Saturday, November 4, 2017

Bijakkah PAS: Isu di Salor dan Pasir Puteh dijadikan modal politik?

Saturday, November 4, 2017
Pas Kelantan tunjuk berani di Salor dan Pasir Puteh
Para peniaga membantah perobohan pasar

Ada dua isu yang heboh diperkatakan oleh orang ramai di Kelantan dewasa ini khasnya di kalangan pemain dan pemerhati politik di mana kedua-dua perkara atau isu itu tidak pun patut jadi isu panas.

Perkara itu ialah pembelian secara senyap tanah menempatkan Wisma Tokguru di Jalan Pendek, Salor dan kedua isu keengganan peniaga di pasar lama Pasir Puteh berpindah ke pasar baru, Siti Hajar.

Kedua-dua isu ini sebenarnya bukan merupakan isu besar membabitkan rakyat Kelantan kerana ia bukan merupakan isu nasional tetapi lebih kepada isu terpencil, bersifat kekampungan yang boleh ditutup begitu sahaja.

Tetapi tampaknya semua pihak khasnya orang politik di Kelantan sudah terdesak sangat sehingga sanggup menjadikan perkara itu sebagai isu dan modal politik. Lebih-lebih lagi pihak parti Pas yang menjadi kerajaan, seharusnya tidak melayan atau pun menutup perkara ini daripada merebak menjadi isu yang boleh mempamerkan diri mereka sebagai huduh.

Wisma Tokguru yang kini jadi tempat Amanah menggerak dan memobilisasikan kekuatannya tidak payah diganggu. Ia patut dibiarkan begitu sahaja. Pas tidak mengalami apa-apa kerugian kalau pun tanah atau bangunan itu dibiarkan kepada Amanah kerana ia memberi apa-apa markah kepadanya. Bukankah Pas yakin parti itu akan berkubur tidak lama lagi, jadi kenapa harus menyuntik racun kepada orang sakit?

Dalam masalah pembelian tanah itu secara senyap Pas mengharap untung secupak tetapi sebaliknya rugi seguni diperolehi. Hari ini semua orang tertanya-tanya darimana individu membeli tanah itu mendapat wang RM700,000 sedang orang tahu dan kenal kapasitinya?

Para pemimpin Pas mempertahkan tindakan itu sebagai hendak menjaga maruah Pas. Apa yang menyebabkan maruah Pas terjejas dengan penggunaan Wisma itu oleh Amanah? Tanpa mengambil atau membeli tanah itu maruah Pas tetap terbela. Sebaliknya dengan tindakan itu maruah Pas sebagai parti agama tercemar apabila mereka diwara-warakan sebagai penceroboh.

Yang jelasnya pembelian tanah itu tidak akan menjejaskan pengaruh Adun Salor kalau itu tujuannya. Husam atau pengaruh dan aroma politiknya bukan berpusat di situ tetapi di seluruh Kelantan. Hakikat ini sepatutnya dikaji dan diketahui oleh para strategis Pas. Bagi saya tindakan itu memberi populari dan modal politik percuma kepada Husam Musa.

Apa lagi, walhasil pembelian tanah itu tidak juga mencapai penyelesaian apabila ia akan berakhir di Mahkamah jua. Walaupun pembelian itu sah tetapi dari sudut keadilan ia perlu diputuskan oleh Mahkamah. Sekarang ini apa diharapkan Pas di sebalik tindakan itu bukan menguntungkan tetapi memberi modal politik kepada Amanah. Pas tidak akan berjaya menduduki bangunan dan menguasi tanah itu dalam masa terdekat.

Pasar Pasir Puteh

Demikian juga dengan isu pasar di Pasir Puteh. Soalnya kenapa kerajaan tidak bersedia untuk menyelesaikan masalah yang menyebabkan peniaga enggan berpindah. Kono ianya kerana masalah ruang niaga yang sempit di mana saiznya tidak munasabah sama luas dengan lubang kubur sahaja.

Kalau dakwaan itu benar, kenapa kerajaan tidak mengatasinya bagi mengelakkan pertikaian yang kemudian dijadikan isu oleh pihak lain. Sekiranya pihak berkuasa sedia menangani masalah dibangkit itu keadaannya tidak "memborak" seperti hari ini. Dalam hal-hal membabitkan rakyat dan kesan kepada persepsi umum ini sepatutnya kerajaan lebih bijak dan waspada dalam tindakannya. Emosi perlu dibatasi.

Namun apabila kerajaan semacam berkeras sehinggakan bertindak memotong bekalan eleterik, air dan kelmarin cuba pula hendak merobohkanya maka ia menjadi kemarahan peniaga. Lebih buruk dan huduh lagi tindakan itu akan disuluh oleh orang ramai sebagai kerakusan pihak kerajaan. Dalam apa pun keadaan apa-apa pertikaian di antara rakyat dengan aparat kerajaan selagi ia belum sampai ke titik akhir orang akan melihat kerajaan yang salah.

Seperti masalah dihadapi peniaga itu, mereka dilihat sebagai anak manakala pihak berkuasa sebagai bapa. Di mata umum orang akan menuduh si bapa tidak mempedulikan anak walaupun apa yang diminta dan dipintanya tidak munasabah. Kerajaan sepatutnya mengalah dan bertenang sementara apa lagi di saat pilihan raya -- (penentuan umum dari rakyat) akan tiba.

Dalam dua isu itu saya melihat ia satu keberanian pihak Pas baik menerusi parti maupun sebagai kerajaan? Apakah ia keberanian membuta tuli, sama-sama boleh dinilai. Sepatutnya kerajaan Pas Kelantan bersabar sekejap untuk bertindak ke atas peniaga itu sekurang-kurang tunggu selepas selesai pilihan raya. Pilihan raya sudah hampir tiba, apa yang berlaku itu sedikit sebanyak akan menjejaskan sokongan kepada Pas. Apa lagi isu-isu membabitkan tanah dan "kediaman" seperti pasar itu sensitif.

Rasa tidak puas hati peniaga akan memberi kesan kepada mereka dan juga orang ramai. Kesan itu meninggalkan natijah buruk. Mungkin angkanya tidak seberapa, tetapi  kalau 500 undi yang lari daripada Pas ekoran pertikaian pasar itu ia sudah cukup untuk mengalahkan Pas dalam pilihan raya di kerusi di kawasan itu.

Apakah pihak Pas khasnya pihak berkuasanya di Pasir Puteh sangat terdesak dalam keadaan yang ada? Apakah ada pihak lain yang menekan pihak berkuasa agar segera melakukan pemindaan kerana mereka ingin "monopoli" tapak pasar berkenaan yang khabarnya sangat berkomersial? Apakah begitu? Dan pihak berkenaan pula sudah membaca kalau pemindahan dan pemilikan mutlak tapak pasar kepada mereka tidak dilakukan sebelum pilihan raya ia bakal merugikan mereka?

Kesimpulannya dalam tilikkan saya isu di Salor dan Pasir Puteh itu tidak menguntungkan Pas dan kerajaan, dan ia kalau satu strategi, tetapi ia adalah strategi yang salah dan kurang kebijaksanaan. [wm.kl. 6:18 pm 04/11/17]

Posted by mohd sayuti Omar at 6:35:00 PM 

3 comments:

  1. Brani sangat,Tak payah takut lepas pru 14 amanah berkubur?

    ReplyDelete
  2. Tindakan PAS menjadi sebodoh ini adalah disebabkan tiada yang profesional lagi yang ada dalam PAS. Yang masih tinggal hanyalah individu-individu setaraf dengan Wan Rosli saja.

    ReplyDelete
  3. Pas are fired dan bukan parti islam. Dah jadi parti olarmak bodoh yg hanya tau hafal hadis. Isu pasar pon tk leh selesai. Yb fattah kena resign exco. Huhu

    ReplyDelete