Friday, September 29, 2017

Kerana 'kafir', orang Terengganu takut untuk menyokong PH secara terbuka?

Pakatan jadi halimunan di Terengganu
Zulkifli Sulong
Diterbitkan pada 27 Sep 2017 11:00AM
Saban minggu Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu Raja Bahrin Shah dan rakan-rakannya bergerak ke segenap tempat berkempen membawa mesej utama iaitu Amanah sebuah parti yang menggantikan PAS dan kini mengetuai kempen PH mahu menggantikan kerajaan Barisan Nasional.– Gambar fail The Malaysian Insight, 27 September, 2017.

BIARPUN angka-angka menunjukkan sebaliknya — membayangkan petanda dukacita untuk Amanah di Terengganu, parti serpihan berusia dua tahun itu cukup yakin ia boleh memimpin Pakatan Harapan (PH) merampas negeri pantai timur itu pada pilihan raya umum akan datang.

Amanah di Terengganu setakat ini cuma dapat menarik 15% saja sokongan ahli-ahli PAS. Kajian terbaru Institut Darul Ehsan (IDE) pula menunjukkan ia hanya boleh dapat 2% sokongan di medan yang sebenarnya jadi rebutan antara PAS dan Umno.

Namun tugas itu bukan mudah, kata Pengerusi PH Terengganu, Raja Bahrin Shah yang mengakui parti itu tersepit di antara dua gergasi, parti Islam PAS, dan Umno yang kini memerintah negeri.

"Angka-angka itu mengelirukan kerana banyak pengundi memilih menyokong PH dalam diam," kata Raja Bahrin, mengulas perkembangan yang menjadikan PH di Terengganu boleh diibaratkan sebagai "pakatan halimunan".

"Puncanya ialah budaya dan sejarah politik di Terengganu yang menyebabkan ramai ahli PAS yang kurang senang dengan pimpinan parti Islam itu tidak berani menyatakan sokongan secara terbuka kepada Amanah."

Kata Raja Bahrin, beliau bertemu dengan banyak ahli PAS yang takut hendak menyertai atau menyokong Amanah, bimbang mereka akan dicap sebagai kafir.

Beliau mengimbau sejarah politik di Terengganu, tempat bermulanya isu kafir-mengkafir pada akhir 1980-an sehingga membawa perpecahan orang Melayu yang buruk, yang kesannya masih terasa sampai ke hari ini. Inilah negeri tempat lahirnya Amanat Hadi yang membahagikan orang Melayu kepada dua: menyokong PAS atau menyokong Umno.

Dr Mahathir Mohamad sendiri yang melalui episod itu semasa jadi perdana menteri dan presiden Umno sehingga sekarang masih terasa apabila pernah dikafirkan oleh PAS. Isu Amanat Hadi berbangkit semula baru-baru ini ketika hangat gesaan agar kerajaan menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat peristiwa Memali.

Setelah PAS berpecah dan lahir Amanah, reaksi penyokong PAS begitu keras terhadap mana-mana ahlinya yang menyertai parti serpihan itu. Selain label pengkhianat, ada juga yang dipulau daripada majlis kenduri-kendara, yang mengingatkan semula mereka yang pernah melaluinya kepada episod perpecahan orang Melayu pada dekad 80-an.
Terengganu ialah negeri tempat lahirnya Amanat Hadi yang membahagikan orang Melayu kepada dua: menyokong PAS atau menyokong Umno. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 September, 2017.

"Ini menyebabkan bukan setakat penyokong, ramai pemimpin dan wakil rakyat PAS yang menyokong Amanah dan tidak suka dengan pendekatan PAS, tidak berani menyertai Amanah secara terang-terangan sehingga sekarang," kata Raja Baharin.

Menyedari masalah Amanah yang jadi halimunan di Terengganu, saban minggu Raja Bahrin dan rakan-rakannya bergerak ke segenap tempat berkempen memperkenalkan parti itu, masuk pasar keluar pasar, dengan kereta traknya tanpa jemu. 

Mesej utamanya, Amanah sebuah parti yang menggantikan PAS dan kini mengetuai kempen PH mahu menggantikan kerajaan Barisan Nasional.

"Sembilan bulan terakhir menunjukkan perubahan besar untuk Amanah. Kami mula didekati," katanya.

Masalah sama juga dihadapi oleh Bersatu di Terengganu, melengkapkan PH sebagai parti halimunan di negeri pantai timur itu.

Jika Amanah berhadapan dengan PAS yang suka mengenakan label kepada ahli-ahlinya yang menyokong Amanah, Bersatu pula berhadapan dengan Umno yang berkuasa di segenap peringkat, dari sebawah-bawah peringkat kampung sampai setingi-tinggi di pusat, yang mengawal segala projek dan jawatan politik di negeri itu.

"Ramai penyokong Umno ini terikat dengan projek kerajaan dan pegang jawatan di kampung-kampung. Jadi mereka takut mahu menyertai Bersatu secara terang-terangan," kata Hambali Abdul Latif, Setiausaha Bersatu Terengganu.

Jelas beliau, ramai ahli Bersatu yang kehilangan kontrak serta hilang jawatan di peringkat kampung kerana dilihat mendekati pemimpin Bersatu.

Akibatnya, ramai penyokong Bersatu kekal dalam Umno.

Bagaimanapun, Hambali dan Raja Bahrin yakin ada peratusan besar penyokong Umno dan PAS yang akan mengundi PH dalam pilihan raya umum nanti khasnya di kerusi-kerusi bandar.

Raja Bahrin juga yakin pertandingan tiga penjuru pada PRU14 nanti tidak semestinya mendatangkan masalah kepada PH.

"Saya rasa dalam konteks Terengganu, pertandingan tiga penjuru tidaklah seburuk yang disangka kerana Amanah boleh menarik undi ahli Pas dan Bersatu boleh menarik undi ahli Umno," kata Raja Bahrin kepada The Malaysian Insight.

Beliau menambah rakyat juga sudah bersedia untuk berubah, dan apa yang perlu dilakukan oleh PH sekarang ialah memantapkan kerjasama sebagai sebuah pakatan yang bermuafakat dan meyakinkan pengundi ini masanya untuk memberi pakatan itu peluang.

Katanya lagi, keadaan sekarang sudah berubah, tidak sama seperti semasa pilihan raya umum yang lalu, ditambah pula dengan kenaikan kos sara hidup yang semakin membebankan rakyat, dan selebihnya, kedudukan Umno negeri yang belum nampak keluar daripada pergolakan dalamannya. – 27 September, 2017.

1 comment:

  1. Harap semua org islam faham. Bukan pas atau mana2 parti di dunia ini yg menentukan sama ada seseorg itu kafir atau tidak. HANYA Allah yg menentukan

    ReplyDelete