Sunday, March 11, 2018

“Saya hairan, di mana Shahrir ketika Tan Sri Muhyiddin dipecat?

Shahrir ‘dihadiahkan’ Pengerusi Felda selepas bela Najib
ARIF ATAN  -  March 11, 2018 12:46 pm
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim menyifatkan Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad tidak lagi mempunyai prinsip seperti yang pernah dikaguminya sebelum ini.

Menurutnya, Ahli Parlimen Johor Bahru itu sebaliknya tidak membela prinsip kepimpinan Umno Johor apabila tidak bersuara ketika bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat serta-merta daripada parti itu pada 24 Jun 2016.

“Saya hairan, di mana Shahrir ketika Tan Sri Muhyiddin dipecat? Bukankah Tan Sri Muhyiddin pemimpin besar Johor?

“Bukankah dia hanya bertanya kecurian besar dalam negara, maka dia dipecat? Jadi, di mana prinsip Shahrir? Kenapa dia tidak bela Muhyiddin?

“Dia bukan membela prinsip kepimpinan Umno Johor. Dia bela kawan dia – Najib. Maka, Najib hadiahkanlah dia Pengerusi Felda,” tegasnya dalam ceramah Pakatan Harapan di Kampung Datuk Sulaiman, Johor Bahru kelmarin.

Untuk rekod, selain Muhyiddin yang kini Presiden Bersatu, pemecatan serta-merta itu serentak dikenakan terhadap bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Mereka sebelum itu digantung semua jawatan dalam Umno sejak 26 Februari 2016 apabila menyerang Najib dan berucap di atas pentas dengan pemimpin Pakatan Harapan (PH) ekoran skandal rompakan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Zaid dalam program bertajuk ‘Johor Bahru Penentu PRU-14’ itu berkata, PH perlu memenangi kerusi Parlimen di ibu negeri Johor itu sebelum memegang tampuk kuasa di Kota Iskandar.

“Kalau kita (Pakatan Harapan) nak menang Johor, kena menang di sini (Johor Bahru).

“Ini (Johor Bahru) kita boleh menang. Yang kita kalah ini, sebab kita takut. Orang Johor kagum dengan Tan Sri Shahrir,” ujar ahli DAP itu.

Shahrir, 68, adalah veteran Umno lebih 40 tahun dan mulai memenangi Parlimen Johor Bahru pada PRU 1978.

Beliau pernah meletak jawatan daripada kerusi parlimennya ekoran krisis Perlembagaan negara 1988 sebelum mencalonkan dirinya untuk dilantik semula sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil Parlimen itu.

Mengulas hasrat Najib yang mahukan Shahrir terus bertanding di Parlimen Johor Bahru dalam PRU-14, Zaid mengingatkan pengundi tentang sejauh mana janji yang ditabur telah ditepati.

“Saya ingin meminta orang Johor khususnya orang Johor Bahru fikir persoalan ini, adakah Shahrir Samad banyak berjasa pada orang biasa di sini?

“Apakah pembelaan dia kepada orang-orang yang menuntut geran tanah di perkampungan Melayu ini? Di mana janji-janjinya dulu?

“Bila pajakan ada 30 tahun, tanah tiada nilai. Kita nak jual pun murah. Bank pun tak laku.

“Mengapa orang Kampung Majidee tidak boleh dapat 99 tahun? Kalau boleh bagi hak bebas kepada orang kaya, kenapa tidak orang Melayu dapat pajakan lebih lama?” soal pengasas firma guaman swasta terbesar di Malaysia, Zaid Ibrahim & Co itu lagi.

Tidak selamat

Pada PRU-13, BN Johor kehilangan lima kerusi Parlimen dan tewas di 18 Dewan Undangan Negeri (Dun) iaitu bertambah empat lagi kerusi Parlimen dan 12 Dun sekali gus menghakis panggilan Johor sebagai kubu kuat BN.

Keputusan PRU 2013 itu juga menyaksikan lapan kerusi Parlimen di Johor mengaut kurang daripada 3,500 undi dengan Labis mendapat majoriti paling rendah iaitu hanya 353 undi.

Bahkan, calon BN, Chua Tee Yong dari MCA ketika itu memperoleh undi rosak lebih tinggi iaitu sebanyak 689 undi.

Selain Labis, turut tersenarai sebagai kerusi yang tidak selamat bagi BN adalah Parlimen Pasir Gudang dengan hanya memperoleh majoriti 935 undi.

Diikuti Segamat (majoriti tipis 1,217 undi), Muar (1,646 undi), Tebrau (1,767 undi), Ledang (1,967 undi), Sekijang (3,007 undi) dan Pulai dengan majoriti 3,226 undi.

Lima daripada 26 kerusi yang dikuasai PH pada masa ini adalah Kulai, Gelang Patah, Kluang, Batu Pahat dan Bakri sebelum Parlimen Pagoh kini bertukar milik kepada Bersatu.

Dalam hal berkaitan, BN Johor baru-baru ini dilapor akan memberikan lebih fokus kepada 20 Parlimen di negeri itu bagi PRU-14 terutama kawasan yang BN kalah atau menang dengan majoriti tipis dalam pilihan raya sebelum ini.

1 comment:

  1. bila rakyat minta tanah buat perangai macam arambejadah bagi jadi susah
    bial kawan depa minta tanah pandai pulak cari alasan nak bagi mudah
    cilako amoano
    tapi rakyat yang duk sokong depa lagi boddo

    ReplyDelete