Wednesday, November 8, 2017

Kepala bapak kau: Diceritakan bersandarkan sejarah

mk   -   Hari ini, 11:23 am

Pada tahun 64 AD, kota Rom terbakar selama enam hari. Hampir 70 peratus kota ini hangus dimakan api. Setengah daripada warga kota hilang rumah dan tinggal sehelai sepinggang. Maharaja pada masa itu bernama Nero Claudius Caesar Augustus Germanicus. Ketika api liar membakar sang maharaja ini bermain muzik dan ketawa berdekah-dekah - enjoy de 'menjoy'.

Sejarah hari ini merakamkan Nero sebagai maharaja paling dibenci dalam sejarah Rom kuno. Nero seorang pemboros, menghabiskan dana negara dan gagal mentadbir. Maharaja Nero amat gila dengan projek mega hinggakan banyak wilayah kerajaan Rom jatuh muflis.

Pada masa yang sama, si Nero amat zalim terhadap rakyat biasa. Penganut agama Kristian ditangkap, diseksa dan dibunuh.
Bila Rom terbakar dan Nero memetik kecapi sambil berpesta, ini adalah tanda-tanda sakit jiwa. Ia juga adalah tanda-tanda keruntuhan empayar Rom yang sedang dikepong oleh kumpulan yang dipanggil Barbarian - manusia tanpa tamadun.

Surah Nero dan Kota Rom ini mungkin ramai yang tidak mengetahuinya. Kerana terlalu kuno. Maka biar saya buka kisah yang agak baru. Ia bermula pada tahun 17 Jun 1972 dan berakhir pada bulan 9 Ogos 1974.

Ini kisah presiden ke-37 Amerika bernama Richard Milhouse Nixon. Presiden Amerika dari Parti Republikan ini dalam usaha untuk menang kali kedua telah menceroboh masuk ke pejabat parti Demokrat dalam bangunan Watergate.

Menceroboh masuk pada malam hari bertujuan untuk mencari maklumat tentang strategi musuh politik dalam pertandingan merebut kerusi presiden.

Pada awalnya si Nixon secara gila babi telah menafikan lima orang penceroboh itu adalah orang upahan parti Republikan.

Penafian ini menjadi mandul. Semuanya terbongkar melalui kerja rapi dan siasatan dua wartawan dari harian Washington Post . Carl Bernstein dan Bob Woodward, dua wartawan ini telah membongkar segala kerenah dan tipu daya presiden Nixon.

Walaupun telah jelas terbonggeng, Si Nixon ini masih menafikan yang dirinya terlibat.

Presiden Nixon dikepong oleh Washington Post dan media arus perdana Amerika. Setiap laporan Washington Post akan dipetik pula oleh The Wall Street Journal, The New York Times, Newsweek dan akhirnya skandal Watergate ini menjadi berita dunia.

Secara bebal lagi keras kepala, di hadapan rakyat Amerika, si Nixon telah berceramah untuk menafikan yang dirinya terlibat.

Manakala wartawan Woodward dan Bernstein terus mendapat maklumat dalaman. Ada sosok dari Rumah Putih yang ‘pecah lubang’. Sosok ini hanya dikenali sebagai “Deep Throat’. Siapa sosok ini, sejarah masih mencarinya.

Hari ini apabila semua pita rakaman perbualan dalam Rumah Putih dibuka dari arkib maka dunia mengetahui sejarah Watergate dengan lebih jelas.

Nixon mula sewel

Pada bulan bulan akhir sebelum meletakkan jawatan, si Nixon ini telah mula menjadi sewel. Nixon memaki hamun gerila Viet Cong. Gerila Viet Cong yang sedang memerangi soldadu Amerika mendapat carutan Nixon. Malah Henry Kissinger, setiausaha negara juga dicarut oleh Nixon.
Tidak ada pil yang dapat menenteramkan jiwa Nixon yang telah menjadi setengah gila. Kepungan dan tekanan media, dari Dewan Kongres dan Parti Demokrat telah memaksa Nixon meletakkan jawatan.

Kenapa saya menulis tentang maharaja Nero dan presiden Nixon. Apa sangkut paut dengan Malaysia? Apa hubungan Nero dan Nixon dengan harga ikan kembung pasar Tanjung Karang?

Sabar dulu. Semua ini kait berkait. Ikat berikat. Kesah Nero dan Nixon ini sedang berulang di hadapan mata kita. Kali ini bukan di Rom atau di Washington DC, kali ini di Kuala Lumpur. Nero dan Nixon telah menjadi Najib.

Nixon gila babi menafikan yang dirinya terlibat dalam pencerobohan Watergate.

Si Najib juga menafikan yang dia terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya.

Najib menafikan yang dia kenal Altantuya. Dari akuan bersumpah PI Bala telah ditulis sebaliknya.

Kes gila babi yang paling gila babi apabila Najib menafikan yang dirinya terlibat ialah kes duit 1MDB yang dikatakan dicuri. Najib anak beranak bersama jantan Cina Jho Low dikaitkan dengan isu ini. Ini bukan cerita rekaan yang gila babi. Ini berasaskan apa yang di tulis oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ).

Maharaja Nero menari, berpesta ketika kota Rom terbakar. Nero terbahak-bahak ketawa apabila melihat warga Rom kehilangan rumah tangga. Ini tidak jauh dari apa yang berlaku kepada Nixon.

Nixon jadi sewel kerana dikepong oleh media Amerika. Nixon mula menyumpah seranah dan mencarut marut dalam bilik pejabat.

Kini Najib sedang melakukan perkara yang sama. Bezanya Nixon hanya menyumpah seranah dan mencarut di hadapan pembantu dalam Rumah Putih.

Tapi Pahlawan Bugis Mappadulung Daeng Matimung Karaeng Sanrobone memaki hamun di hadapan khyalak ramai. Sakit. Si Najib ini sedang sakit jiwa.

Pada Ahad 5 November 2017, parti Malaysian Chinese Association telah mengadakan kongres tahunan. Parti ini mewakili kepentingan cukong di Malaysia. Najib sebagai pengerusi BN telah dijemput untuk berucap.

Dalam ucapan di hadapan para cukong dan penyokong cukong, Si Najib ini telah menghamburkan perkataan B-O-D-O-H sebanyak enam kali. Tidak cukup dengan ini Si Najib ini telah menjerit “ Kepala bapak kau”.

Ini sakit. Najib tengah sakit. Najib sakit jiwa sama seperti Nero. Sama seperti Nixon sakit jiwa pada bulan Jun dan Julai 1974.

Isi ucapan Najib kepada para cukong ialah untuk mempertahankan dirinya daripada tuduhan menjual Tanah Melayu kepada China Merah. Bayangkan betapa ironis dan tak masuk akal isi ucapan Najib ini.

Para cukong bergembira

Najib berucap di hadapan cukong. Para Cukong ini amat gembira bila mendengar yang Najib akan membuka seluar sambil menonggeng untuk menyambut kedatangan pelaburan China Merah.

Para cukong tahu dan yakin bahawa mereka juga boleh sama berkenduri kendara bersama China Merah.
Najib menjeritkan “Kepala ayah kau” - ini ditujukan kepada para nasionalis Melayu yang sedang berusaha untuk menyelamatkan Tanah Melayu daripada digadaikan kepada China Merah.

Hakikatnya ucapan Najib itu membodek para cukong MCA dan memperlekahkan dan “mengkepalabapakkaukan” garis nasionalis Melayu. Ucapan Najib di hadapan cukong ini pastilah mendapat tepukan gemuruh. Amin.

Hubaya. Hubaya. Maharaja Nero juga mendapat tepukan gemuruh dari dayang, darai, sida dan pengawal Istana. Malah Nixon ketika mengutuk dan mencarutkan Gerakan Pembebasan Rakyat Vietnam juga mendapat tepukan dan sokong dari pegawai dan ahli kabinet Rumah Putih.
Di sini saya meminta para pembaca lupakan sementara isi ucapan Najib yang menghina garis nasionalis Melayu di hadapan perhimpunan parti China. Pada hemat saya ada perkara yang lebih penting untuk kita sama-sama fahami.

Untuk saya “Kepala bapak kau” itu hanyalah manifestasi. Ini adalah tanda bahawa Najib sedang diserang oleh sakit jiwa yang maha sangat. Amat jelas bahawa kempen para nasionalis yang menentang kemasukan China Merah ke Tanah Melayu ini sedang merebak. Najib sedar hal ini. Najib merasa takut. Najib merasa tergugat.

Suasana hari ini menjadikan Najib sakit jiwa. Ucapan dalam Kongres MCA itu ialah ucapan orang sakit jiwa.

Pada Jun dan Julai Ogos 1974, Nixon merasa dirinya amat tergugat. Harian Washington Post, The New York Times terus menerus membuka kisah bagaimana Nixon secara gila babi terus menafikan yang dirinya terlibat dalam pencerobohan Watergate.

Setiap kali Nixon menafikan, ada muncul berita baru yang menyangkal Nixon. Setiap kali Najib menafikan dia terlibat dalam 1MDB, ada sahaja pegawai Bank di Singapura ditangkap. Setiap kali Najib menafikan dia terlibat, ada sahaja berita dari New York Times yang membuktikan Najib terlibat mencuri duit 1MDB.

Semua ini menimbulkan sakit jiwa.

Ketika melawat presiden Trump baru-baru ini, Najib terpaksa menyorok dari media Amerika. Untuk selamat Najib membawa RTM dan Utusan untuk membuat liputan. Sidang akhbar Najib di Washington DC dihadiri hanya oleh wartawan Malaysia.

Malah, Najib tidak berani singgah ke Persidangan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Najib takut diserbu media.

Pulang ke Malaysia, dalam Parlimen Dr Wan Azizah bertanya kenapa Najib membayar sewa hotel sendiri. Bukankah ini jemputan resmi. Pasti ada tempat menginap rasmi. Soalan seperti ini membuatkan Najib sakit jiwa.

Sakit jiwa

Semenjak tahun 2015, The New York Times telah membocorkan berita dakwaan kehilangan duit 1MDB. Berita ini disambut oleh Washington Post, The Guardian London, Financial Times, South China Morning Post, Malaysian Insider, Malaysian Insight, Malaysiakini. Semua bentuk media telah menimbulkan kes Najib dan 1MDB.

Pada 20 Julai 2016, Peguam Negara Amerika Puan Loretta Lynch membuat kenyataan resmi berkenaan 1MDB. Ini hanya permulaan kes sivil. Pihak berwajib Amerika mahu membeku dan merampas harta yang dibeli melalui duit yang menurutnya dicuri daripada 1MDB.

Pada tahun ini, kes 1MDB telah berubah dari sivil menjadi kes jenayah. Najib sedar hal ini walaupun secara gila babi dia buat buat tak faham dan tidak tahu.

Pada tahun 2017, muncul pula Mahathir Muhamad yang menyuarakan perkara yang sama. Hasilnya Najib makin sakit jiwa.

Justeru apa yang kita lihat dalam Kongres MCA Ahad lalu ialah Najib yang sedang diserang sakit jiwa. Keadaan mental Najib kini sedang menimbulkan persoalan.

Nixon yang makin sewel dan sasau menjadikan dunia dalam bahaya. Ini kerana butang bom nuklear sentiasa berada di sebelah presiden Nixon. Akhirnya, dengan lembah lembut para pembodek Nixon seperti Henry Kissinger menasihatkan Nixon meletakkan jawatan.
Maharaja Nero agak berlainan caranya. Dia maharaja, maka para penasihat tidak ada jalan lain untuk menyelamatkan Rom. Lalu Nero diracun untuk dimatikan.

Nero dikepong oleh Barbarian. Nixon dikepong oleh media Amerika dan akhirnya letak jawatan.

Najib lagi perit. Najib dikepong oleh media dunia, oleh DOJ, oleh Pakatan Harapan. Dan paling menakutkan Najib dikepung oleh bekas presiden United Malays National Organisation sendiri. Mahathir Muhamad menjadikan sakit jiwa Najib bertambah tenat.

Sakit jiwa Najib ini akan membawa malapetaka kepada anak semua bangsa. Bagaimana akhirnya? Tunggu minggu hadapan.

HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

* Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini. - mountdweller88 cnp dari sini

3 comments:

  1. apa kpi seorang haji
    tabur janji sana sini sebelum dimatikan

    ReplyDelete
  2. Gorengan Hisham Rais ini berfakta, Najib memang sakit jiwa kronik! Berjangkit pula pada Hadi Awang.

    ReplyDelete
  3. We stumbled over here from a different web page and thought I may as well check things out.
    I like what I see so now i am following you. Look forward to going over your
    web page yet again.

    ReplyDelete