerika Syarikat agar kekal berada di kawasan lingkungan carian ditetapkan di Lautan Hindi.

"Adakah ini adalah bahagian kabin hadapan pesawat MH370 di perairan selatan Pulau Rodrigues? Seramai empat wakil dari Washington telah dihantar ke Canberra untuk mengawasi penemuan tersebut.

"Mereka mahu memastikan segala maklumat yang diterima tidak didedahkan kepada umum dan kerajaan. Tetapi kenapa?" ujar jurutera mekanikal itu kepada Daily Star Online.

Jelasnya lagi, pihak berkuasa tidak mahu pesawat dipenuhi kesan berlubang seperti ditembusi peluru itu akan membawa kepada siasatan baharu.

Berdasarkan laporan itu, selain bahagian utama pesawat tersebut, McMahon juga telah menemui bahagian hadapan kabin di perairan selatan Pulau Rodrigues yang juga terletak berhampiran Mauritius.

Awal tahun lalu, kerajaan Malaysia telah meluluskan syarikat AS, Ocean Infinity menghantar kapal carian untuk menjejaki MH370 di kawasan lingkungan lebih 9,000 meter persegi di perairan Australia.

Sehingga kini, lokasi tepat tidak pernah diketahui.

Pada 2015, beberapa bangkai pesawat didakwa telah ditemui pasukan sukarelawan ketika membersihkan pantai di St Andre, Reunion.

Dua tahun kemudian, imej satelit dikeluarkan Australia menunjukkan 12 objek terapung di kawasan dipercayai berhampiran lokasi nahas. - The Sun

No comments:

Post a Comment