Tuesday, March 13, 2018

Berita palsu Najib-1MDB: Muhyidin bedal Jailani Johari

Jawab isu 1MDB seleweng, jangan guna dalih berita palsu
Radzi Razak · Diterbitkan pada 12 Mar 2018 4:27PM
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata berita berkenaan 1MDB bukan berita baharu bahkan sudah diketahui orang ramai sehak dua tahun lalu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mac, 2018

PRESIDEN Bersatu Muhyiddin Yassin berkata, Perdana Menteri Najib Razak dan kerajaan BN perlu menjawab isu penyelewengan 1MDB dan tidak menganggap setiap laporan tersebut sebagai berita palsu semata-mata.

Muhyiddin berkata laporan mengenai penyelewengan syarikat milik Malaysia itu bukanlah perkara baharu yang tidak diketahui orang ramai, sebaliknya sudah menjadi bahan berita sejak dua tahun lalu.

“Ini negara demokrasi dan rakyat bebas bersuara. Jangan guna dalih berita palsu,” kata Muhyiddin yang menyelar tindakan kerajaan membungkam laporan media asing mengenai isu penyelewengan 1MDB.

Muhyiddin berkata laporan media berkenaan mempunyai integriti dan tidak boleh dibungkamkan begitu saja dalam negara yang sepatutnya mempunyai kebebasan bersuara.

“Kalau kita di Malaysia tidak boleh nyatakan sesuatu, maka hak rakyat bersuara sudah hilang. Negara tak bebas.

“Menteri kena ingat dia bukan pandai sangat. Kadang-kadang berita palsu bukan dari kita tetapi dari sana (pimpinan Barisan Nasional) sebab tidak ada cara nak sangkal dakwaan yang dikemukakan pihak berintegriti,” katanya.

Beliau menjawab kenyataan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Jailani Johari semalam yang memberi amaran untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang terus menyiarkan berita palsu, terutamanya berkaitan 1MDB sehingga menimbulkan fitnah.

Jailani dilaporkan berkata, kementeriannya sedang memantau laporan agensi berita antarabangsa yang menurutnya menyiarkan berita palsu mengenai 1MDB sejak minggu lepas.

Jailani menamakan Wall Street Journal, New York Times, The Economist, Australian Broadcasting Corporation (ABC) dan MSNBC yang kini dalam perhatian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata walau kerajaan menganggap isu penyelewengan 1MDB sebagai berita palsu, tiada tindakan diambil ke atas kenyataannya walau beliau membangkitkannya sejak sekian lama. 

“Kenyataan 1MDB juga pernah dikeluarkan oleh saya dan sudah hampir dua tahun. Kenapa tak ambil tindakan?"

Isu mengenai dana RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadi perdana menteri itu mula dibangkitkan oleh Muhyiddin sejak Julai 2015 apabila selepas kes itu dilaporkan oleh The Wall Street Journal.

The Wall Street Journal menyebut, sejumlah AS$681 juta (RM2.6 bilion) dikaitkan dengan 1MDB itu dipindahkan ke akaun peribadi Najib Razak pada Mac 2013, sebelum pilihan raya umum.

Bagaimanapun, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada Ogos tahun itu memaklumkan bahawa dana berkenaan adalah dana sumbangan penderma dan bukannya disalurkan oleh 1MDB. – 12 Mac, 2018.

1 comment:

  1. Sepatutnya rakyat Malaysia tidak perlu gentar mempersoalkan mahupun mendedahkan mengenai isu 1MDB, sebabnya jika kerajaan kleptokrasi mengambil tindakan undang-undang maka ia akan membuka pekung yang mereka cuba tutupi selama ini. Dan rasanya, para peguam dari PH akan amat berbesar hati untuk membela terdakwa di mahkamah tanpa mengenakan bayaran.

    ReplyDelete