Wednesday, November 8, 2017

Saudi Game Of Thrones bahagian 1 dan 2

Saudi Game Of Thrones
By Ayman Rashdan Wong  June 22, 2017
Dalam masa sebulan saja, Arab Saudi tiga kali menjadi headline: menari pedang dengan Trump, memboikot Qatar dan menabalkan Putera Mahkota baru.

Tahu Saudi ramai haters. Tapi dalam analisis politik, kita perlu menilai setiap tindakan secara objektif dan rasional. Setiap langkah Raja Salman bukan saja-saja tapi ada matlamatnya. Inilah yang dinamakan sebagai percaturan kuasa.

Di negara monarki mutlak seperti Saudi, orang yang paling berkuasa selepas raja adalah putera mahkota (wali al-ahd). Raja Salman sudah berumur 81, ini bermakna kebarangkalian putera mahkota baru, Muhammad bin Salman (berumur 31) untuk menjadi raja Saudi amatlah tinggi.

Muhammad bin Nayef (berumur 57), putera mahkota yang dibuang adalah anak saudara Salman. Ayahnya Nayef adalah adik Salman dari ibu yang sama, Hassa al-Sudairi.

Oleh kerana kedua-dua watak utama bernama Muhammad, maka saya guna MBS dan MBN bagi mengelakkan kekeliruan. MBS tu putera mahkota baru, MBN tu yang lama.

Dalam kerabat Saudi yang besar (ayahanda Salman iaitu Raja Abdulaziz mempunyai 22 orang isteri dan 36 orang anak), MBN ni kira orang sendiri Salman juga. Malah hubungan 7 adik-beradik yang beribukan Hassa al-Sudairi memang akrab, sampai orang gelar mereka sebagai “Tujuh Sudairi” (السديريون السبعة‎‎).

Kalau Salman bertindak semata-mata pilih bulu, maka dia tak bijak.

Saiz kerabat Saudi yang besar mewujudkan banyak “parti” di kalangan adik-beradik anak Abdulaziz. Semua nak kuasa. Ikut tradisi, raja sepatutnya mengutamakan adik-beradik yang masih hidup dalam melantik putera mahkota.

Soal waris kalau tak diurus dengan baik akan membawa kepada perbalahan antara adik-beradik, seperti yang berlaku di antara Khalid dan Fahd selepas kemangkatan Raja Faisal pada tahun 1975.

Jadi kenapa Salman nak buang MBN?

Salman dah pernah memecah tradisi pada April 2015. Ketika itu Salman buang adiknya (tak sama ibu) Muqrin bin Abdulaziz dan menaikkan anak saudaranya MBN, menjadikan MBN putera mahkota pertama dari generasi cucu Abdulaziz.

Muqrin dibuang kerana ibunya, Baraka berasal dari Yaman. Masa tu Saudi dah sebulan mengisytiharkan perang ke atas Houthi di Yaman. Muqrin membantah perang di Yaman. Maka Salman buang terus duri dalam daging ini.

Motif kali ini pun kerana geopolitik: geopolitik semasa yang melibatkan Saudi-Qatar-Iran. Dan geopolitik di negara Teluk Parsi tidak dapat lari daripada politik kabilah (“tribal politics”).

Ibunda MBN, Al-Jawhara berasal dari kabilah Jiluwi (جلوي) yang berkuasa di kawasan Qatif sebelah timur Saudi. Qatif ni majoriti Syiah dan pro-Iran. Situasi Qatif menjadi kritikal sejak Arab Spring sehingga Salman menghukum bunuh Ayatollah al-Nimr di Qatif yang sangat lantang membidas kerajaan Saudi.

Kabilah Jiluwi kira abang long kawasan di Qatif. Tambahan pula gabenor Qatif sekarang, Saud bin Nayef adalah adik MBN. Senang kan kalau MBN nak sabotaj Raja Salman sekarang? Lagi-lagi MBN dan ayahnya Nayef sudah memegang Kementerian Dalam Negeri selama 42 tahun, segala perisikan ada di tangannya.

Ibunda MBS, Fahda pula berasal dari kabilah Ajman (عجمان) yang berpengaruh di UAE. Dengan itu MBS berkamcing sangat dengan UAE. MBS dan putera mahkota Abu Dhabi, Muhammad bin Zayed digelar duo MBS-MBZ yang berganding bahu dalam Perang Yaman. Malah MBS menyanjung MBZ (berumur 56) sebagai mentor.

Pertabalan MBS sebagai putera mahkota akan menambah kukuh blok Saudi-UAE-Bahrain untuk terus memulaukan Qatar. Kalau bahasa diplomatik ia dipanggil “cement the relationship”.

Sebelum naikkan MBS, Raja Salman dah payung anaknya siap-siap. MBS diberi jawatan Menteri Pertahanan, jadi MBS boleh tunjuk hero dalam Perang Yaman dan menjadi “poster boy” melawan Syiah. Projek IPO syarikat Aramco juga diketuai oleh MBS. Pada masa yang sama, Salman melantik adik kandung MBS, Khalid bin Salman sebagai Duta Saudi ke Amerika.

Kuasa tentera, wang, “networking” semua dah ada, maka Raja Salman tidak ragu-ragu untuk bertindak semalam untuk memelihara percaturannya.

Realiti politik sebenarnya tak jauh berbeza dengan cerita Game of Thrones. Cantas-mencantas dan sailang-menyailang adalah lumrah politik. Lambat sesaat pun anda akan dikorbankan. Pemimpin kena bijak mengatur langkah, bukan duduk ajak debat saja.

Bacaan lanjut dari dua pakar politik keluarga Banu Saud:
Joseph Kechichian, Succession in Saudi Arabia (2001)
Toby Matthiesen, The Other Saudis (2014)

Saudi Game of Thrones, Part Two
By Ayman Rashdan Wong  November 7, 2017
Ada orang minta saya ulas perkembangan di Saudi di mana Putera Mahkota Mohammad bin Salman (MBS) telah menangkap berpuluh-puluh VVIP termasuk sepupunya Putera Alwaleed bin Talal, orang Saudi terkaya, Putera Mutaib bin Abdullah, Menteri Saudi Arabian National Guard (SANG) dan Putera Turki bin Abdullah, bekas gabenor Riyadh.

Penangkapan dibuat atas nama pembanterasan rasuah, tapi orang yang cerdik politik pasti faham apa yang berlaku sebenarnya. Ini adalah sebahagian daripada “Saudi Game of Thrones”, lanjutan daripada pelucutan Putera Muhammad bin Nayef daripada jawatan Menteri Dalam Negeri semasa Jun yang lalu

Jadi apa yang MBS cuba main sekarang ialah mencantas semua potensi ancaman kepada kedudukannya, dengan restu ayahandanya Raja Salman.

Disebabkan putera-putera Bani al-Saud berasal daripada ibu yang berbeza, mereka saling tidak percaya satu sama lain. Putera-putera beribu sama akan membentuk “clan” atau ʿāʾilat (عَائِلَة) yang tersendiri, misalnya “Tujuh Sudairi” (السديريون السبعة) yang merupakan perikatan antara 7 anak daripada Hussa al-Sudairi iaitu Fahd, Sultan, Abdul Rahman, Nayef, Turki, Salman dan Ahmed.

Mutaib dan Turki adalah anak Raja Abdullah yang dilahirkan oleh Fahda al-Shammari. Mereka dan Sudairi bukan saja tak rapat malah bermusuhan sesama lain. Dalam tradisi Bani al-Saud, portfolio keselamatan diagih-agihkan kepada ʿāʾilat yang berbeza: Sudairi jaga tentera, Abdullah jaga SANG. Untuk MBS yang masih muda dan mentah, penyusunan kuasa sebegini cukup membahayakan. Mana-mana putera boleh bekerjasama dengan SANG untuk menjatuhkan MBS.

Kini, dengan penyingkiran Muhammad bin Nayef (ketua perisik) dan Mutaib bin Abdullah (ketua SANG), MBS dapat menguasai ketiga-tiga cabang aparatus keselamatan. Maka MBS bebas daripada sebahagian besar ancaman kepada kedudukannya.

Tapi persoalannya, kenapa sekarang?

Salah satu sebab ialah badan Raja Salman yang semakin tak sihat, jadi beliau nak memastikan anak kesayangannya dapat berkuasa dengan selesa. Beberapa jam sebelum penangkapan, Trump menelefon Raja Salman untuk memperkukuhkan kerjasama dua hala termasuk rancangan Saudi untuk memasarkan saham (IPO) Saudi Aramco di bursa New York (NYSE) dan pembelian THAAD oleh Saudi. Kiranya dapat restu (endorsement) daripada Trump lah tu.

Selain putera-putera yang menjaga keselamatan, turut ditangkap ialah taikun-taikun Saudi yang mampu menggulingkan MBS dengan wang. Alwaleed tak campur sangat politik, tapi hartanya berjumlah US$ 17 bilion, dua kali ganda harta yang dimiliki George Soros. Tambahan beliau seorang yang lantang, jadi adalah normal beliau dilihat sebagai potensi ancaman.

Bilionaire seperti Waleed bin Ibrahim, pengerusi Middle East Broadcasting Company (MBC) dan Bakr bin Laden (abang Osama bin Laden) turut ditangkap. Teknokrat seperti Adel Fakieh (Menteri Ekonomi) turut ditahan, supaya MBS dapat ambil semua kredit transformasi ekonomi Saudi, terutamanya selepas Saudi Aramco melakukan IPO kelak.

Dan macam-macam lagi berlaku ekoran daripada itu. Di Lubnan, Saad Hariri, perdana menteri yang pro-Saudi telah meletak jawatan atas alasan ancaman Iran dan Hizbullah, sesuatu yang “fit” ke dalam naratif Saudi tentang ancaman Iran, ekoran daripada tuduhan Saudi-US bahawa tentang pelancaran peluru berpandu Iran daripada Yaman.

Politics is all about power. The road to power is paved with casualties. Mereka yang ditangkap kali ini adalah “casualties” yang terkini, dan bukanlah casualties yang terakhir.

1 comment:

  1. Kahwin sampai 10 x.. anak pun entah kenal begitu sahaja atau langsung tak kenal..

    Wahai saudara .. jangan kahwin setakat nak adil pada isteri-isteri sahaja..

    Ada anak 3 orang ini pun dah susah nak jaga hati mereka dalam masa yang sama ..

    ReplyDelete