Wednesday, March 14, 2018

104 juta francs bukan milik 1MDB?

1MDB: Wang di Switzerland bukan milik kami
FMT Reporters | March 14, 2018

Dana milik kerajaan itu menegaskan ia tidak kehilangan wang dan wang yang dibahaskan di Parlimen Switzerland itu milik beberapa bank.
KUALA LUMPUR: 1MDB hari ini tidak dapat menuntut 104 juta francs Swiss (RM430 juta) yang sedang dipertimbangkan oleh penggubal undang-undang Switzerland untuk dipulangkan kepada pemilik berhak kerana wang itu bukan miliknya atau kerajaan Malaysia.

“1MDB sebelum ini menyatakan dan mengulangi ia tidak kehilangan wang dan semua wangnya diambil kira sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ia menambah RM430 juta itu daripada denda yang dikenakan ke atas bank-bank tertentu oleh pihak berkuasa kawal selia kewangan Switzerland dan oleh itu milik bank-bank berkenaan.

1MDB juga berkata usul yang dibentangkan untuk perdebatan di Parlimen Switzerland bukanlah khusus mengenai 1MDB atau Malaysia.

1MDB berkata demikian selepas Ketua Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang dan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menghantar surat kepada Ahli-ahli Parlimen Switzerland mengenai usul tentang wang yang akan dibahaskan di Majlis Kebangsaan, iaitu dewan rendah parlimen mereka, minggu ini.

Wan Azizah dan Lim menggesa Ahli-ahli Parlimen Swiss memulangkan wang itu, yang didakwa daripada hasil kutipan 1MDB, yang disita oleh kerajaan Switzerland.

Laporan berkata wakil rakyat Parti Demokrasi Sosial Switzerland, Carlo Sommaruga, mengemukakan usul di Majlis Kebangsaan mencadangkan wang dipulangkan kepada Malaysia.

“Saya telah menulis kepada kesemua 200 Ahli-ahli Parlimen Switzerland bagi mempertimbangkan hasrat supaya pemulangan dana itu disempurnakan menerusi prosedur guaman bersama kepada kerajaan Malaysia yang kompeten, yang tidak tercemar dengan amalan rasuah dan kleptokrasi,” kata Wan Azizah semalam.

Lim menulis surat seperti seminggu lalu.

1MDB hari ini berkata Majlis Kebangsaan berhak membahaskan sebarang usul yang dibentangkan dan membuat keputusan yang difikirkan wajar.

Mengulas usul “Repatriation of Corruption Funds to the Robbed Populations” bertarikh 16 Jun 2017 oleh Sommaruga di Majlis Kebangsaan, 1MDB berkata:

“Usul ini dinyatakan secara umum, dan menyebutkan pelbagai syarikat dan negara. Ia bukan usul khusus mengenai 1MDB atau Malaysia. Pada 30 Ogos 2017, Majlis Persekutuan Switzerland (kabinet kerajaan), mengeluarkan analisis terperinci tentang usul itu dan Kabinet Swiss mencadangkan usul ditolak.”

Kenyataan itu berkata antara lain, kira-kira RM430 juta yang ditahan di perbendaharaan persekutuan Switzerland.

“Ini sebenarnya mewakili jumlah yang diperintahkan sebagai penyerahan kembali keuntungan, oleh Penguasa Pasaran Kewangan Swiss (Finma), terhadap bank-bank tertentu, kerana dakwaan melanggar undang-undang Switzerland.

“Oleh itu, 104 juta francs Swiss itu hasil denda Finma terhadap bank-bank tertentu.

“Menurut Menteri Kewangan Switzerland, Ueli Maurer, bank-bank berkaitan membantah tindakan Finma dan sedang merayu di Mahkamah Pentadbiran Persekutuan.

“Oleh itu, 104 juta francs Swiss tersebut sedang dituntut oleh bank-bank berkaitan. Ia tidak boleh dituntut oleh 1MDB atau kerajaan Malaysia kerana wang itu bukan milik 1MDB.

“Finda sendiri menyatakan hanya mereka yang ‘terjejas secara langsung’ oleh tindakan yang didakwa dilakukan oleh perantara kewangan di Switzerland boleh menuntut sebahagian daripada denda itu dan tuntutan tersebut hanya boleh dilakukan melalui proses undang-undang.”

1MBD menegaskan ia tidak kehilangan sebarang wang dan, oleh itu, tiada apa untuk dituntut daripada Switzerland.

No comments:

Post a Comment