Saturday, September 9, 2017

Perpecahan dalamanan PKR: Akibat tangan sendiri atau ada sentuhan ghaib?

Apa sebenarnya sudah jadi dengan PKR?
Amin Iskandar
Diterbitkan pada 9 Sep 2017 11:00AM
PKR kini berdepan krisis dalaman pemimpin sehingga membuatkan rakyat tertanya-tanya, apa sudah jadi sebenarnya dengan PKR? – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 September, 2017.

KETIKA Pakatan Harapan (PH) semakin tersusun selepas Dr Mahathir Mohamad menjadi pengerusi, parti komponennya PKR dilanda krisis besar.

Krisis dalaman PKR ini dikatakan sudah bermula sebelum Ketua Umumnya Anwar Ibrahim dipenjarakan pada 2015 akan tetapi meletus baru-baru ini selepas pemimpin-pemimpin kanannya berperang secara terbuka menggunakan media.

Krisis dalaman PKR bermula apabila Langkah Kajang yang digerakkan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli dan Setiausaha Agung Saifuddin Nasution pada 2014 untuk menyingkirkan Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor dan menobatkan Anwar tergendala kerana akhirnya Mohamed Azmin Ali dilantik Sultan Selangor sebagai ketua negeri itu.

Langkah Kajang ini juga dikatakan sebagai punca perpecahan Pakatan Rakyat (PR) yang turut dianggotai PAS sebelum ini.

Ini kerana PAS mahu Khalid terus menjadi menteri besar Selangor dan alasan diberikan PKR untuk menyingkirkan Adun Pelabuhan Klang itu tidak meyakinkan mereka.

Sementara DAP pula yang sebelum itu turut terkejut dengan pengumuman Langkah Kajang oleh PKR akhirnya akur dan menyokong langkah parti pimpinan Anwar itu.

Selepas Azmin dilantik sebagai menteri besar Selangor perpecahan dalaman PKR semakin jelas dan wujudnya kem Rafizi-Saifuddin dan kem Azmin.

Keadaan menjadi semakin buruk selepas Anwar dipenjarakan apabila pemimpin-pemimpin dari kem berbeza yang bertemu ketua umum PKR itu sama ada di penjara atau mahkamah membawa pulang maklumat berbeza-beza.

Apabila Anwar dipenjarakan pada 2015, PKR turut kehilangan tokoh yang penyatu kepada pelbagai kumpulan di dalam parti itu.

Perlu diingat, PKR merupakan satu-satu parti yang mempunyai pebagai kumpulan berbeza latar belakang ideologi seperti dari Umno, Parti Rakyat Malaysia (PRM), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Jemaah Islah Malaysia (JIM), pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis reformasi.

Selepas Anwar dipenjarakan, pemimpin-pemimpin PKR dari pelbagai latarbelakang ideologi tidak lagi mempunyai penyatu dan mereka mula bergerak mengikut kumpulan masing-masing.

Siapa yang terlibat?

Watak utama dalam perpecahan PKR ini ialah kumpulan Rafizi-Saifuddin dan kumpulan Azmin.

Dalam satu kenyataan sebelum ini, Rafizi menyenaraikan dua kem berbeza dalam PKR:

Kem Azmin: Chua Tian Chang, Shamdul Iskandar dan Xavier Jeyakumar, Dr Shaharuddin Badaruddin, Zuraida Kamaruddin (ketua wanita), anggota biro politik Sivarasa Rasiah, Saifuddin Abdullah, Kamaruddin Jaafar, Fahmi Fadzil (pengarah komunikasi), N Surendren, serta pemimpin utama parti Elizabeth Wong, Hee Loy Sian, Siti Aishah Sheikh Ismail, Mohamad Nur Manuty, Latheefa Koya, Dr Afif Bahardin dan Haniza Talha.

Kem Rafizi: Sim Tze Tzin (pengarah strategik), Fariz Musa (ketua setiausaha pengelola), Abdul Hadi Al-Khatab (pengerusi Lembaga Disiplin) dan Christina Liew (pengerusi Sabah), pemimpin exco negeri Abdullah Sani Abdul Hamid, Wong Chen, Rodziah Ismail, Fuziah Salleh, S Manivannan, Gooi Hsiao Loong, Azan Ismail, Dr Idris Ahmad, Dr Azman Ismail, Hassan Karim dan Aminuddin Haron.
Kemelut dikatakan timbul selepas Langkah Kajang yang digerakkan Rafizi Ramli dan Saifuddin Nasution gagal sehingga meletakkan Azmin Ali di puncak kuasa Selangor.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 September, 2017.

Kesan perpecahan PKR

Perpecahan dalaman PKR mendatangkan kesan besar kepada PH. Contohnya dalam isu senarai Majlis Pimpinan PH, pengumuman tertangguh selama dua bulan disebabkan berlakunya pertembungan antara dua kumpulan.

Keduanya, dalam isu kerjasama bersama PAS, dua kem dalam PKR mempunyai pandangan berbeza. Kem Azmin mengatakan kerjasama dengan PAS dalam bentuk pakatan pilihan raya (electoral pact) penting bagi memastikan tiada pertembungan tiga penjuru pada PRU14, sementara kem Rafizi mahu segala kerjasama dengan PAS ditamatkan.

Perdebatan berhubung kerjasama dengan PAS muncul kembali selepas Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Azizah dan Timbalan Presiden Azmin melawat Presiden PAS Abdul Hadi Awang di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

Ini menyebabkan Rafizi mengeluarkan kenyataan menggesa PKR mengadakan kongres khas dalam isu kerjasama bersama PAS.

Kenyataan Rafizi itu diselar Timbalan Ketua Pemuda PKR Dr Afif Bahardin tetapi disokong pemimpin akar umbi parti.

Anwar kemudiannya mengeluarkan kenyataan dari penjara, mengatakan rundingan bersama PAS dilakukan dengan pengetahuannya.

Anwar juga berkata, Azmin dilantik untuk mengetuai rundingan dengan PAS bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru pada PRU14.

Selain itu Anwar turut mempersoalkan keperluan mengadakan kongres khas.

Bagaimanapun Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad mengatakan beliau mahu PKR menghentikan rundingan dengan PAS.

"Kita akan hentikan rundingan tersebut. Saya harap kita akan dapat lakukan," kata bekas perdana menteri yang kini menjadi pemimpin utama pembangkang itu.  – 9 September, 2017.

No comments:

Post a Comment