Monday, March 19, 2018

Harapkan keadilan akan terlaksana

Sabtu, 17 March 2018 | 7:20pm
Pendakwa fail rayuan hukuman ringan terhadap Datin Rozita
Oleh Esther Landau; Fernando Fong dan Farah Marshitah Abdul Fatah
cnews@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: Pejabat Peguam Negara sudah memfailkan rayuan terhadap bon berkelakuan baik lima tahun dengan jaminan RM20,000 dibenarkan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya kepada seorang Datin, yang mengaku bersalah menyebabkan kecederaan parah terhadap pembantu rumahnya.

Keputusan mahkamah itu bukan setakat mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan orang ramai yang menyifatkan ia terlalu ringan, malah pengamal undang-undang sendiri membantahnya kerana implikasi hukuman itu, memberi gambaran salah terhadap perundangan negara.
Pengguna laman sosial atau netizen menyuarakan kekesalan terhadap keputusan mahkamah terbabit, walaupun Timbalan Pendakwa Raya dalam kes itu memohon supaya tertuduh dikenakan hukuman berat.

Pengguna Facebook, Mohamad Fadzil Mustafa, menyifatkan keputusan mahkamah itu memperlihatkan undang-undang di negara ini seolah-olah melindungi orang kaya, selain hanya mengukuhkan kedudukan negara dalam Indeks Tanggapan Rasuah (CPI) 2017.

Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, yang juga bekas peguam, menyertai bantahan itu, menggesa peruntukan bon kelakuan baik terhadap kesalahan serius seperti penderaan atau serangan dikaji semula.

"Mana-mana individu tidak boleh dibenar melakukan perbuatan itu terhadap orang lain, termasuk ke atas pembantu rumah. Keputusan mahkamah itu bukanlah lesen sesiapa mendera orang lain walaupun hanya pembantu rumah.

"Hakim perlu melihat kepada peruntukan bon berkelakuan baik di dalam kes serius seperti ini. Adakah ia sepadan dengan kesalahan serius," katanya kepada NSTP.

Mengulas bantahan orang ramai dan pelbagai pihak terhadap bon kelakuan baik itu, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, berkata beliau sudah mengarahkan rayuan difailkan terhadap keputusan mahkamah terbabit.

"Saya dimaklumkan notis rayuan sudah difailkan," katanya ketika dihubungi NSTP di sini, hari ini.

Ketika awal pendakwaan, tertuduh Datin Rozita Mohamad Ali, 44, berdepan tuduhan cuba membunuh pembantu rumahnya mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga maksimum 20 tahun jika cedera, dan seumur hidup jika menyebabkan kematian.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah dekat Jalan PJU 7/30, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, antara jam 7 pagi hingga 12 tengah hari pada 21 Jun 2016

Rozita didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap Suyanti Sutrinso, 19, dengan menggunakan sebilah pisau, batang mop lantai, payung, batang besi, alat mainan kucing serta penyangkut baju, yang digunakan sebagai senjata untuk menyerang mangsa.

Bagaimanapun, selepas 10 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula 9 Mei tahun lalu, tertuduh kemudian menukar pengakuan kepada bersalah atas tuduhan pindaan melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, ketika prosiding disambung pada Khamis lalu.

Berdasarkan Seksyen 326, jika sabitkan kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, V V Suloshani memohon hukuman penjara setimpal dengan alasan kes itu mendapat liputan meluas media antarabangsa selain video rakaman itu viral di media sosial, selain menjejaskan hubungan baik di antara Indonesia dan Malaysia.

Kes itu menarik perhatian ramai selepas video memaparkan mangsa ditemukan terbaring dalam keadaan parah di tepi longkang di kawasan perumahan di Mutiara Damansara oleh pengawal keselamatan, viral di media sosial.

Peguam bela tertuduh, Datuk Rosal Azimin Ahmad, memohon hukuman berbentuk bon berkelakuan baik atas alasan anak guamnya sudah insaf serta mengalami tekanan melampau sejak didakwa di mahkamah.

Susulan pengakuan bersalah tertuduh terhadap tuduhan pindaan itu, Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Mohammed Mokhzani Mokhtar, membenarkan tertuduh dikenakan bon berkelakuan selama lima tahun dengan jaminan RM20,000.

Dalam penghakimannya, Mohammed Mokhzani berkata, bon berkelakuan baik dikenakan terhadap tertuduh bukan bermakna wanita itu dibebaskan, sebaliknya masih terikat dengan mahkamah selama tempoh ditetapkan.

"Sekiranya tertuduh terbabit dengan aktiviti jenayah, dia boleh dituduh semula dalam kes sama dan bakal dikenakan hukuman penjara," katanya.

2 comments:

  1. ngaku bersalah bukan lesen untuk hukuman ringan
    hnaya cepatkan bicara itu saja

    hukum pinjara mesti dikenakan jugak
    dalam islam diajar hukum balas balek dan mangsa berhak dapat ganti rugi tak perlu nak buat permonohan lain ynag menyusahkan mangsa
    sekali bicara saja n hakim boleh tentukan ganti rugi kepada mangsa

    pindalah hukum hukum ni ikut hukum Allah
    jangan banyak nak menyusahkan mangsa penjinayah
    dah 60 thaun maseh buta lagi ka?????
    tak nampak hukum dari Allah atau memnag takut kpair marah

    tak kira ornag besar atau kecik hukum mesti adil jalankan hukam ynag manusia reka pun tak adil jugak apa dah jadi ni
    dah terok manusia lani

    jangan kira peguam penjinayah ini kata anak guaman dia tertekan
    mangsa tak tertekan kah ?????

    kalau ada laki mana laki dia tak mai ke bicara bagi sokongan kat bini

    Seksyen 307 Kanun Keseksaan, yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga maksimum 20 tahun jika cedera, dan seumur hidup jika menyebabkan kematian.

    kalau mangsa mati hukum mati ajalah penjinyah ni kalau waris mangsa tak maaf ikut ajaran islam

    hukum jinayah tak mau pakai hukum Allah hukum zakat pakai pulak

    ReplyDelete
  2. Apalah yg hakim kes ini fikirkan? What are you thinking? Masih waras lagikah

    ReplyDelete