Saturday, September 2, 2017

Dasar PKR ‘tidak musuhi PAS’: Rupanya rundingan dengan PAS di atas persetujuan Anwar

Anwar setuju kongres khas bincang hubungan PAS-PKR, tetapi…

  | September 2, 2017
Ketua umum PKR itu mengesahkan menyokong meneruskan rundingan dengan PAS bukan sahaja di peringkat Selangor tetapi juga di seluruh negara.
PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengesahkan memberi persetujuannya supaya PKR mengadakan rundingan bersama PAS, tetapi berkata beliau tidak menentang sebuah kongres khas bagi mendapatkan mandat akar umbi sama ada rundingan itu perlu diteruskan.
“Secara peribadi, memahami semangat demokrasi PKR, saya tidak keberatan jika ingin dikendali Kongres Khas,” kata ketua umum PKR itu hari ini, di tengah-tengah perang mulut melibatkan beberapa pemimpin PKR mengenai rundingan dengan PAS.
Menurut Anwar, beliau “tidak dapat meremehkan” kerisauan beberapa pemimpin PKR mengenai rundingan bersama PAS, disebabkan persepsi hubungan erat PAS dan Umno.
Anwar bagaimanapun berkata apa yang menjadi masalah ialah sama ada sebarang keputusan kongres khas boleh dilaksanakan segera disebabkan pilihan raya umum (PRU) yang boleh berlaku bila-bila masa.
“Kemusykilan saya adalah keperluannya memandangkan tiada perubahan dasar yang berlaku. Malah dengan kemungkinan PRU 14 diadakan dalam tempoh terdekat, segala keputusan perlu dimuktamadkan segera,” katanya dalam kenyataan.
Bulan lalu, Ahli Parlimen Selayang William Leong meletak jawatan sebagai anggota Biro Politik PKR kerana kecewa langkah parti mengadakan rundingan dengan PAS.
Susulan itu, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli secara terbuka mempersoalkan Datuk Seri Azmin Ali kerana mengadakan rundingan dengan PAS, walaupun parti Islam itu sebelum ini membayangkan akan memaksa pertandingan 3 penjuru melibatkan komponen Pakatan Harapan (PH).
Azmin mempertahankan rundingan dengan PAS, dengan berkata ia berdasarkan keputusan parti.
Rafizi kemudian mendedahkan kepincangan di peringkat tertinggi PKR sejak Anwar dihukum penjara 5 tahun pada awal 2015.
“Jika pun telah ada persetujuan di peringkat Biro Politik, jika itu tidak disukai oleh seseorang maka keputusan itu tidak dihormati malah akan dibuka balik di dalam mesyuarat Biro Politik yang seterusnya untuk ditukar kembali,” kataa Rafizi pada 29 Ogos.
Rafizi turut menamakan pemimpin yang pro dan kontra dalam soal menjalinkan kerjasama dengan PAS, dan berkata kekeliruan itu hanya boleh diselesaikan sekiranya isu itu diserahkan kepada akar umbi parti dalam kongres khas.
Dasar ‘tidak musuhi PAS’
Anwar hari ini berkata walaupun PKR berunding dengan PAS, parti itu komited dalam kerjasama Pakatan Harapan, gabungan 4 parti yang tidak disertai PAS.
Menurutnya, dasar PKR adalah untuk “tidak memusuhi PAS”.
“Apa yang diusulkan dan dipersetujui Biro Politik sebelum ini adalah tidak memusuhi PAS, mengkaji kemungkinan mengelak pertarungan 3 penjuru. Pertimbangannya adalah menggembeleng seluruh kekuatan dalam menghadapi Umno-BN dalam PRU 14,” kata Anwar.
Mei lalu, PAS memutuskan kerjasama hampir 2 dekad dengan PKR, menuduh parti itu melanggar syarat “tahaluf siyasi” dengan berkempen menentang calon PAS pada pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar tahun lalu.
PAS berpecah pada muktamar 2015 susulan timbul gesaan supaya parti itu memutuskan hubungan dengan DAP. Sejak itu, kepimpinan PAS di bawah Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga dilihat semakin mesra dengan pemimpin Umno.
Anwar mengakui beliau menyarankan PKR tidak memutuskan hubungan dengan PAS.
“Secara konsisten saya telah suarakan pendirian tersebut kepada pimpinan PKR, DAP, PPBM dan Amanah. Pimpinan berhak membuat penilaian dari masa ke semasa,” kata Anwar.
“Saya mohon pertimbangan dan kerjasama rakan-rakan untuk memberikan sedikit ruang kepada presiden dan pimpinan untuk memberi penjelasan dan menentukan dasar dan arah selanjutnya selaras dengan pendirian PKR dan muafakat Pakatan Harapan. Semua tindakan seterusnya harus diadakan menurut saluran parti,” katanya.

2 comments:

  1. maaf dato sri berbeza pandangan... di sebabkn bersangka baik la dato sri kna kes liwat kedua...dan dengan pas yg terang2 menolak pkr masih nk berbincng.... nampaknya ph akn kalah disebabkn keputusan pkr..... klu ph x menang pru kli ni minta dato berundur la... insya allah

    ReplyDelete
    Replies
    1. Aku setuju. Nmpknya dsai hanya dengar dri sebelah pihak yg rasa tergugat dgn jawatan mb dan mp. Rafizi bersedia hilang kerusi demi perjuangan tapi cuba lihat kartel azmin?. Perjuangan apa?

      Delete