Pendidikan percuma PH cuma ‘omong kosong’, kata BN Selangor
Adun Sungai Panjang berkata Selangor sepatutnya menjadi negeri pertama menyediakan pendidikan percuma melalui IPT seliaannya.
SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) Selangor berkata ketiadaan “pendidikan percuma” dalam Belanjawan Selangor 2018 menunjukkan cakap-cakap Pakatan Harapan (PH) melaksanakan pendidikan percuma di negara ini cuma omong kosong.
Adun Budiman Zohdi (BN-Sungai Panjang) berkata sekiranya PH benar-benar mahu melaksanakan cakap-cakap itu, Selangor patut jadi negeri pertama menyediakan pendidikan percuma melalui institusi pengajian tinggi seliaan kerajaan negeri seperti Universiti Selangor (Unisel) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis).
“Saya mahu bertanya adakah bajet kali ini mempersoalkan apa yang berlaku kepada 2 institusi pendidikan kerajaan negeri sedia ada?” kata Budiman di sesi perbahasan Belanjawan selangor 2018 di Dewan Negeri Selangor hari ini.
“Saya ingat pada 2013, mereka menguar-uarkan memberi pendidikan percuma namun selepas berjaya perintah negeri, satu pendidikan pencuma pun tidak diberikan.”
Adun Yaakob Sapari (PKR-Kota Anggerik) bangun mencelah mempertahankan kerajaan negeri dan berkata pendidikan percuma hanya akan dilaksanakan selepas gabungan pembangkang menawan Putrajaya.
“Adakah Yang Berhormat (Budiman) sedar pendidikan adalah (bawah kuasa persekutuan) dan negeri tidak ada kuasa penuh dalam pendidikan di Selangor.
“Kita dapat universiti itu hanya SCR negeri, dan kita boleh beri seandainya kita maju ke Putrajaya,” kata Yaakob.
Budiman bagaimanapun menjawab parti pemerintah untuk tidak menyebarkan dongeng pendidikan percuma jika tidak mampu melaksanakannya.
“Sebab itu saya sebut jangan banyak dongeng soal pendidikan pencuma dan saya memberi hujah yang mudah: Jika mereka mendapat sebuah negeri dan mempunyai 2 universiti, mengapa tidak universiti mereka berikan pendidikan pencuma sebelum dia memberi pembohongan dan janji manis itu untuk orang lain?
“Soal pendidikan pencuma ini jangan jadikan mainan politik, jangan jadikan pendidikan seperti janji politik. Kerana rakyat negeri ini dahagakan pendidikan percuma,” katanya.
Sementara itu Adun Mohd Khairuddin Othman (PAS-Paya Jaras) turut bengkit mencelah dan membidas Budiman kerana pentadbiran BN tidak menguruskan isu pendidikan dengan baik.
“Teori yang dibawa Sungai Panjang terlalu teori tapi saya rasa BN tidak ada rekod yang baik dalam pendidikan,” katanya.
No comments:
Post a Comment