Tuesday, November 14, 2017

Wisma Tok Guru: Kerana tidak cekap dan bodoh sombong berpolitik akan menguntungkan Amanah

Tuesday, November 14, 2017
Wisma Tokguru, dendam Pas yang menguntungkan Amanah
Husam menasihat orang Amanah bertenang hadapi kerenah Pas

Tanggal 16 November, lusa adalah tarikh akhir yang ditetapkan oleh Pas Kelantan untuk memasuki Wisma Tokguru di Salor itu sebagai menandakan parti itu memiliki premis itu secara rasmi. Pada hari itu juga Pas akan mengadakan solat hajat dan syukur; dikerahkan para penyokongnya beramai-ramai. Khabarnya untuk menjayakan majlis itu dan bagi menarikan kehadiran disediakan makanan (upah) untuk 5,000 orang.

Ertinya Pas mensasarkan majlis itu nanti dihadiri 5,000 orang. 5,000 orang kalau mengikut kapasiti batalion dalam askar sebanyak lima batalion.

Dan malam tadi pihak Amanah telah berhimpun di premis itu untuk mengadakan majlis munajat dan memohon kepada Allah agar premis itu selamat terus menjadi hak mereka. 

Majlis malam tadi diketuai sendiri oleh "pemilik" premis itu Husam Musa yang juga merupakan penasihat Amanah Kelantan merangkap Pengerusi Pakatan Harapan.

Yang hadir malam tadi bukan sahaja di kalangan orang Amanah tetapi turut sama dihadiri oleh anggota komponen Pakatan Harapan (PH) daripada PPBM dan juga PKR serta mereka tidak berparti yang bersimpati dengan nasib diterima Amanah dan dialami Husam. Majlis munajat malam tadi menampakan wujud solidariti di kalangan komponen PH menyerlahkan semangat juang yang gigih dan tidak mudah mengaku kalah.

Itulah mungkin rahmat di sebalik onar brutal yang dibuat oleh Pas, membeli tanah bangunan Wisma Tokguru itu secara senyap, akhirnya perbuatan itu menyuntik semangat juang dan mendapat simpati di kalangan penyokong dan ahli Amanah dan komponen PH di Kelantan.

Selepas bermunajat semalam, Husam membuat sedikit penjelasan berkaitan dengan status Wisma Tokguru berkenaan. Ramai orang tidak menyedari bahawa Wisma itu adalah pusat khidmat Adun Salor yang mana beliau adalah Adunnya. Dari penjelasan itu menunjukkan Wisma itu adalah menjadi haknya dan ini dikukuhkan dengan pengakuan oleh pihak Majlis Daerah Kota Bharu (MDKB) yang menamakan bagunan itu sebagai Pusat Khidmat Adun Salor, di mana dalam penamaannya tidak ada pun perkataan PAS.

Menyentuh mengenai bangunan itu, Husam memperakui tanah tempat berdirinya bangunan itu adalah milik isteri Allahyarham Rusli Ibrahim yang mana telah diberikan kebenaran kepadanya mengguna bangunan itu dan membina bangunan tambahan. Surat keizinan itu ada padanya. Yang menghairankan dan timbul persoalan kenapa penjualan tanah itu oleh isteri Rusli tidak diberitakan kepada Husam dan dilakukan secara senyap.

Apakah isteri Rusli ada masalah dengan Husam atau beliau dihasut? 

Kerana kalau beliau tidak ada masalah sepatutnya sebelum menjualkan tanah itu beliau seharusnya bertanyakan Husam terlebih dahulu yang sedang menduduki tanah berkenaan yang mana sepatutnya Husam dahulu yang ditawarkan.

Di sinilah timbul anggapan penjualan dan pembelian tanah itu ada konspirasi. Ia sengaja diaturkan demikian rupa dengan motif tertentu. Apa lagi proses pembelian itu, menanda tangani borang 14A (penjualan) dilakukan di rumah bukan di pejabat seperti lazimnya.

Memahami apa dijelaskan Husam semalam bahawa kerja-kerja membina dan membesarkan bangunan yang dinamakan Wisma Tokguru itu dibuat dengan kebenaran dan menggunakan wang beliau bukannya ia diambil dari wang derma orang ramai khasnya PAS. Tidak ada mana-mana institusi atau pun taukeh pasir dan balak membantunya.

Semalam Husam sekali lagi mencabar mana-mana orang Pas dikatakan menghulurkan derma untuk pembinaan itu memberi tahunya agar pembayaran balik boleh dibuat. Beliau juga bertanya sebanyak manakah Ahmad Yakob selaku Pesuruhjaya Pas dan MB menderma untuk membina Wisma berkenaan.

"Berapa banyak Ustaz Mat derma tolong bagi tahu?" tanyanya.  Menurutnya tidak ada satu sen pun begitu juga dengan Nik Amar, katanya Nik Amar usahkan satu sen, setengah sen pun tidak ada. "Apa yang Nik Amar buat ialah dengan membeli 10 buah kereta, itu saja," tengkis dan sindir Husam.

Mengenai notis yang dihantarkan kepadanya agar keluar dari bangunan itu Husam menegaskan ia sesekali tidak akan berbuat demikian kerana bangunan itu adalah haknya. "Notis bukan perintah mahkamah," katanya membayangkan beliau tidak akan berganjak dari bangunan itu sehingga ada perintah mahkamah.

Dia yakin berhak ke atas bangunan itu. Sambil mengakui tanah itu hak orang lain, tetapi sebahagian daripada bangunan itu dibina hasil titik peluh dan wang ringgitnya, derma Allahyarham Rusli serta bersama sebuah jawatankuasa khas yang dibentuk. Apa yang berlaku terhadap Wisma Tokguru itu ialah tuntutan bertindih di antara tuan tanah (Yassin) dengannya yang memilik bangunan itu. Jelas dari segi keadilan ia perlu diselesaikan menurut lunas undang-undang agar tidak ada yang teraniaya dan dianiaya.

Atas hujah itu Adun Salor itu mempertahankan bangunan itu dan beliau tidak akan keluar hanya sekadar dengan menerima notis daripada orang bernama Yassin yang bertindak bagi pihak Pas. "Notis bukan perintah mahkamah, notis hanya pemberitahuan," tegasnya sekali lagi. Justeru katanya dia meminta anak-anak muda Amanah terus menjaga dan mempertahankan bangunan itu sehingga ada perintah mahkamah.

Dalam pada itu juga berhadapan dengan isu itu Husam menasihati orang-orang Amanah bertindak secara waras, patuh kepada undang-undang , banyak berdoa dan menyerah kepada Allah.

Sesuatu yang pelik juga mengenai notis yang diterima Husam itu ia berakhir 16 November tetapi sebelum tamat tempoh beliau sudah dihalau keluar. Ini menggambarkan niat busuk dipihak Pas serta kejahilan mereka dalam membaca maksud notis itu sendiri.

Husam turut membaca perenggan akhir notis yang diterimanya, yang menyebut sekiranya beliau enggan keluar atau tidak patuh pihak penghantar notis itu akan membawa ke mahkamah. Jelas apa disebut notis itu, tarikh yang diberikan belum matang dan usaha membawa ke mahkamah juga belum dilakukan. Ertinya mahkamah belum berbuat apa-apa keputusan dan perintah. Anihnya pihak Pas sudah ghairah untuk memasukinya.

Sikap ini menyebabkan Husam menyifatkan Pas menerusi Setiausahanya Che Abdullah Nawi tidak memahami maksud dan makna notis itu.

"Takkan sampai begitu sekali (bodohnya) takkan Che Abdullah sendiri tidak memahami notis yang dihantar," tempelak Husam.

Untuk lebih harmonis Husam mencadangkan kedua-dua pihak, pihaknya dan pihak Pas sabar menunggu keputusan mahkamah dan tidak bertindak di luar batas undang-undang kerana kes itu sudah dibawa ke mahkamah. Mahkamah sedang dan akan memperimbangkan.

Beliau sendiri telah memfailkan injuksi bagi menghalang Pas memasuki ke premis itu. Beliau berharap mahkamah akan mendengar injuksi itu dan membuat keputusan sebelum 16 November. Manakala perbicaraan mengenai perebutan itu akan diadakan pada 4 Disember nanti. "Dah tak lama takkan tidak boleh tunggu," katanya.

Katanya dia dan Amanah bersedia menerima apa sahaja keputusan nanti. Kalau mahkamah berpihak kepadanya, alhamdulilah, tetapi kalau sebaliknya semua pihak kena terima.

Memerhati kemelut mengenai Wisma Tokguru ini saya teringat kepada pertanyaan seorang yang hadir dalam ceramah berkelompok di Panji di mana Mohd Amar Nik Abdullah sebagai penceramah utamanya. Orang itu menanyakan Mohd Amar sejauh manakah Pas mendapat keuntungan dengan membeli Wisma Tokguru itu.

Nik Amar tidak menjawab secara spesifik pertanyaan itu hanya mengatakan, pembelian itu untuk menjaga maruah Pas. Katanya maruah penting mengikut maqasid syariah.

Maruah apa? Maqasid apa? Bagi saya Pas akan menjadi lebih bermaruah kalau tidak menganggu Amanah, melakukan kerja-kerja pembelian tanah itu secara senyap apa lagi menggunakan wang hasil meluluskan tanah hutan di Kuala Krai seperti mana dakwa Husam itu.

Sebaliknya Pas akan dilihat sebagai parti yang cerdik dan matang apabila tidak merebut secomping tanah dan sesandang rumah yang cuba dimiliki Amanah untuk dijadikan tempat berteduhnya itu. Bukankah kita juga mengatakan Amanah anak yang dilahir cacat sejak dalam telor tetapi kenapa harus takutkannya bagaikan takut harimau serkas yang terlepas?

Apabila Pas telah melakukan pembelian itu dengan niat mahu menyusahkan Amanah, menyusahkan Husam dan menyakiti hati seluruh orang Amanah dan PH selamanya Pas akan dikenang sebagai parti jahat dalam kasus itu. Parti yang tidak cekap dan bodoh sombong berpolitik.

Percayalah dan yakinlah Amanah tidak akan lebur walaupun Pas dapat membela maruahnya dengan memiliki premis itu. Husam tidak akan mudah mengaku kalah dan berundur kalaupun Pas menganggu kloninya. Kalau beliau takut tentu tidak dimula sejak awal. Sebaliknya benar seperti kata Husam semalam, Amanah mungkin akan kehilangan Wisma Tokguru, tetapi Amanah akan mendapat sokongan dan simpati rakyat. Sesungguhnya Wisma Tokguru memberi simbol dan makna besar kepada Amanah dan Husam. [wm.kl.11:02 am 14/11/17]

Posted by mohd sayuti Omar at 11:33:00 AM 

2 comments:

  1. Nasib pas tak berjaya perintah negara setelah 60 thn. Kalau tidak mampos rakyat. Tegur je kena sergah terus munafik barua jebon kapiak.

    ReplyDelete
  2. Amat nyata sekali, PAS kini telah diresapi sifat kelakuan Israel!!! Ciri-ciri itu ketara wujudnya dalam PAS, tidak dapat disangkal lagi.

    ReplyDelete