Wednesday, May 4, 2016

Siri pengalaman seram saya dari blog asal mountdeller yang saya janji nak bawa

TUESDAY, MAY 5, 2009
Siapa Orang Tua Ini 

Pada suatu malam lebih kurang jam 10.00 lebih, beberapa tahun dahulu, saya pulang dari pekan melalui satu lorong yang bertentangan dengan Masjid. 

Bila saya belok dan memasuki lorong tersebut saya terpandang seorang tua berjubah putih dan berserban berjalan agak perlahan di dalam gelap tanpa lampu. Saya memberhentikan kereta dan mempelawa orang tua itu naik. Niat saya ikhlas untuk menghantar orang tua itu pulang walau pun di mana rumahnya. 

Tanpa bercakap sepatah pun orang tua itu naik ke kereta, tutup pintu dan memandang ke muka saya. Saya bertanya dia dari mana dan nak ke mana di malam yang gelap begitu. Orang tua itu cakap yang dia dari masjid dan nak pulang ke rumah. Saya tanya lagi di mana rumahnya. Dia berkata "Anak jalan terus ke dalam kampung sehingga jumpa satu simpang 3". Saya jawab "Baiklah Pakcik, saya akan hantar Pakcik ke sana. 

Tanpa banyak soal saya terus pandu ikut arahannya, terus ke dalam kampung yang gelap dan sampailah di simpang yang orang tua itu cakap. 

Dia minta saya berhenti di simpang itu. Dia kata "Anak tinggalkanlah Pakcik di sini saja. Rumah Pakcik itu dia yang ada cahaya lampu tu" Memang saya nampak sebuah rumah dengan cahaya lampu yang suram. Orang tua itu turun dan mengucapkan terima kasih. Sambil reverse kereta, saya berpesan supaya dia berjalan hati-hati, malam cukup gelap. 

Sebenarnya saya berhenti dekat tepi rumah yang dikatakannya. Cuma saya bimbang dia tersadung sesuatu dan jatuh. Jadi saya tinggalkan dia di situ tanpa apa-apa perasaan kecuali kesihan dan doakan supaya dia selamat naik ke rumah. 

Esok petangnya balik dari kerja, saya saja-saja nak tinjau tempat di mana saya tinggalkan orang tua itu malam tadi. Saya berhenti di simpang dan tinjau sekitarnya.

Alamak, dari celah-celah semak saya nampak sebuah rumah lama yang telah roboh dan telah ditumbuhi semak samun!. 

Saya terus pandu dan saya masuk ke dalam lagi mengikuti salah satu lorong di depan rumah yang roboh itu. Rupanya di hujung lorong itu adalah kubur. Tak ada langsung kelibat atau kesan orang tua yang saya hantar ke sini malam tadi. 

Saya buat keputusan untuk diamkan saja perkara itu. 

Nak tanya orang, bimbang pula ditertawakan! 

Posted by mountdweller at 7:46 PM
 
SUNDAY, APRIL 19, 2009
Makhluk Mandi Banjir Jam Tiga Pagi

Masa itu banjir yang melimpahi bandar Kota Bharu sudah masuk hari ke empat. 

Malam itu semua kawan-kawan rapat bermalam di rumah orang tua (angkat) saya kerana saya minta pertolongan mereka untuk bersihkan rumah (bahagian dapur) yang ditenggelami banjir berlumpur. Jadi untuk membuang lumpur biasanya kami akan tunggu air surut. Senang untuk menolak lumpur bersama-sama air yang sedang surut dan membersihkan lantai sekali. 

Pada masa itu saya dan kawan di dalam tingkatan empat. Sementara menuggu air surut kami berborak dan bergurau menghabiskan masa tanpa menjemukan. Geng-geng saya pada malam itu ialah Azmi dan Rosli adalah abang angkat saya, Arwah Tengku Ahmad Faizul, Nik Fadzilah(lelaki), Shafie dan Bukhari. 

Lebih kurang jam 2 pagi saya terdengar ada makhluk mandi di belakang rumah, masa itu pada anggaran saya air sudah cetek agak-agak sedalam 2 kaki atau lebih sedikit aje lagi. 

Saya pun bersuara "Eh, sigila mana pula mandi air cetek kul 2 pagi?" Semua kawan berdiam diri mendengar bunyi ceburan air. Lepas tu senyap sepi. Kami bersembang lagi. 

Tiba-tiba terdengar pintu di bahagian tengah rumah di ketuk-ketuk. Rosli bangkit untuk buka pintu, ingatkan Arwah Abang Sin (Wan Hussin) seorang saudara yang selalu juga bermalam di sini, dia masih bujang dan selalu suka merayau malam. Bila pintu dibuka tidak ada siapa pun di luar. Simen bahagian depan tangga pun kering. Maknanya tiada siapa-siapa sebenarnya. 

Rosli tutup pintu dan masuk ke bilik kami bersembang dengan terpinga-pinga. Dan dialah ceritakan kepada kami yang sememangnya tidak ada sesiapa pun di luar. 

Semua kami buat tak kisah dan terus bersembang. Masa itu kami di bilik Rosli. 

Setika kamudian kami mendengar seolah-olah satu tin kosong yang besar dipalu di dalam air dengan bunyinya bergerak mengelilingi rumah. Kami terdiam dan memandang antara satu sama lain. masing bertanya bunyi apa agaknya. 

Agak lebih kurang lima minit bunyi itu senyap dan kami mula balik menyambung cerita sembang tadi. Sedang asyik dengan borak dan gurau, tiba-tiba dinding di bahagian luar bilik seolah dibaling dengan batu bata atau batu yang agak besar. Bunyinya kuat berdentam menghentam dinding. 

Shafie buka tingkap dan berkata " Kalau kamu kuat, tunjukkan muka, aku nak tarik janggut minta ilmu". Saya marahkan Shafie dan minta dia tutup balik tingkap dengan berkata "Pie, baik kau tutup tingkap tu, nanti dibaling muka kau dengan batu sebesar tadi baru kau tau!" Shafie tutup tingkap dan kami beralih ke bilik saya. 

Kami bersembang lagi dengan saya berlima bersila di lantai dan Shafie bersama Nik Fadzilah di atas katil saya. Kami bising dengan gurau dan sakat, lepas tu ketawa. Tiba-tiba Shafie berkata " Eh, hantu tu dah balik ke, lama tidak buat bising?" . 

Dengan tiba-tiba saja bunyi lontaran pasir yang kuat di atas bumbung sebanyak dua kali. Kerana terkejut, Tengku Faizul dan Bukhari melompat ke atas katil, dua-dua orang sekali gus dengan pantas dan hentakan yang kuat. Praap... katil saya patah! semua ketawa kecuali Tengku Faizul yang masih pucat dan tidak berkata apa-apa. 

Selepas itu tidak ada apa-apa berlaku. 

Lebih kurang jam 4 pagi air sudah surut dan tiba masanya kami menolak lumpur dan membersihkan dapur. Kami ambillah apa yang patut digunakan seperti penyodok, penyapu dan berus lantai serta sabun. Shafie terus ke pintu dapur membuka pintu dapur untuk menolak air dan lumpur keluar. 

Sebaik saja pintu di buka, sepotong kayu melayang seperti dibaling melepasi kepala Shafie dan jatuh di hadapanya. Shafie ambil dan belek kayu tu. "Pelik kayu ini kering, dari mana hantu ni dapat kayu kering di musim banjir?" Kata Shafie. Dia ketawa dengan berkata "Tak apa, kalau kau marah aku minta ilmu tadi, lain kali aku pula guna ilmu halau kamu ke neraka". 

Lepas itu tidak ada apa-apa lagi kerenah hantu dan kami bersihkan ruangan dapur itu sehingga siap jam 5.30 pagi. 

Selepas solat subuh kami tidur di lantai kerana katil saya sudah patah!

Posted by mountdweller at 10:19 PM 

MONDAY, MARCH 23, 2009
Ditabur Pasir Di Kubur Cik Siti

Semasa saya dalam darjah 4 saya ada seekor kambing jantan yang dibelikan oleh abang sulong saya sebagai pet. Kambing ini cukup besar dan dialah teman saya pada setiap petang. 

Setiap petang saya akan bawanya ke tempat ragut dan saya akan tunggu dia makan atau saya sendiri kaitkan daun derdap kegemarannya dan saya suapkan. Boleh dikatakan setiap tengahari bila balik dari sekolah saya mandikan, kononnya untuk hilangkan baunya yang harum itu!. 

Entah berapa banyak mandi pun haruman dia tetap tidak hilang. Pada suatu petang selepas balik dari mengaji qur'an saya dapati kambing saya tidak ada di tempat biasa dia di ikat. Tali ikatan terlerai. Kambing sudah hilang. 

Saya mencari di sekeliling kampung pada petang itu namun tak jumpa. Tanya punya tanya orang kampung, saya dinasihat supaya mencari di Tanah Perkuburan Cik Siti. Di situ banyak kawanan kambing dan mungkin kambing saya mengikut kambing betina ke situ.

Kerana hari sudah gelap, saya bercadang nak cari selepas solat isyak nanti. Saya diwajibkan oleh guru berjemaah maghrib dan isyak di madrasah bersamanya setiap hari. 

Selepas solat isyak dan ikut wirid bersama guru, saya terus ke Perkuburan. 

Puas saya melilau dan menjengok di setiap kawanan kambing yang berceratuk di bawah wakaf-wakaf yang banyak di atas perkuburan itu, tidak juga saya jumpa sikambing saya itu. 

Saya berjalan masuk lebih ke dalam lagi. Kubur Cik Siti ini memang luas dan banyak kawasan dipenuhi semak. Tiba di bawah satu pokok ketapang yang besar dan rendang berhampiran dengan sebuah perigi tinggal, saya terasa saya di baling dengan pasir dari atas pokok. 

Saya tongak dan cuba perhatikan kalau-kalau ada orang atau binatang. Saya tidak nampak kelibat satu apa pun. Bila saya melangkah untuk tinggalkan tempat itu saya dibaling lagi. Saya mengagak ini mesti kerja hantu kubur. 

Saya teringat kata-kata orang tua, kalau dibaling pasir, tadah pasir itu dengan kain dan pulaskan pasir yang dapat di dalam kain itu kuat-kuat. Bila dipulas hantu itu akan sakit dan akan bertempik serta berteriak mengaduh dan hantu akan serender. 

Saya pun pegang bahagian bawah kain pelikat saya dengan dua tangan. Tangan kiri pegang bawah sebelah kiri dan tangan kanan pegang di bahagian bawah kanan. Bila diangkat jadilah kain itu macam penangguk dan sekiranya dibaling lagi, saya akan dapat tadah pasir itu. 

Saya berjalan dengan keadaan begitu. Bila saya melangkah, saya ditabur lagi dengan pasir. Jadi dapatlah saya tadah pasir yang dibaling itu sikit. Agak sepuluh biji lebih aja. 

Saya pun pulaslah kain yang mengandungi pasir tadi. Pulas, dengar.... Pulas lagi, dengar.... tak ada pun suara hantu menjerit? Akhirnya saya pulas kain saya tadi agak-agak hampir koyak. Hantu tidak juga menjerit. Bila tidak ada apa-apa hasil, saya pun buang pasir itu dan berjalan pulang. 

Kambing tidak jumpa, kena baling dengan pasir pula. Kecewa! 

Saya balik terus ke madrasah. Tok Bilal masih ada sedang mengaji. Bila saya naik ke madrasah dengan badan berpeluh, Tok Bilal berhenti mengaji dan tegur saya "Dari mana sehingga berpeluh?" Saya ceritakan apa yang berlaku tadi. Dia ketawa. 

Saya heran kenapa dia ketawa. Bila dia tengok saya pandang dia semacam bodoh jer, dia berkata "Masa kamu pulas kain tadi kamu baca apa?" Saya tanya dia balik "Kena baca ayat qur'an ke?". Dia jawab dengan tersengih separuh ketawa "Isy budak nih!, orang pulas dengan baca sesuatu. Mari aku ajarkan. Kalau kau pulas sampai koyak kain pun, kain kamu yang koyak, setan tu tak akan apa-apa" 

Kah... kah... bodoh betul saya, berlagak pandai!

Posted by mountdweller at 9:15 PM 

WEDNESDAY, FEBRUARY 25, 2009
Perdaya Iblis

Setalah dua n3 berat sebelumnya, kita bersantai sekejap. Iblis memang bodoh..... ikutilah pengalaman saya di bawah. 

Pada suatu petang ketika berehat selepas solat zohor, tiba-tiba saya terima panggilan dari guru saya mengajak saya ke rumah seorang teman seperguruan. Mengikut kata guru, isteri muridnya itu kerasukan. Menangis, meraung tidak sedar diri. 

Saya bergegas ke rumah guru menjemputnya dan terus ke rumah teman saya itu. Sesampai ke rumahnya, dia bawa guru dan saya masuk bilik. 

Di dalam bilik kami dapati isterinya seolah sedang tidur dan tidak sedar apa-apa. Tapi bila kami melepasi pintu biliknya, dia bingkas dengan mata yang tajam menghalau kami. Dia kata dia tidak suka kami ke mari, dia akan panas sambil mengaduh dan meraung kepansan. 

Kami mulakan membaca Ayat Alkursi wakaf 9 dan hembus. Lagilah dia meraung, menggeliat dan menghempaskan badan ke katil. Kami suruh benda tu pulang tapi dia tidak mahu, katanya takut maknya (tuannya) marah. Dia kata dia datang dengan penjaganyaan sekali. 

Bila didesak mana penjaganya dia tidak mahu jawab dan tidak juga mahu pulang. Cukup degil. 

Akhirnya guru ambil keputusan kami solat hajat dan selepas solat hajat sama-sama membaca Ayat Alkursi 313 kali seorang sambil buatkan air penawar. 

Di luar bilik, teman saya itu mengatakan tadi sebelum kami sampai, dia ajak isterinya ke rumah saya. Tapi isterinya tidak mahu sebab rumah saya dipagari dengan api. Kalau dia masuk dia akan terbakar. 

Hah... jadi saya dah dapat idea macam mana nak kelentong Iblis itu. Tapi saya akan ikut guru buat apa yang sepatutnya dulu.

Semasa kami solat hajat dan membaca ayat alkursi, saya dapat dengar dia meraung dan menghempaskan badan ke katil. Rasa kesian benar kepada isteri teman saya itu, tapi cukup marah kepada manusia yang menghantar Iblis untuk mengganggu dan merasuk semata-mata kerana dengki. 

Selesai solat dan buat apa yang patut, kami masuk semula ke bilik teman saya dan menghembuskan lagi ayat kursi sambil merenjiskan air solat hajat tadi. Lagilah meraung kepanasan dan amat sakit katanya. 

Kami suruh balik, iblis tu tak mahu balik. Kami tanya di mana pengawal dia tidak juga mahu jawab. 

Setelah puas didesak dan ugut barulah dia beritahu yang pengawalnya ada ditanam di tengah-tengah pintu pagar di dalam bungkusan kain kuning. Saya keluar dan gali di pintu pagar. Jumpa bungkusan itu dan saya bawa masuk ke rumah. 

Saya ambil semangkuk air solat hajat dan bacaan ayat alkursi tadi dan rendam bungkusan yang saya temui. Bila masuk saja bungkusan ke dalam air, terus berasap dan seolah olah mendidih. Seketika asap hilang dan air di dalam mangkuk tenang semula. 

Saya cadang nak buang ke sungai pada petang nanti. Dah mampus Iblis tu kot?

Sekarang saya akan pakai helah pula untuk memaksa Iblis tu keluar. Saya kata sekarang aku nak bawa kamu (sisakit) ke rumah aku dan kamu akan aku bakar dengan api di rumah aku!

Mulalah dia termakan tipu. Dia meraung dan dia kata kalau saya bawa dia ke rumah saya dia akan mati, ibunya juga akan mati. Dahlah saya sudah bunuh penjaganya. Barulah saya tahu yang penjaganya yang di dalam bungkusan itu memang sudah gol dek penangan air solat hajat dan ayat alkursi. 

Saya senyum dia dah makan umpan dan masuk jerat. Ok, kalau kamu tidak mahu mati, kamu pulang. Sekarang juga aku nak bawa kamu ke rumah aku. 

Sambil tu teman saya tadi berpura-puralah siapkan pakaian dan mekap isterinya kononnya akan bermalam di rumah saya. Tak semena-mena iblis itu mengalah dan bersetuju pulang sebab dia kata dia tidak mahu Ibunya mati. Dia kata dia balik ke tempat asal dia sekarang juga. 

Tiba-tiba isteri teman saya tadi sedar dalam keletihan dan bersyahadah serta beristighfar. 

Alhamdulillah dia dah sedar. Isteri teman saya kembali pulih dan cergas selepas diberi minum dan dilapkan dengan air solat hajat. 

Lantas meminta air, terlalu dahaga katanya. 

Alhamdulillah! 

Posted by mountdweller at 10:25 PM 

FRIDAY, JANUARY 30, 2009
Kongsi Rumah Bersama Lembaga Ghaib

Saya membeli rumah ini (tempat kami tinggal sekarang) pada tahun 1986 tahun kelahiran anak saya yang kedua. 

Lokasinya ketika itu agak sunyi tetapi dikelilingi dengan sekolah-sekolah rendah dan menengah di dalam jarak yang agak dekat. Saya fikir di lokasi ini, anak saya tidak perlu dihantar untuk ke sekolah setiap hari. Rupanya tidak begitu jadinya. 

Hanya semasa mereka di sekolah rendah sahaja mereka bersekolah di sekolah yang berhampiran. Bila masuk sekolah menengah terpaksa juga menghantar dan mengambil kerana ke dua-duanya ditempatkan di sekolah-sekolah yang terpilih. Jadi beban menghantar dan mengambil terpaksa dipikul juga. Walau susah sikit dengan kekangan masa tapi tak apa itu adalah sebahagian dari amanah Allah kepada Ibu dan Bapa. 

Berbalik kepada tajuk di atas, saya beli rumah ini dari seorang kawan rapat yang sekarang sudah arwah. Rupanya tapak rumah ini di satu masa dahulu merupakan tempat orang-orang kampung membuang segala macam iblis/setan yang mengacau dan menghasut orang-orang di sini. 

Di sini juga tempatnya mereka menghantar Ancak/menjamu hantu. Tempat ini adalah jauh dari kawasan kampung yang agak terpencil dan berpaya di mana terdapat satu lubuk yang mengikut ceritanya tidak pernah kering airnya walau pun kemarau panjang. 

Selepas saya pindah ke sini lebih kurang 3 bulan, semasa saya hendak ke kedai pada suatu malam, saya bertembung dengan satu lembaga yang tidak berkepala berjalan di dalam hujan renyai-renyai. 

Pada mulanya saya ingatkan orang, tetapi saya fikir manusia gila mana pulak yang berjalan dalam hujan tanpa payung dan tanpa lampu di hujung kampung? (masa itu belum ada lampu jalan di kampung ini) 

Saya tinggikan lampu kereta. Barulah saya nampak rupanya manusia berbadan besar tanpa kepala!

Saya berkata sendirian " Kalau kau tak lari aku langgar engkau, tengok siapa lebih kuat". Saya tukar gear dan saya pecut, bila hampir dilanggar tiba-tiba lembaga itu melompat ke dalam semak di tepi jalan dan hilang. 

Saya berhentikan kereta dan perhatikan semak di tempat lembaga itu menghilang tetapi saya dapati tidak ada langsung kesan dipijak atau dirempuh. Lepas itu saya terus ke kedai. 

Di kedai saya ceritakan peristiwa tadi kepada seorang tua di situ. Dia gelak, dia kata di situ bukan saja terdapat makhluk yang tidak berkepala tetapi kalau nasib tidak baik akan bertemu dengan satu perempuan yang mendodoi anak kecil di dalam gerimis!

"Wah.. manarik" kata saya. Dia tanya saya apa yang menarik? Saya kata saya memang nak tengok, cantik ke tidak ibu yang mendodoikan itu? Dengan muka heran dia berkata "Eh.. kamu ni betul ke tidak?" Saya gelak dan berlalu pulang. 

Di dalam rumah pula kekadang di tengah malam ada sesuatu yang berkejaran di atas siling rumah. Melompat-lompat dan kekadang macam menggaru siling rumah. Tapi bila saya kata " Oii.. kamu yang kat atas tu diamlah, aku nak tidur" dia akan diam. 

Di satu peristiwa lain pula pada satu malam anak saya yang kedua baru nak tidur tiba-tiba radio di biliknya berbunyi. Dia ingatkan dia lupa tutup radio sebelum tidur, dia tutup dan balik ke katil. Tiba-tiba radio itu 'on' balik, dia 'off' dan bila nak tidur, radio berbunyi lagi. Dia cabut plug dari socket dan kembali ke katil tetapi lepas seketika radio itu 'on' balik. Akhirnya anak saya kata "Lantaklah kamu nak dengar radio kamu dengarlah, aku nak tidur". 

Dia terlena dengan radio masih berbunyi. Tapi esok paginya bila dia bangun, radio itu memang 'off'. 

Di bahagian dapur pula kekadang ternampak kelibat orang berkulit hitam tidak berbaju keluar masuk dari dapur ke bilik anak sulung saya. Kekadang dari bilik mandi di bahagian belakng ke dapur. 

Yang membawa masalah bila ada orang lain datang bertandang dan bermalam. Adatnya kena ganggulah!. 

Satu peristiwa lain pula, anak kedua dan pertama saya mengepung satu lembaga semacam orang di laman bahagian belakang rumah. Si Along keluar dari pintu belakang dan si Adik keluar dari pintu hadapan. Mereka cuba kepung lembaga itu, tetapi lembaga itu ghaib bila terkepung. 

Saya pun tidak sedar peristiwa malam itu. Saya hanya tahu bila kedua-dua anak saya masuk ke rumah dan bertanya mereka dari mana. Baru mereka ceritakan yang mereka kepung lembaga itu tetapi ghaib. 

Saya tidak bercadang untuk menghalau lembaga ini kerana saya rasa dia wajar berada di sini kerana di sini memang tempat dia. Saya datang kemudian darinya. Jadi selagi dia tidak mendatangkan mudarat, saya benarkan dia di sini. 

Selalunya kalau kami ingin keluar rumah pulang ke Ipoh atau ke KL untuk beberapa hari, isteri saya akan berpesan kepadanya supaya menjaga rumah, jangan duduk jer tahu tapi nak jaga rumah tak tahu. Katanya "Sekarang aku nak keluar, kau jaga rumah ini". 

Sebenarnya saja nak berseloroh. Hakikatnya semuanya di bawah jagaan Allah. Dialah yang memberi dan Dialah yang berhak mengambil kembali sesuatu yang dikurniakan. 

Posted by mountdweller at 4:03 PM 

SUNDAY, JANUARY 25, 2009
DiSantau/Sihir

Semalam saya tengok satu program di TV9 berkenaan santau dan cara mengubatannya yang dihoskan oleh Aziz Desa dan tetamunya adalah seorang Ustaz murid kepada Dato' Harun Din. 

Jadi saya rasa elok juga saya buatkan satu n3 berkenaan pengalaman saya sendiri. Ini kisah dulu-dulu yang hampir meragut nyawa terjadi kepada saya. 

Saya alaminya semasa saya masih remaja tua/ bujang. Bacalah kisah ini sebagai peringatan dan berjaga-jaga. 

Suatu petang saya main takraw di satu gelanggang berhampiran dengan rumah saya bersama kawan-kawan. Sedang saya bermain saya tampan satu smash dari regu lawan dengan dada. Seketika kamudian saya rasa tekak saya geli dan saya batuk. 

Dua kali batuk, tidak ada apa yang keluar walau pun kahak. Kering saja rasa tekak. Batuk yang ke tiga saya rasa semacam kahak dan saya ludah, sebenarnya bukan kahak yang keluar tetapi darah. Saya batuk lagi, darah lagi dan saya termuntah. Muntah juga keluar darah yang fresh. Saya fikir dalaman saya luka akibat menampan bola tadi. Tapi sedikit pun saya tidak merasa sakit sama ada tekak atau dada. 

Saya terus balik ke rumah, bersihkan badan dan terus ke hospital. Di hospital, selepas diperiksa doktor saya dimasukkan ke ward. Malam itu saya muntah lagi dengan darah yang fresh juga sehingga doktor perpaksa tadah besen. Anihnya saya tidak merasakan apa-apa. 

Malam itu juga saya dixray, diambil darah, najis diambil, dimasukkan camera. Esoknya saya disuntik dengan entah apa jenis ejen yang sekiranya terdapat kuman Tibi badan akan berikan reaksi. Orang medikal tahulah kot? 

Segala anggota diperiksa termasuklah kuku dan mata. Saya hanya diberikan vitamin dan satu injeksen. Ubat apa saya tidak tahu dan tidak juga ambil tahu. Saya tanya doktor kenapa semua diperiksa? 

Doktor kata mengikut imej xray paru-paru saya luka tetapi mesti ada sebab lain. Kalau setakat menampan bola takraw, paru-paru tidak akan terluka. Bahagian dalaman perut saya juga ok, ada gestrik tetapi tidak melukakan. Jadi satu lagi perkara yang disyaki adalah Tibi atau apa-apa penyakit yang berkaitan paru-paru. 

Di dalam ward saya rasa macam VIP sebab doktor yang bertugas adalah school mate dan salah seorang jururawat adalah anak saudara boss saya. Jadi jururawat lain pun melayan saya lebih sikitlah. 

Saya ditahan selama seminggu dengan hanya diberikan vitamin. Setelah keputusan kajian penyakit didapati nagetif, saya keluar ward juga dengan bekalan vitamin. Bila saya dirumah, ada masanya saya batuk darah dan kadang-kadang muntah ketika gosok gigi pun keluar darah. Dalam saya berfikir apa yang patut saya buat, saya teringatkan seorang kawan arwah ayah saya yang mengamalkan tarekat dan boleh berdukun. 

Saya buat keputusan berjumpa beliau. Saya bahasakan beliau Wak (sekarang sudah arwah). Jadi pada satu petang saya ke rumah Wak tadi. Saya diberitahu sekiranya begitulah simptomnya saya terkena santau. Saya diberikan air penawar untuk diminum sebelum tidur pada malamnya nanti dan pada pagi esoknya saya diminta ke rumahnya sebelum makan apa-apa makanan.

Pagi esoknya saya sekali lagi ke rumah Wak dan saya diminta minum segelas air penawar dan diminta saya meniarap dengan mendongakkan kepala. Seluruh badan saya ditepuk-tepuk dan leher serta tengkuk saya digosok dengan tangannya. 

Di atas lantai di bawah dada, leher dan dagu saya dilapikkan daun pisang muda. Sedang Wak gosok leher dan tengkuk itu saya dapati sesuatu macam pasir jatuh di atas daun pisang tadi. Wak suruh saya tengok benda itu dan saya dapati bermacam jenis benda halus seperti miang buluh, serbuk kaca, rambut dan entah apa-apa lagi. Kira-kira setengah jam Wak menyapu dan gosok tengkuk dan leher saya, benda-benda itu tidak ada lagi keluar. 

Wak berhenti dan minta saya bangun dan bersila. Kemudian Wak membaca sesuatu dan berdoa serta sambil menepuk dahi dan dada saya. Bila semuanya selesai saya dibekalkan dengan air penawar yang beliau doakan.

Selepas itu, saya masih lagi batuk tetapi tidak teruk dan darah tidak keluar lagi. Selepas beberapa ketika saya dibawa oleh seorang teman menemui seorang lagi pengamal tarekat yang menggelarkan dirinya Tok Ayah (sekarang sudah meninggal). 

Saya diberikan air penawar yang didoakan khas untuk itu. Saya minum, seketika saya muntah. Yang herannya muntah tanpa makanan tetapi yang keluar adalah semacam minyak yang berkeladak seperti minyak selepas goreng ikan kering. Muntah dan muntah lagi. Bila rasa nak muntah sudah tidak ada, 

Tok Ayah suruh saya berkumur dan diberikan lagi air penawar. Saya rasa segar semula. Kata Tok Ayah itu adalah minyak orang mati dibunuh/minyak dagu yang dicampur dengan bahan kotor. Biasanya ini kerja bomoh siam. Kata Tok Ayah, penangan minyak dagu dan santau sudah lebih dari cukup untuk membawa manusia ke kubur. Tapi alhamdulillah, terkena pada saya yang kuat dalaman berkat salawat tafrijiyah yang saya amalkan. Rupanya dia tahu amalan saya walau pun itulah kali pertama kami bertemu! 

Selepas itu saya beransur pulih dan alhamdulillah sihat sehingga sekarang. 

Saya cukup bersyukur kerana Allah selamatkan saya dan dengan peristiwa sakit inilah juga saya berusaha menggali ilmu dan membawa saya bertemu dengan bekas murid Almarhum Kiyai Salleh dan Guru Tarekat dan Tasawuf. 

Rupanya inilah hikmahnya dan sakit yang membawa nikmat! 

Sehingga sekarang saya tidak tahu apa salah saya dan siapa kenakan saya. Saya rasa saya disenangi ramai dan ramai kawan dan kenalan. Saya rasa saya juga jenis yang komited kepada tugas dan tidak suka menjaga tepi kain orang. 

Lantaklah orang lain nak naik ke langit dan terjun turun pun saya tidak peduli. Itu hal peribadi mereka.

* Disebabkan ramai yang bertanyakan Selawat Tafrijiyah, ini pautanya: http://mountdweller.blogspot.com/2008/11/selawat-tafrijiyah.html 

Posted by mountdweller at 9:23 AM 46  

MONDAY, JANUARY 5, 2009
Tumbuk Hantu, Tiang Yang Kena

Entah mengapa saya dari kecil sudah alami perkara-perkara pelik yang melibatkan makhluk halus sedangkan sesetengah orang dari muda hingga ke tua tidak pernah alami apa-apa.

Saya nak ceritakan peristiwa kali kedua saya alami ketika bermalam di rumah abang sulong saya.

Pada satu petang ketika itu saya di dalam tingkatan 2 (14 tahun) saya berkunjung ke rumah abang sulong saya. Malam itu abang minta saya bermalam saja di rumahnya. Rumah ini merupakan rumah pusaka turun temurun yang diwarisi oleh kakak ipar saya.

Rumahnya dari kayu cengal ini agak besar dengan panjang lebih kurang 170 kaki dan buka 40 kaki dengan berhiaskan kayu larik dan berkerawang yang cukup menarik.

Malam itu saya bermalam di sebuah bilik yang bersebelahan dengan bilik simpanan barang-barang antik yang abang simpan. Bilik itu memang dipenuhi dengan berbagai barangan antik dari lembing keris sehinggalah barangan tembaga dan pinggan mangkuk cina zaman dahulu.

Lebih kurang jam 2 pagi saya tersedar kerana terdengar jentikan yang berirama di lantai. Seolah-olah dilakukan dengan jari yang kuat. Saya diam dan mendengar saja sambil terkebil-kebil. Kerana bunyi agak lama, saya tak boleh tidur. Saya tepuk lantai dengan kuat. Bunyi itu diam seketika dan berbunyi lagi. Saya tepuk lagi lantai itu, terus bunyi itu senyap.

Seketika kemudian saya dengar seperti bunyi orang mandi di bilik air belakang dengan menggunakan paip hujan. Bunyi itu agak kuat kerana bilik itu berlantaikan papan juga. Ditambah pula malam yang sunyi.

Saya masih diam membatu di perbaringan. Saya fikir mustahil abang mandi jam 2 pagi, lagi pun di biliknya juga ada bilik air. Seketika kemudian saya dengar macam benda barat jatuh di atas atap serambi belakang. Memang serambi belakang rumah itu beratapkan zink. Bunyinya macam dipukul dengan kuat atau buah kelapa yang jatuh di atas atap zink itu. Nak kata buah kelapa yang jatuh, ianya mustahil sebab pokok kelapa yang ada pun jauh dari rumah.

Saya masih diam. Sedang saya berfikir-fikir itu saya dengar pula kuali tembaga dipukul bertalu-talu macam memukul gong di bilik sebelah. Cukup membingitkan. Saya masih diam juga. Bila hilang bunyi gong tadi, keadaan hening seketika sehinggalah terdengar pula bunyi seolah-olah lidah yang besar menjilat sesuatu dari bekas yang juga besar di bilik sebelah.

Plap.. plap.. plap... lahap benar bunyinya. Saya bangun dan duduk di katil. Teringin pula nak mengintai apa sebenarnya yang berbunyi dan apakah yang dibuatnya. Saya bangkit dan terlanggar almari kerana agak gelap dan di bilik yang saya tidak biasa.

Saya terfikir macam mana saya nak intai sedangkan keadaan gelap. Apa yang saya nak tengok? Saya bangun dan menuju ke tiang suis lampu. Bila saya dekat dengan tiang, di dalam keadaan samar saya nampak satu lembaga besar berbulu hitam berdiri di hadapan suis yang saya nak petik.

Saya amati, betul itu adalah lembaga besar, bermata merah dan bergigi besar macam kapak. Saya rapat dan sambil melompat saya tumbuk lembaga itu sekuat hati. Kerana lembaga itu besar dan saya masih lagi rendah, baru 14 tahun, saya terpaksa melompat untuk menumbuk mukanya. Buk... rumah dirasakan bergegar.

Adusss... tangan saya sakit. Rupanya saya tumbuk tiang rumah yang berukuran 10 inci x 10 inci. Kayu cengal pulak tu!.

Abang saya tersedar dan panggil nama saya. Dia tanya apa halnya. Saya jawab, saya terlanggar tiang semasa nak buka lampu kerana nak buang air. Saya berbohong takut dia tak percaya cerita saya.

Malang bagi saya. Esoknya saya dapati empat jari dan buku lima saya bengkak membiru!

Hantu yang ditumbuk, tiang yang jadi sasaran. Selang beberapa bulan selepas itu saya diberitahu oleh kakak kepada kakak ipar saya yang memang rumah itu ada penunggu. Hantu raya belaan orang dulu-dulu untuk menjaga rumah dan harta tapi sekarang tidak ada siapa pun yang sanggup mewarisinya.

Tapi selepas dari peristiwa itu saya tidak lagi diganggu ketika saya bermalam di situ.

Posted by mountdweller at 7:05 PM 

SUNDAY, DECEMBER 14, 2008
Kampung Tradisional Di tengah Rimba

Saya nak ceritakan macam mana syaitan menggoyahkan pendirian dan iman kita. Perkara ini berlaku bukan kepada saya tetapi adik angkat saya. Walau disifatkan adik, dia hanya 4 bulan lebih muda dari saya. 

Saya, dia dan enam orang lagi rakan di dalam Persatuan Mendaki Kelantan cuba meneroka trek dari Gunung Tahan melalui Pekan Merapoh ke Kuala Koh, Taman Negara di sebelah Kelantan. 

Di hari kedua, kami bertolak dari Kem Kol pada paginya dan pada waktu sudah hampir maghrib Adik angkat saya berada bersama group di hadapan saya dengan 2 orang lagi rakan. 

Saya dan seorang rakan terpaksa memapah salah seorang anggota kumpulan yang cedera agak teruk di kaki. Saya memapah dan seorang rakan lain terpaksa memikul 2 hoversack, satu yang sendiri punya dan satu lagi kepunyaan kawan yang cedera itu. Disebabkan saya bertiga ini perlahan kerana terpaksa memapah, saya suruh adik angkat saya dan dua rakan jalan dulu, jangan tunggu kerana akan membazirkan masa. 

Rakan yang 2 orang lagi terdahulu sudah jauh ke hadapan. Kami berjanji akan bermalam di Kem 2490 sekarang dikenali dengan Kem Mengkuang. Sekarang hari sudah gelap dan terpaksa menggunakan lampu suluh. Sedang saya asyik berjalan dan mengelamun tiba-tiba kawan yang bawa hoversack tadi berhenti dan berkata " Eh.. Din, kenapa trek tiba-tiba ditutupi dengan pokok rotan yang padat dan berduri?, pelik ni!" 

Memang saya dapati kawasan yang sepatutnya trek dipenuhi pokok rotan yang padat dan mustahil boleh bolos. Tempat itu saya jangkakan sejam perjalanan biasa dari Kem 2490. 

Saya kata "Ok, kita rehat dan tunggu". Saya terpaksa tenangkan kawan yang membawa hoversack yang mula nampak cemas. Seorang lagi sakit, dah tidak paduli apa-apa pun.

Selepas lebih kurang setengah jam, saya bangun dan menyuluh trek, masih hutan rotan!. Saya pun berkata dengan kuat "Ok, kalau kau tak nak buka, aku akan tidur di sini. Kalau kau rajin sangat nak jaga kami, kau tunggulah sampai pagi esok. Aku nak tidur" Saya berpura-pura minta kawan saya tadi bersiap untuk masak. Saya berkata selepas makan kita tidur saja di sini. 

Tidak sampai pun 20 minit saya bangun dan menyuluh trek kembali dan saya dapati trek sudah nampak dengan jelasnya. Kami meneruskan perjalanan dan lebih kurang 1 1/2 jam berjalan, kami tiba di Kem 2490 di mana semua anggota telah berada di situ. 

Kami memasak, solat dan makan malam. Selepas solat adik angkat saya bercerita yang dia dan dua rakan, selepas meninggalkan saya di satu lereng bukit dia telah masuk ke satu kampung tradisional Melayu melalui pintu pagar di bahagian belakang. Kampung itu di pagari dengan pagar dari kayu dan berpintu. Dia masuk dan berjalan melalui celah-celah rumah orang dan keluar ikut pintu pagar di bahagian hadapan kampung itu. 

Dia tahu pintu itu pintu hadapan sebab semua tangga rumah menghadap ke arah pintu yang dia keluar. Katanya rumah-rumah di situ dari papan dan beratapkan daun tetapi tidak berjumpa dengan seorang pun penghuninya. Sunyi sepi saja. Keadaannya tersusun dengan cantik dan teratur. 

Tidak lama selepas melewati kampung itu dia dan kawan-kawan sampai di Kem 2490 di mana dua orang rakan yang terdahulu sudah menanti dengan kopi panas. Sebenarnya tempat yang dikatakan perkempungan itu adalah tempat di mana saya tersekat oleh pokok-pokok rotan yang tebal tadi. 

Diringkaskan cerita, selang beberapa bulan selepas kami balik adik angkat saya tadi jatuh pengsan ketika sedang membaiki basikal anaknya. Di bawa ke HUSM Kubang Kerian. Setalah di scan dan dilakukan pemeriksaan lanjut, dia didapati menghidap tumor otak. Dari situ dia mula goyang dengan mengatakan dia sakit kerana memasuki kampung di gunung itu tanpa izin. Sakit dia disebabkan orang halus dan sebagainya. 

Puas saya pujuknya dengan mengatakan semuanya adalah ujian dan taqdir Allah yang perlu kita redhoi. Tapi susah dia nak terima penjelasan saya. Akhirnya alhamdulillah, selepas membuat pembedahan di Hospital Ampang Puteri, dia kembali ok. 

Cuma anggota di sebelah kanannya separuh lumpuh tapi masih boleh drive. Apabila dia balik dari Ampang Puteri dia mula putus asa dan mengatakan Allah tidak memakbulkan doanya. Iserinya juga tersiksa kerana dia telah berubah sikap jadi pemarah dan serba tidak kena. Anak-anaknya pun tertekan sehingga anak keduanya saya bawa balik dan bela di rumah saya. 

Pada satu malam, saya kerumahnya. Hanya dia dan isterinya saja ada di rumah. Selepas minum saya panggil dia dan saya mulakan kaunseling. Saya ceritakan berkenaan Allah dan Rasul. Rahmat dan Nikmat. Taqdir dan Iman. Akhirnya dia menangis sedar. Selepas itu alhamdulillah sikapnya berubah dan lebih rajin berdoa dan tidak lama selepas itu dia menunaikan haji bersama isteri.

Itulah salah satu cara syaitan memperdayakan kita dengan menggoyahkan keyakinan kita kepada Allah dan menyalahkan taqdir serta Allah tidak adil. Kita senang terjerat rupanya!.

Posted by fakhruddin yusoff at 9:30 PM 

FRIDAY, DECEMBER 5, 2008
Trekking Berteman

Ini saya saja nak bercerita. Sesiapa yang nak percaya, percayalah. Kalau tak percaya pun, itu hak masing-masing yang perlu kita hormati. 

Suatu senja selepas maghrib di Gua Lahat, Gunung Stong. Saya terpaksa turun berseorangan ke Kampung Jelawang untuk mengambil keperluan dan terpaksa juga naik semula ke Gua Lahat pada malam itu juga. 

Di pendekkan cerita bila tiba di bawah, selesaikan apa yang patut, saya ambil kesempatan untuk isi perut dengan mee goreng di sebuah warung. Selesai makan saya mula mendaki untuk naik ke gua. 

Pendakian mengambil masa 3 ke 2 1/2 jam untuk sampai ke Gua Lahat. Saya mula mendaki pada 9.30 malam berseorangan. Semasa mendaki saya terasa sunyi dan bersungut sendirian "Tak ada ke sesiapa nak escort aku naik ni, boring betul" Dalam itu pun saya terus berjalan. 

Semasa berjalan saya merasakan ada sesuatu yang kekadang beriringan dan kadang kala pula mengekori di belakang saya. Saya berkata " Hei! aku sebenarnya tidak perlukan teman, Yang Maha Agung sudah temankan aku". "Tapi kalau kau ikut aku di atas kehendak Allah, aku terima kau dan sekiranya saja-saja kau nak ikut aku, aku tidak menerima kau". 

Saya terus berjalan tetapi makhluk itu terus juga ikut. Saya kata "Ok tak apa, kalau itulah kehendak Allah, kau ikutlah" Saya terus juga berjalan tetapi kesunyian tidak terasa lagi. Yang lebih menghairankan saya, tak sampai 3 jam saya sudah tiba di gua. Cukup laju perjalanan saya. Siapa dan apa sebenarnya yang menemani saya, saya tidak tahu. Selepas peristiwa itu saya perasan setiap kali saya mendaki, bila bersendirian saya perasan "dia" ada. 

Satu masa yang lain saya hampir terjatuh dari satu batu yang agak tinggi. Sewajarnya saya sudah jatuh sebab sebelah kaki telah tergelincir dan beban yang saya pikul pula hampir 20kg. Tangan saya memang tidak dapat berpaut pada apa-apa pun sebab di atas batu mana ada pokok atau dahan. Ketika keadaan terhuyung hayang itu, saya rasakan ada sesuatu menolak saya berdiri tegak semula di atas batu. Alhamdulillah, saya selamat. 

Di waktu yang lain pula saya mencuba freehand climbing (tanpa tali) di satu dinding batu semula jadi di Pantai Bukit Keluang. Dinding itu sebenarnya terjadi akibat bukit yang dihakis ombak. Tinggi dinding batu ini lebih kurang 150 ke 200 kaki.

Saya panjat bersendirian dan Mat, seorang kawan rapat saya tunggu di bawah. Bila tiba pada ketinggian lebih kurang tahap 100 kaki tiba-tiba batu yang saya pegang relai (loose) dan menjadi lembut. Jadi tidak ada tempat yang keras dan kuat untuk saya berpaut. Tempat yang saya jadikan foothold juga mula relai. Memang masalah. Nak turun tidak boleh, nak naik pun tidak boleh. 

Tapi alhamdulillah saya tidak panik. Saya rileks dengan bertempek pada dinding batu macam katak lembik. Mat sudah berlari mendapatkan tali dan mendaki ke puncak dari arah kaki bukit untuk hulurkan tali membantu saya. 

Orang ramai sudah mula berkumpul di bawah. Tengok saja, memang nak tolong tidak boleh. Di dalam saya berfikir dan terkial-kial itu saya nampak satu akar sebesar ibu kaki keluar dari dinding batu agak 2 meter dari saya. Saya cuba bergerak secara perlahan-lahan dan cermat. Saya hentakkan hujung kasut ke dinding batu buat foothold baru dan berjaya. Sikit demi sikit saya bergerak dan akhirnya saya dapat capai akar tersebut dan saya selamat sampai ke puncak. 

Yang anihnya semasa saya tersangkut dan semasa mengesot itu, saya rasakan badan saya ringan dan stabil. Saya rasa sehingga kini, hanya saya yang berjaya panjat dinding batu itu tanpa menggunakan tali. 

Pada masa yang lain pula semasa saya menuruni gunung dengan berlari. Pada satu kawasan curam saya gagal berhenti, terus menyusur laju. Tiba-tiba saya nampak ada balak sebesar 2 pemeluk yang tumbang membujur arah. Disebabkan gagal berhenti kerana mementum larian di tempat curam saya terus lompat ke atas batang balak sambil berlari. Saya tergelincir dan melambung jatuh ke atas balak dengan kuat. Bila terhempap ke atas balak, saya melambung lagi dan jatuh ke bawah. Dari atas balak ke tanah agak tinggi juga lebih kurang lapan kaki. Saya jatuh punggung dahulu dan terjelepuk di atas tanah yang berbatu. Yang anihnya semasa jatuh dan melambung di atas balak dan melambung pula ke atas tanah dari aras yang tinggi saya rasa macam ada benda lembut yang menjadi alas di kedua-dua tempat saya jatuh. 

Saya bingkas dan teruskan perjalanan macam biasa. Bila tiba di tempat rehat, seketika Mat sampai. Dia kata semasa saya terjatuh tadi, dia di belakang saya dan nampak macam mana saya jatuh. Dia melopong sebab berdasarkan kelajuan saya berlari dan kuatnya impak saya jatuh dari aras setinggi itu, sepatutnya saya pengsan atau cedera. Tapi dia nampak saya bangun selamba saja dan meneruskan perjalanan. 

Di Gunung Ledang, semasa trekking bersendirian juga saya ditemani. Banyak lagi peristiwa yang sepatutnya saya tidak akan selamat tetapi saya tetap selamat. Walau apa pun makhluk itu yang menemani saya tapi teman yang sebenar saya adalah Allah subhanahuwa taala. 

Akhirnya apakah "benda" itu terjawab jua. Pada suatu masa saya ke rumah seorang teman yang mengamalkan Tarekat. Bila saya sampai dan berada di hadapannya selepas bersalam dia berkata "Eh, nak datang sini pun bawa escort juga?". Rupanya dia boleh nampak! Dari teman saya inilah baru saya tahu siapakah makhluk itu. 

Perkara ini hanya saudara Blogger Kerajaan Rakyat tahu!

Wallahu Aklam. 

Posted by mountdweller at 8:13 PM 

FRIDAY, NOVEMBER 28, 2008
Tebang Balak Dengan Parang Kontot

Pagi ini hujan lebat, hujan monsoon bulan December. Kami 7 orang menaiki van seorang sahabat menuju ke Gunung Rabung. Tiba di kaki Gunung Rabung, sungai pertama yang patut kami harungi, airnya dalam melimpah tebing dengan arus yang deras. Tidak mungkin kami boleh melepasi sungai tersebut. 

Kami berpatah balik menuju ke Gunung Stong pula. Kami nekad akan mendaki juga walau gunung apa pun sebab kami sudah ambil cuti. Kalau tidak jadi mendaki, cuti kami akan habis dengan sia-sia. 

Setiba di kaki Gunung Stong di kawasan Air Terjun Stong kami dapati sungai dan air terjun dilimpahi air yang cukup menggerunkan. Kami berbincang dan buat keputusan akan mendaki juga walau pun hujan lebat dan berangin. Semua trek telah ditenggelami air. Saya terdiam dan berfikir sambil memetakan lakaran trek alternatif di dalam minda untuk sampai ke puncak gunung. 

Tidak ada jalan, selain meredah trek baru berdasarkan lakaran peta di dalam minda saya. Saya sudah jumpa jalan alternatif. Waktu menunjukkan jam enam petang. Kami masih degil mahu panjat juga hingga ke Gua Lahat dan akan bermalam di situ. 

Kami teruskan dengan melalui di atas jambatan gantung yang merentasi air terjun dan mula meredah hutan yang tidak pernah dilalui oleh mana-mana pendaki sebelum ini. 

Setelah 2 jam meredah di dalam hujan lebat ditambah pula dengan keadaan yang gelap, akhirnya kami temui trek yang biasa kami lalui sebelum ini yang menuju ke Jelawang Jangle dan seterusnya ke Sungai Rantai. Dengan susah payah melalui trek yang mencanak dan licin ditambah pula dengan keadaan hujan lebat serta gelap, kami tiba di tebing Sungai Rantai pada jam 10.00 malam.

Kami dapati Sungai Rantai juga mustahil untuk diseberangi. Setelah berfikir, saya ambil keputusan untuk menebang sebatang pokok agak sebesar badan manusia di tebing sungai dan ditumbangkan merentasi sungai untuk dijadikan titi. Saya mengambil masa 40 minit untuk menumbangkan pokok itu dengan hanya menggunakan parang sepanjang 12 inci hingga melecek tangan. 

Kami merentas seorang demi seorang. Malangnya tiba giliran orang yang ke enam air tiba-tiba menerjah dari hulu dan menghanyut pokok yang dijadikan titi tadi. Ini menyebabkan dua orang tersangkut di seberang sana dan lima orang sudah lepas ke seberang sini. Kami terpaksa tunggu sehingga air surut. Biasanya air di bahagian hulu sungai terutama di kawasan bukit, dalam satu ke dua jam air akan surut. 

Selepas sejam lebih air sudah beransur surut dan akhirnya kawan yang dua orang itu berjaya menyeberang dan kami teruskan perjalanan menuju ke gua. Setiba di satu kawasan hutan buluh sebelum sampai ke gua, kami dapati trek sudah tidak boleh dilalui kerana dihalangi oleh pokok-pokok buluh tumbang. Jam sudah menunjukan pukul 1.30 pagi. 

Saya minta kawan-kawan tunggu di satu kawasan lapang sementara saya merintis laluan yang menaiki bukit. Seorang kawan ikut saya dari belakang sementara saya menebas. Di separuh jalan saya dapati mustahil untuk ditebas kerana pokok buluh yang tumbang terlalu banyak. Saya berhenti dan minta kawan yang ikut saya tadi turun. Bila saya suruh dia turun, dia mula berlari turun lintang pukang macam ketakutan. 

Saya hairan kenapa dia macam tu. Saya pun ikut turun dengan selamba. Dia pandang saya macam ada sesuatu yang nak diberitahu atau nak bertanya. Dia akhirnya tanya saya ada apa di atas tadi. Saya kata tidak ada apa-apa hanya kerana saya tidak larat nak tebang begitu banyak buluh. 

Saya berfikir pula mencari jalan macam mana nak sampai juga ke gua malam ini kerana kami letih dan kesejukan. Saya minta semua ikut saya dan saya buat laluan rentas yang lain. Selepas bersusah payah, jatuh bangun kami tiba di bawah sepohon balak yang agak sebesar 3 pemeluk yang sepatutnya berada betul di hadapan gua. 

Yang anihnya gua tidak kami temui, tidak ada gua. Kami berhenti di bawah pokok tersebut sambil saya menyuluh sekeliling untuk memastikan kedudukan kami betul. Memang sah di hadapan inilah guanya. Saya suluh lagi tapi memang gua tidak ada. Yang ada hanya semak samun. Sedang yang lain berehat saya berfikir apakah kami silap atau mata kami disilapkan oleh sesuatu. 

Hujan masih lebat dengan angin yang agak keras menambahkan sejuk yang kami rasa. Saya bangun dan saya suluh lagi. Saya yakin di hadapan inilah guanya. Saya cabut parang saya dan berkata "Aku tahu kamu sembunyikan gua dari kami dan aku juga tahu pokok besar ini adalah kediaman kamu. Malam ini, kalau kamu tidak zahirkan gua untuk kami bermalam, aku akan tebang pokok mahligai kau ni dengan parang aku ni" Sambil itu saya tusukkan parang ke pangkal pokok besar tadi. 

Saya membebel lagi "Kamu memang bodoh, muka aku ni dah berapa kali ke sini, kamu masih lagi tidak kenal-kenal. Kamu cuba nak main-main lagi dengan aku. Malam ni aku mesti tebang pokok ni" Mat kawan saya senyum, senyum bermakna! 

Yang lain memang di dalam ketakutan dan menggigil kesejukan. Jam sudah hampir 3.30 pagi. Saya capai parang dan saya bangun berdiri dengan parang masih di tangan. Saya suluh sekali lagi . Ha ha... gua sudah nampak. 

Saya beritahu kawan-kawan itu guanya. Mereka terus bangun dan berjalan menghala ke gua. Sebelum melangkah ke gua saya berkata lagi "Lain kali kamu kena kenal muka aku ni. Kalau kamu buat lagi, aku mesti tebang pokok ni". Saya beredar dan masuk ke dalam gua dan sama-sama menyediakan makan malam/pagi? Sebab jam dah pukul 4.00 pagi. 

Di dalam gua, Mat ketawa berbahak-bahak. Dia kata ada ke patut nak tebang pokok sebesar itu dengan parang kontot yang hanya sepanjang 12 inci!. Memang dah kena diperbodohkan benda tu. Barulah yang lainnya faham dan turut gelak. Kawan saya yang ikut naik bukit semasa saya rintis trek di kawasan buluh tadi bersuara. Katanya dia nampak saya sedang menakik kaki satu lembaga yang besar tetapi tetap tidak berkesan. Jadi saya pun suruh dia turun. Itu sebabnya dia berlari turun lintang pukang tadi. Tapi saya sendiri tidak nampak apa-apa, hanya hutan buluh. 

Kami ketawa lagi kerana rasanya lucu pula bila teringatkan kawan saya tadi berlari turun tergopoh gapah dengan muka panik. Di gua dan sekitar sini mengikut ceritanya memang keras. Sebelum itu ada satu kumpulan pelajar dari Ma'ahad Muhammadi bermalam di dalam gua ini. 

Tiga hari mereka tidak dapat keluar sebab mulut gua ditutupi dengan timbunan mayat!. 

Puas mereka membaca alqur'an dan berzikir tapi tidak memberikan kesan. Mereka hanya boleh keluar dan turun bila orang kampung yang tinggal berhampiran kaki gunung yang biasa dengan tempat itu naik dan mencari mereka bila didapati mereka sudah tiga hari tidak turun-turun. 

Orang kampung menemui mereka berceratuk di dalam gua dalam ketakutan. 

Wallahu Aklam. 

Posted by mountdweller at 6:00 PM 

THURSDAY, NOVEMBER 13, 2008
Akibat Jahil

Saya nak imbas kembali apa yang berlaku akibat kejahilan saya dan rakan-rakan semasa saya di tingkatan enam atas di pertengahan tahun tujuh puluhan dulu. 

Petang itu ketika saya sedang minum di warung berhadapan dengan asrama laki-laki, budak-budak penghuni asrama bertempiaran lari keluar. Saya sangka ada pergaduhan, saya berlari ke asrama dan tanya budak-budak tadi kenapa lari. Salah seorang budak menyatakan Abang Mat "masuk hantu" maknanya dirasuk. 

Saya naik ke asrama dan saya dapati Mat juga dari tingkatan enam atas sedang pegang baju tetapi sudah berseluar. Mat memandang saya dengan tenungan yang tajam. Saya rapat dan goncang bahunya sambil memanggil namanya. Tidak semena-mena tanpa menyahut Mat cengkam kedua-dua bahu saya dan humban saya ke dinding. Tenaganya cukup kuat, saya rasakan semacam melayang dan terhempap ke dinding. Lutut saya sedikit melecet. Baru saya sedar yang Mat memang dirasuk. 

Saya bangun dan rapat kepadanya kembali sambil saya hembus mukanya. Kena hembusan saya tadi, Mat jatuh terlentang dan tidak sedar diri. Saya cuba pulihkan Mat menggunakan apa yang diajar oleh Guru saya. 

Alhamdulillah, selepas seketika Mat pulih. Setelah Mat pulih, saya tanya kenapa dan apa rasanya. Mat bercerita yang dia didatangi seorang perempuan cantik berambut panjang dan memakai maxi hijau (masa tu maxi cukup popular bagi gadis dan perempuan muda) ajak dia keluar ke hujung kampung berjalan-jalan. Semasa dia hendak keluar dia dihalang oleh saya dan perempuan itu pegang melempar saya ke satu penjuru. Selepas itu dia tidak sedar apa yang berlaku. 

Saya telefon Pengetua dan menceritakan apa yang terjadi sebentar tadi. Pada malamnya Pengetua datang dengan seorang Dukun yang membawa hidangan di dalam sebuah dulang. Ada ayam panggang, pulut kuning, telur, sirih, daun rokok dan tembakau. Mereka naik ke asrama tetapi saya tidak ikut. Saya dan kawan-kawan tunggu di bawah sahaja. Kami tidak mahu campur urusan berdukun. 

Pada jam 10.30 waktu itu, Dukun dan Pengetua turun dan meminta sesiapa yang berani dengan sukarela hantar dulang hidangan ke hujung kampung yang terdapat satu busut besar di bawah satu pokok besar (saya tidak kenal pokok apa) sekarang juga. Masa itu saya berempat dengan kawan saya Ripin, Dollah dan Zuki. Ripin kenyit mata kat saya memberi isyarat yang dia bersetuju pergi bersama. Saya nyatakan kepada Pengetua yang kami berempat bersetuju hantar dulang ketempat itu. Dulang diserahkan ke tangan saya. 

Kami berjalan sehingga melepasi kampung dan berjalan di sawah tinggal. Bulan cukup terang. Kami berjalan tidak perlu gunakan lampu suluh. Sesampai di tengah-tengah sawah, Ripin mencuit saya dan minta saya letakkan dulang tadi di atas batas sawah. Saya letak dan kami bantai semua makanan yang ada kecuali sirih, tembakau dan daun rokok. 

Bila tinggal sisa tulang ayam dan kulit telur, kami bungkus dan hantar juga ke tempat yang disuruh. Sambil letak bungkusan sisa tadi saya berkata "Nah ambillah bahagian kamu, tulang dan kulit telur. Isi aku dah makan, kamu bukan makan pun!"

Selepas itu kami berjalan pulang. Di pertengahan jalan tiba-tiba Zuki mengaduh dan jatuh. Dia kata kakinya kena gigit sesuatu. Kami usung Zuki balik dan tak lama kamudian dia dah ok. 

Bila kami masuk saja pintu pagar sekolah, kami dengar suara-suara bertempik dan bising di asrama perempuan. Seorang budak berlari mendapatkan saya memberitahu yang lapan orang budak perempuan pengsan kena histeria. Saya berlari ke asrama perempuan dan sudah ada seorang Ustazah sedang membaca ayat kursi. Bila Ustazah itu nampak saya, terus mendapatkan saya minta saya tolong. Saya setuju tolong setakat yang saya mampu. 

Dengan izin Allah tujuh orang tadi saya berjaya pulihkan dan hanya tinggal seorang lagi di dalam peringkat separuh sedar. Di masa ini si Ripin masuk dan terus ke tempat saya dan bertanya macam mana keadaan budak itu. Apabila terdengar saja suara Ripin budak yang sakit itu celik dengan mata merah sambil menuding jari kepada Ripin sambil berkata " Mu Ripin makan ayam aku". 

Ripin tergaman dan berkata "Haa.. dia tahu!" sambil berlari keluar asrama. Tak lama kamudian budak tadi pun pulih. Bila saya tanya bagaimana dia jadi macam tu. Dia ceritakan sama seperti mana Mat kena juga. Makhluk yang sama ajak keluar. 

Belum pun sempat minum, saya dipanggil pula sebab Ripin dan Dollah pula kena rasuk di dalam perpustakaan. Saya berlari pula ke perputakaan dan dapati Ripin dan Dollah sudah jatuh. Selepas saya berikhtiar seketika dengan izin Allah mereka berdua juga pulih sepenuhnya. 

Esok petangnya saya ke rumah Guru saya dan ceritakan pengalaman saya semalam. Beliau cukup marah kat saya sebab katanya saya makan benda haram. Ayam panggang yang saya makan malam tadi adalah haram sebab disembelih dengan bukan niat kita yang nak makan tetapi untuk jamuan setan!. 

Ya Allah berdosanya saya. Itulah akibatnya bertindak di dalam kejahilan dan tanpa bertanya. Maka ramai yang menderita dirasuk. Saya mohon maaf kepada Guru dan balik bertaubat!.

Posted by mountdweller at 11:41 PM

THURSDAY, OCTOBER 23, 2008
Cite Lucu Halau Pelesit

Tengah hari tadi saya ke bolg freshworkshop.blogspot dan di situ ada cerita yang Sdr. Uxop tuan punya blog bercerita yang orang kampungnya menerima saka berupa pelesit dan menumpang mayat tuannya yang telah seminggu meninggal. 

Saya titipkan komen ringkas di situ. Walau bagaimana pun bagi saya perkara ini patut dihebahkan kepada ramai demi menjaga akidah umat Islam, maka rasanya elok saya ceritakan versi saya tolong kawan saya bersama menghalau PELESIT yang menumpang di dalam tubuh seorang wanita. 

Seorang kawan saya ini seorang pengamal Tarekat. Dia akan tolong dengan ikhlas sekiranya sesiapa perlukan pertolongannya. Namun saya bukanlah seorang dukun yang tahu berubat, cuma kawan saya tadi minta saya membantu memperkuatkan kuasa perdukunannya. 

Saya hanya berzikir dan tumpukan segala pancaindera saya kepada Zat Allah mohon bantuanNya. Memang cara kami berbeza. Sebenarnya saya bukanlah diundang untuk menolongnya tetapi memang kebetulan pada masa pesakit itu datang saya juga sampai ke rumah sahabat ini. 

Mengikut pesakit ini, pada suatu hari dia menemui satu bungkusan plastik di celah atap garaj kereta di rumahnya. Dia buka dan di dapati ada bangkai seekor katak puru kering semacam dipanggang. Dia minta suaminya membuang plastik yang mengandungi bangkai katak tadi. Sejak itu badannya lemah dan sakit-sakit. 

Kami mulakan dengan solat hajat dan kami sama-sama berzikir. Saya dengan cara saya dan kawan saya itu dengan caranya. Wanita itu dibaringkan berhampiran dengan ditemani suaminya. Selepas beberapa minit kemudian wanita yang sakit tadi mengerang dan mengaduh. Panas dan sakit macam nak terbakar katanya. 

Jadi dukun kawan saya tu memerintahkan setan yang ada di dalam tubuh pesakit supaya keluar dan jangan ganggu lagi pesakit itu. Setelah diarah keluar berkali-kali tetapi setan itu tetap degil tak mahu keluar dan tidak boleh balik kononnya takut mak dia marah. 

Kami terus desak setan tu keluar, degil lagi dan itulah alasan dia berkali-kali tidak mahu keluar takut maknya marah. Akhrinya saya sudah naik juak dengan helah dan kerenah setan tadi, lalu saya pula ambil tempat dekat dengan pesakit dan saya ugut "Kau mesti keluar dan tinggalkan wanita ini, kalau kau degil aku akan telan dan makan kamu dengan mak kamu sekali. Aku bagi kamu 30 saat sebelum aku makan kamu dan mak kamu, aku pun lapar ni!" 

Tiba-tiba sisakit/setan tadi menjerit "Tolong jangan makan, jangan makan.... aku dah nak balik ni. Aku tak mahu mak aku mati kau makan!. Aku tak mahu tumpang dia lagi". Selepas itu pesakit itu terus sedar. Kawan saya, saya dan isteri saya ketawa geli hati mendengar rintihan setan tadi. Rupanya kawan saya tadi ketawa adalah atas sebab lain. Kawan saya ketawa kerana mendengar ugutan saya terhadap setan tadi. Katanya tidak pernah lagi dukun yang mengugut nak makan setan tetapi sebaliknya setan yang ugut nak makan dukun tu adalah!.

Saya pun bukanya rancang nak ugut begitu, cuma bila saya naik bosan dan naik marah dengan helah serta dalih setan tadi maka timbullah ugutan dengan sepontan dan kasar. Kononnya kita lebih kuat dari dia. Nasib baiklah juga setan tu betul-betul takut dan mengalah. 

Wallahu Aklam. 

Posted by mountdweller at 3:38 PM 

FRIDAY, SEPTEMBER 26, 2008
Suara Azan Di Gunung Ayam

Kami tiba di Puncak Gunung Ayam sekitar jam 6.00 petang. Kami berkhemah dan masak sementara menunggu hari malam. Di sebelah malamnya selepas isyak saya mengambil masa peserta untuk sesi penerangan tentang "penjagaan alam sekitar/conservation dan keselamatan di hutan". Peserta kali terdiri daripada pelajar-pelajar sebuah sekolah elit di Kota Bharu. Sekitar jam 12 malam sebelum tidur saya berpesan supaya semua kena bangun solat subuh walau cuaca amat sejuk. 

Pagi esoknya bila masuk waktu subuh saya terdengar suara azan yang sungguh merdu. Saya cuba mencari arah suara berkenaan tetapi gagal mengesannya. Mungkin di situ ada terdapat perkampungan Bunian Islam. Nak katakan manusia, jaraknya terlalu jauh dari kampung. Memang tidak ada perkampungan manusia biasa. Saya solat dan ada juga yang lain ponteng. 

Paginya selepas sarapan pagi ala kadar, bersiap dan memulakan perjalan turun. Saya minta teman saya arwah Cikgu Azizi mengepalai peserta turun dan saya akan ekori dari belakang. Cikgu Azizi gagal mengesan jalan turun dan dia panggil saya. 

Yang peliknya saya sendiri pun keliru. Tidak tahu mana satu denai untuk turun. Ikut satu denai, salah. Patah balik. Ikut denai lain pula salah juga dan patah balik lagi. Di akhirnya saya arahkan semua berhenti dan rehat. 

Saya naik semula ke puncak berseorangan. Setiba di puncak saya termenung dengan bertenggek di atas satu batu besar sambil berfikir dan mencari-cari arah turun. Tiba-tiba saya terfikir yang pagi tadi ada yang ponteng solat subuh. Mungkin makhluk baik di sini marah. Saya baca surah alfatihah sambil mohon pertolongan Allah dan sesiapa yang Allah izinkan menolong. 

Sedang asyik saya termangu, saya terdengar satu suara yang lembut "Kau pergilah ke kiri sikit. Ini tidak, asyik termenung" Saya pun beredar ke arah kiri saya. Saya berjalan tak sampai pun 20 meter, saya sudah menemui jalan untuk turun. Saya pasti. 

Tanpa lengah saya pergi dapatkan group dan arahkan naik semula untuk mengikuti denai yang dijumpa tadi. Kami pun turun. Saya sendiri pula mengepalai peserta turun. Lebih kurang 3 jam berjalan, tiba-tiba seekor harimau belang melompat dari semak sebelah kanan saya dan menyorok di sebalik satu batang balak tumbang di kiri saya dalam jarak tidak sampai 5 meter di hadapan saya. 

Saya berhenti dan saya tahu harimau itu masih di situ. Peserta lain di belakang saya dalam jarak 10 meter, mereka tidak nampak apa yang saya nampak. Ada juga baiknya, kalau tidak kacau saya nanti bila dia orang terkejut dan sudah pasti takut dan lari bertempiaran tanpa kawalan.

Saya serba salah, macam mana nak buat ni. Akhirnya saya nekad tidak akan berganjak dan saya bersuara "Hai rimau, kamu diamlah di situ dulu. Biarkan budak-budak ni jalan. Lepas tu bolehlah kamu beredar".

Saya dapati harimau itu memang terdiam di situ. Saya juga berdiri tercegat di situ sehinggalah semua peserta lepas. Tapi bau hapaknya dapat juga dikesan oleh peserta dan mereka sibuk menaya siapa yang bawa belacan. Saya tidak layan dan suruh beredar cepat. Saya arahkan supaya menuggu saya di seberang sebatang sungai kecil di lurah bukit itu. 

Setelah semua peserta dan pengiring lepas dari tempat itu, saya pun berkata kat harimau " Kau boleh pergi sekarang, semua orang sudah lepas". Dan seperti mendengar arahan, harimau itu melompat ke semak di sebelah kiri dan menghilang. Saya terfikir adakah betul kata orang tua-tua yang harimau dan gajah faham cakap kita?. Wallahu aklam. 

Bila harimau itu beredar saya pun turun mendapatkan peserta yang lain dan berehat. Semasa berehat di anak sungai itulah saya terjumpa Cendawan Susu Harimau. Saya ambil dan bahagikan secebis seorang kepada semua pembantu saya. Sepanjang pengalaman saya mendaki dan meredah rimba tidak pernah pun saya menemui Cendawan Susu Harimau. 

Selapas rehat dan minum kami turun ke Stong Resort. Di ekspedisi kali ini 4 perkara aneh berlaku : 1. Dengar suara azan subuh (siapa yang azan) 2. Suara yang menunjuk arah (suara siapa) 3. Harimau yang mendengar kata (betul ke itu memang harimau) 4. Menemui Cendawan Susu Harimau (kebetulan atau hadiah) Tidak siapa yang tahu termasuklah saya. 

Hanya Allah yang Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui. 

Posted by mountdweller at 4:12 AM  

TUESDAY, SEPTEMBER 23, 2008
Orang Tua Di Gunung Stong

Aku telah bosan. Bosan dan sudah naik menyampah dengan orang-orang politik. Gawat, kecoh tidak kian sudah. Entah bila akan berakhir agaknya. Entah bila pula banduan-banduan di penjara dunia politik akan bebas. Bebas untuk memikir dan bekerja untuk kepentingan rakyat dan negara. Sedar tidak sedar mereka merengkuk di dalam penjara buatan sendiri dan mereka yang melontarkan diri mereka kedalamnya! "Penjara Dunia Politik". 

Mereka bergaduh sesama sendiri, mereka bertekak sesama mereka. Mereka balun membalun sesama meraka. Mereka tuduh menuduh sesama mereka. Agaknya bila runtuh bumi yang tercinta ini, barulah mereka menengadah ke langit dan menyesali tindak tanduk mereka. Sedarkah mereka yang rakyat memilih mereka. Rakyat mengundi mereka untuk kepentingan rakyat dan negara. 

Kita memilih mereka untuk membela nasib kita. Kemakmuran tanah air kita. Membela kedaulatan Negara kita. Tetapi tidak, mereka tidak habis-habis berjuang untuk kuasa dan periuk nasi mereka. Bertelagah mempertahankan orang-orang mereka. Dan sekiranya mereka berperang sesama sendiri tidak kunjung tamat, maka bilakah masanya untuk mereka memikirkan kita, memikirkan pentadbiaran negara kita, memikirkan untuk memakmurkan negara kita? 

Bukankah itu pecah amanah namanya? Tidak bertanggung jawab maknanya? Aku sudah pekak mendegar hujah mereka, aku sudah tidak ingat lagi janji mereka, aku sudah muak menonton lakonan mereka. Aku sudah jijik mendengar pandangan mereka. Sedar tidak sedar mereka sedang memperbodohkan diri mereka sendiri. Alangkah baiknya sekiranya pihak Pembangkang bekerjasama dengan parti Pemerintah berfikir dan bekerja kearah kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat? 

Entahlah, lantak kamu lah Labi...... Kita tinggalkan mereka sekarang. Jom kita pergi ke gunung bersama aku. 

Kali ini aku nak bercerita tentang pertemuanku dengan seorang orang tua di Gunung Stong, Kelantan. Suatu hari beberapa tahun yang lalu, kami bertiga berkhemah di Jeawang Jungle yang terletak di permulaan Air Terjun Gunung Stong yang jarak perjalanan treking dari Kg. Jelawang mendaki Gunung Stong lebih kurang 2 ke 3 jam. Dari Jelawang Jungle ke Puncak Gunung Stong pula lebih kurang 2 ke 3 jam pula. 

Bersama saya ialah Tuan Saharizam dan Mohd. Shah. Setelah satu malam di sini, petang esoknya kami mendaki ke puncak Stong. Kami mendaki tanpa membawa apa-apa bekalan dan lampu suluh juga tertinggal. Kami melalui trek balak tinggal, merentasi Sungai Rantai dan melewati Gua Stong untuk ke puncak, treknya memang mencanak hanya sedikit saja terdapat tempat-tempat yang landai. 

Setibanya di satu permatang lebih kurang 40 minit dari puncak saya terasa amat mengantuk. Saya minta dua orang lagi rakan saya meneruskan perjalanan ke puncak sementara saya nak tidur. Saya minta bila mereka turun nanti kejutkan saya. Mereka meneruskan perjalanan ke puncak dan saya sandarkan badan ke satu banir pokok dan lena. 

Bila saya terjaga, dan hari sudah gelap, hampir maghrib tetapi saya tidak dikejutkan oleh dua rakan tadi. Saya sangka mereka sengaja tinggalkan saya untuk melawaklah konon. Bergurau! 

Memang gurau geng-geng gunung ni gila-gila. Oleh kerana hari sudah gelap tanpa lampu dan sangkaan saya dua kawan tadi sudah tinggalkan saya, saya turun dengan berjalan cepat dan kadang-kadang berlari. Di pertengahan jalan saya terserempak dengan seorang lelaki tua yang memakai kain pelikat lusuh dan bersemutal (lilit kain di kepala longat Kelantan) sedang mendaki menghala ke puncak. 

Saya beri salam dan bertanya " Pak Cik nak ke mana?" Dia kata "Oh.. Pak Cik nak pulang ke atas, anak dari mana?" Saya jawab "Saya dari puncak dan nak balik ke kem di Jelawang Jungle" "Anak jalanlah baik-baik, hari dah gelap" Saya ucapkan terima kasih dan toleh ke hadapan. 

Sekejap saya pusing belakang dan orang tua itu sudah hilang dari pandangan saya. Baru saya terfikir, orang tua ni nak balik ke atas tetapi di atas mana ada kampung atau orang tinggal. Sah dia ni bukan orang. Perkara ni rasanya Wak Jono boleh jawab kot?. 

Saya terus berlari turun. Hampir jam 8.00 malam saya tiba di kem tetapi saya dapati dua orang rakan tadi tiada di situ. Saya jadi keliru. Adakah dia orang tersesat atau memang belum turun lagi? Saya menunggu. hampir jam 10.00 malam mereka sampai di kem dan memarahi saya meninggalkan mereka. 

Saya kata saya ingatkan mereka yang tingglkan saya. Rupa-rupanya bila mereka sampai di puncak, mereka juga mengantuk dan tertidur. Bila terjaga hari sudah gelap. Mereka turunlah tanpa lampu. Di perjalanan mereka turun, mereka diekori oleh satu lembaga berbulu. Sekali tengok macam orang, sekali tengok macam mawas. Bila mereka berlari, lembaga itu ikut berlari. Bila mereka berjalan lembaga itu ikut berjalan. Jadi mereka berjalan buat macam tidak ada apa-apa. 

Setiba di satu Beta Balak Lama (tempat longgokan balak yang sudah dipotong) mereka berjumpa dengan satu kumpulan pendaki dari Gua Musang yang membuat kem di situ. Kebetulan yang menjadi Trekker kumpulan ini kami kenal. Mereka berhenti dan bersembang sekejap sementara lambaga itu masih berdiri tidak jauh dari mereka. Selepas bersembang dan bertanya khabar dua orang kawan saya tadi hendak memulakan perjalanan turun ke kem. 

Tuan Saharizam (Tuan : gelaran salah satu keturunan Raja di Kelantan) berkata kepada lembaga itu "Kamu tunggulah kawan-kawan aku ni di sini, kami nak turun ke bawah sekejap" Lembaga itu pun tunggulah di situ dan mereka turun. terlepaslah mereka dari diekori oleh lembaga tadi. 

Tapi entah apalah pula yang berlaku kepada kumpulan yang mendirikan kem di situ pada malam itu tak tahulah. Itulah cerita mereka. 

Posted by mountdweller at 1:20 AM 

MONDAY, SEPTEMBER 15, 2008
Along Sudah Baik Dari Athma

Ramai orang kepoh tentang 16 Sept. Ada yang berdebar-debar, ada yang kecut perut dan ramai juga yang selamba rock. 

Saya salah seorang dari yang selamba rock itu. Mungkin dan tak mungkin! sebab apa? sebab semuanya ada dalam pengentahuan Allah rabul alamin. 

Di kala orang sibuk, orang kecoh, orang gelabah saya pula mahu bercerita. Cerita yang mungkin tidak logik bagi sesetengah orang tetapi ianya memang berlaku dengan izinNya. 

Anak saya yang sulung (Along) sudah menerima nikmatnya hanya dengan sebentuk cincin tanpa permata. Allah maha berkuasa. Ceritanya juga berkenaan Gunung tebu, di Jabi, Terengganu. 

Pada masa itu Along di dalam tingkatan 2. Along sebenarnya bermasalah sejak lahir. Lemas semasa proses kelahiranya. Doktor sudah confirm yang Along akan menghidap athma. Sebaik saja lahir, Along dimasukkan ke dalam incubator selama 10 hari dan disuntik 10 suntikan. Maknanya satu hari satu suntikan. Bayangkan bapa mana yang tidak sayu dan sedih baru mendapat cahaya mata pertama tetapi begitu pula keadaannya. 

Jadi sejak dari lahir Along membesar dengan bergantung kepada ubat. Pada satu masa saya diminta untuk membawa perserta Kelab Rekreasi yang terdiri dari murid-murid Sekolah Menengah Kebangsaan Zainab I bersama 2 orang guru dan seorang 3 orang kawan yang membantu saya. Kami akan trekking pada waktu malam. 

Kami bertolak selepas sembahyang isyak. Setelah saya berikan taklimat dan kemas kini persiapan dan bekalan. 

Memanglah banyak masalah bila membawa murid-murid perempuan trekking, waktu malam pulak tu. Setelah berjaya harungi rintangan dan kepayahan kami sampai di Puncak Gunung Tebu jam 2 pagi. 

Saya arahkan mereka rehat dan makan. Tidak payah pasang khemah kerana cuaca baik. Tidur saja bawah pokok. Setelah makan, kami tidur. Saya bentangkan sleeping mate dan letak cermin mata saya di kepala tidur supaya senang ambil dan tidak hilang. Kami tidur. 

Esoknya selepas solat subuh, hari sudah cerah saya perlukan cermin mata tetapi saya dapati cermin mata saya tidak ada. Saya minta perserta sama-sama mencari sehingga jumpa. Cari di punca air tempat saya basuh muka ketika mula-mula sampai dan ambil wudhu' tidak ada. Cari di merata tempat perkhemahan juga tidak ada. Cermin mata itu gagal ditemui. 

Jadi terpaksalah trekking turun Gunung Tebu tanpa cermin mata. Nasib baiklah untuk pulang saya tidak perlu memandu sebab isteri datang ambil dan dialah pandu. 

Sebelum turun dari Puncak Tebu, terlintas di benak hati saya yang cermin mata saya diambil oleh makhluk yang menghuni di situ. Setelah peserta turun saya kembali ketempat itu dan saya kata "Aku tahu engkau ambil cermin mata aku. Ok, kalau kau memang perlu kau ambillah tetapi bila aku ke sini lagi lain kali aku hendakkan balasannya sebagai ganti" Saya pun turun dan pulang. 

Selang 3 bulan selepas itu saya ditugaskan oleh Ketua Pengarah saya untuk membawa Pasukan Tindakan Khas Anti Penyeludupan jabatan saya ke Gunung tebu sebagai sebahagian dari latihan fizikal pasukan berkenaan. Ikut serta ialah Pengarah dan Penolong Pengarah Pasukan tersebut. Kali ini kami mendaki pada waktu pagi dan tiba di puncak di waktu petang. Kami bermalam di Puncak Kubur. Dinamakan Puncak Kubur adalah kerana di situ terdapat satu kubur lama. Entah kubur siapa. 

Jam 3 pagi saya dikejutkan oleh Pengarah untuk makan maggi. Saya pun heran kenapa pula makan maggi jam 3 pagi? Rupanya beliau tidak dapat tidur kerana kesejukan. Setalah menghabiskan maggi saya turun ke lurah puncak itu mencari kayu untuk dibuat unggun. 

Semasa saya melewati di celah 2 batu besar saya amat terkejut sebab di hadapan saya, di tengah-tengah denai ada selonggok ular berwarna hijau. Cantik warnanya, bukan hijau biasa. Saya amati, rupanya ular itu bukannya banyak. Cuma seekor tetapi longgoknya setinggi lutut. Saiz badanya hanya sebesar lengan. Maknanya ukuran ular itu amat panjang. Maka tahulah saya, itu bukanlah ular biasa tetapi jadian!. Saya berkata " Aku tahu engkau bukannya ular, janganlah engkau duduk di sini nanti aku tersepak atau terpijak. Siapa yang akan nanya. Aku atau engkau?. Pergilah kau" . Saya elak sedikit dari denai dan turun ambil kayu kering dan bawa naik ke tempat kami tidur. 

Bila saya naik dan melalui tempat itu semula, ular itu sudah tiada. Sesudah nyalakan unggun saya kembali tidur. Esoknya selepas solat subuh saya dapati sebentuk cincin emas tanpa permata berada di kaki saya tidur tadi. Saya sarung ke jari tetapi hanya jari kelingking saya yang muat. Cincin budak! 

Saya bertanya kepada semua orang di situ kalau-kalau ada sesiapa yang hilang cincin. Dia orang ketawa sebab cincin itu kecil, mana ada orang dewasa pakai cincin sebesar itu. Mana nak muat. Saya teringat yang dulu pernah saya minta cermin mata saya diganti dengan balasan. "Oh.. ular malam tadi rupanya". Saya bawa pulang dan hati kecil saya teringin nak sarungkan kat Along bukannya Adik! 

Bila disarung cincin itu cukup-cukup muat di jari manis Along. Jadi saya suruh Along pakai. 

Setelah lebih kurang tiga bulan Along pakai, athma Along sudah hilang. Tidak perlukan ubat lagi. Sehinggalah sekarang Along sudah menjawat jawatan Leftenan Laut TLDM setelah menamatkan pengajian di Universiti Pertahanan National Malaysia. Along ambil bidang Kejuruteraan Komputer. 

Malangnya cincin itu mungkin diambil tuannya kembali setelah Along sembuh. Sebab saya tanya Along ke mana cincin itu?. Along tidak dapat menjawab sebab hilang/jatuh pun tidak, tiba-tiba cincin itu ghaib dari jarinya!. 

Itulah kebesaran Kau ya Allah. Apa saja dikehendakinya terjadi. Kun fayakun! 

Posted by mountdweller at 9:55 PM 

TUESDAY, SEPTEMBER 9, 2008
Diekori Syaitan Sehingga Ke Gunung Berapit
(sambungan kisah Lembaga Huduh Di Kem Mengkuang)

Nampaknya saya terpaksa minta maaf sebab saya tidak dapat uploadkan gambar-gambar makhluk anih di Gunung Tebu sebagaimana yang saya janjikan. Gambar-gambar itu dirakam oleh Sdr. Mohd. Azmi wartawan paranormal yang mendaki bersama saya. Beliau tidak kirimkan gambar berkenaan kepada saya atas sebab yang saya faham gambar-gambar tersebut sudah menjadi hak eksklusif beliau sebagai wartawan. 

Tidak apalah! Saya faham dan saya harap anda juga faham. 

Berbalik pada janji saya mahu sambung cerita Lembaga Huduh Di Kem Mengkuang. 

Setelah bermalam di Kem Mengkuang, paginya jam 8.30 kami bertolak menuju puncak Gunung Tahan. 

Lewat petang kami tiba di Puncak Gunung Tahan tanpa apa-apa halangan dan bermalam di situ. Pada sebelah paginya di puncak, para peserta sempat menikmati panorama yang indah semasa matahari terbit. Pemandangan sungguh cantik pada pagi itu kerana cuaca cerah dan keadaan kabus pun tidaklah tebal sangat. Bunga-bunga renek di bawah pokok-pokok bonzai yang tumbuh bebas dengan batu-batu kapur putih serta granite yang mengeluarkan cahaya menjadi hiasan yang sungguh menakjubkan. Di tambah pula dengan burung-burung kecil terbang berkicau mencari madu bunga. Sungguh indah ciptaan mu wahai Tuhanku! 

Sekitar jam 3.00 petang kami turun dari Puncak Gunung Tahan menuju ke Kem Padang. Dari puncak kami terpaksa menuruni lurah Tahan dan mendaki Gunung Berapit. Dari Gunung Berapit menuruni lembahnya dan baru sampai ke Padang/Padang Kem. Setibanya di lembah Tahan saya terasa amat mengantuk sehingga tidak larat melangkahkan kaki. Jadi saya perlu tidur dulu sekejap. 

Saya minta Cikgu Ali (sekarang Pengetua SM Jengka 21 dan Tuan Saharizam (sekarang A.D.O Daerah Jeli) untuk membawa semua peserta ke Kem Padang dan saya akan tidur sekejap di sini. 

Waktu pada masa itu lebih kurang 4.30 petang dan hari nampak cerah. Sebelum mereka meneruskan perjalanan turun ke Kem Padang saya pesan kepada Cikgu Ali dan Tuan Saharizam sekiranya malam ini saya masih tidak sampai di Kem Padang, jangan cari saya. Saya janji pagi esok saya akan sampai ke tempat mereka bermalam di Kem Padang. Mereka meneruskan perjalanan mendaki Gunung Berapit untuk ke Kem Padang. 

Saya pula sandarkan badan pada Backpack dan terlena. Sungguh lena. Saya tersedar apabila terasa titisan hujan jatuh ke muka saya. Rupanya hujan turun rintik-rintik. Saya bangun, masak air dan bancuh milo cecah biskut. 

Sudah makan saya mulakan trekking mendaki Gunung Berapit. Jam sudah menunjukkan pukul 7.30 malam. Setiba di Puncak Gunung Berapit hujan cukup lebat dengan langit hitam pekat macam buntut kuali dapur kayu! Guruh berdentum dentam, kilat sabung menyabung. Saya berlari menuruni lurah Gunung Berapit dengan di terangi lampu suluh dan cahaya kilat yang terang. Untuk berlengah di puncak gunung semasa petir memang bahaya. Kita akan jadi point of contact! 

Setibanya saya di satu kawasan yang akan memasuki hutan kecil dan jalan agak berlumpur, saya dapati jalan yang sedang saya lalui sudah menjadi "Air Terjun" yang sederhana. Saya heran macam mana dari trek yang kering tidak bertakung air telah menjadi air terjun. Satelah berfikir sejenak baru saya sedar rupanya makhluk di Kem Mengkuang semalam telah mengekori saya sehingga ke sini dan cuba mengenakan saya! Saya sudah naik marah. 

Saya cabar supaya dia menjelma dan bertarunglah dengan saya sekiranya dia betul-betul marah dan dendam saya. Setelah saya cabar, suasana sunyi seketika dan saya memang berada di dalam keadaan siaga. Tidak ada apa yang muncul, yang kedengaran hanyalah guruh. Lebih kurang setengah jam di dalam keadaan siaga, saya berkata "Sekiranya engkau takut untuk berhadapan dengan aku, kau jangan kacau aku lagi. Kau bukalah laluan aku" Saya menyuluh trek tadi, masih lagi air terjun. Saya pun berkata lagi "Kalau kau nak jaga air terjun kau jagalah, aku nak rehat". 

Saya duduk di atas backpack saya dan kepala saya tutup dengan plastik shade putih nipis dan saya pasangkan dapur/Stove di celah kangkang saya untuk panaskan badan kerana memang cuaca sejuk sehingga menggigil. Setelah badan panas/hilang sejuk, saya terlena sambil duduk. 

Lebih kurang jam 10.00 malam tiba-tiba saya terjaga disapa oleh 2 orang keturunan Cina. Dia tanya saya kenapa tidur di sini berseorangan? dia kata ini jalan, ikutlah sama-sama turun. Saya tanya mereka berdua dari mana. Meraka kata mereka dari Puncak Tahan melalui Merapuh dan menuju ke Kem Padang. Dalam pada itu saya masih lagi mendengar deruan air terjun tetapi mereka kata ini adalah jalan. Saya minta mereka turun dulu, saya nak sambung tidur. Lagi pun saya kata lampu saya sudah kehabisan bateri. Sebenarnya saya tidak mahu saya diperdaya oleh makhluk itu. Saya tidak boleh mengalah!. 

Mereka turun dan saya sambung tidur. Jam 3.30 pagi saya terjaga dan hujan sudah berhenti. Bunyi air terjun sudah tidak kedengaran lagi. Saya suluh laluan yang menjadi air terjun tadi. Saya dapati air terjun tidak ada. Yang ada hanyalah trek yang agak kering. Saya ketawa sambil berkata "Kau sudah letih yek tunggu aku tidur, kamu sudah mengalah. Sekarang aku nak jalan" 

Saya teruskan perjalanan dan saya tiba di Kem Padang pada jam 6.00 pagi di sambut oleh geng dengan riuh. 

Sebenarnya tadi makhluk itu cuba memperdayakan saya. Bila saya dapati trek sudah jadi air terjun, saya akan mencari jalan lain. Itulah peluang dia memesungkan perjalanan saya dan sudah tentu saya akan sesat. Tetapi dia tidak berjaya, kerana manusia Allah jadikan lebih bijak dari golongan syaitan. 

Saya tanya teman-teman ada tak 2 orang keturunan Cina sampai ke situ. Mereka jawab ada, hanya 10 minit sebelum saya. Aiik......ke mana mereka berjam-jam lebih lama dari saya? Mereka turun dulu tanpa berhenti pun!

Jadi ke mana mereka? mereka dari jam 10.00 malam dari tempat saya berhenti dan tiba pada jam 5.50 pagi, bermakna mereka ambil masa hampir lapan jam sedangkan saya bermula pada jam hampir 4.00 pagi dan tiba di situ jam 6.00 pagi. Bermakna perjalanan saya hanya lebih sedikit dari 2 jam! 

Paginya saya pergi cari 2 orang Cina tadi. Saya tanya mereka kenapa lambat. Mereka jawab " Kami ikut laluan itu juga tetapi rasanya terlampau jauh sehingga cukup letih. Entah ke mana kami dibawa" Saya hanya senyum dan bersyukur.

Posted by mountdweller at 9:46 PM 

THURSDAY, AUGUST 21, 2008
Lembaga Huduh Di Kem Mengkuang

Sebelum ini saya berjanji akan muatkan posting saya dengan gambar dan cerita berkenaan saya dan kawan-kawan yang ghairah memburu perkara-perkara yang bersabit dengan paranormal. Walau bagaimana pun saya mohon maaf kerana gambar-gambar yang dirakam oleh Sdr. Mohd. Azmi masih belum saya perolehi. Saya berjanji bila gambar-gambar tersebut sudah ada di tangan saya, saya akan muatkan di blog ini. Insya Allah.

Sekarang ini (malam ini) saya rasa bosan, tengok tv3 dan tv kerajaan lagilah buat saya biul. Mengarut mengalahkan senario. Bodoh lagi membodohkan. Baca surat khabar arus perdana pun serupa macam jugak, sama biul. Nak tengok pesta sukan olimpik di astro pun dah tak ada mood.

Jadi untuk mengelak diri saya jadi biul macam segala jenis wartawan di segala media kerajaan dan pro kerajaan, saya fikir lebih baik saya ceritakan sedikit pengalaman saya semasa mendaki Gunung Tahan pada tahun 1994 dalam bulan Julai.

Perjalanan kami ialah ke puncak Gunung Tahan melalui Pekan Merapuh-Sungai Relai-Kuala Juram-Puncak Tahan dan turun melalui Gunung Gedong-Kuala teku-Melantai- Kuala Tahan(Taman Negara)-Kuala Tembeling. Ekspedisi ini memakan masa selama seminggu.

Anggota ekspedisi kami tiba di Kem Kol sekitar jam 5.30 petang setelah bertolak dari Kuala Juram pada jam 8.30 pagi. Saya sebagai Ketua Ekspedisi meminta semua anggota berhenti rehat dan dirikan khemah serta memasak untuk makan malam.

Kami berkhemah dengan khemah anggota perempuan di tengah-tengah dan anggota lelaki mendirikan khemah mengelilingi khemah perempuan.

Sebenarnya anggota ekspedisi kali ini lebih ramai perempuan dari lelaki. Dari 24 orang semuanya, hanya 8 orang lelaki. Selepas selesai makan malam dan solat jamak, saya menyendiri di satu sudut gelap di bawah pokok yang agak rimbun sambil memerhatikan keadaan keliling.

Di dalam mata saya melilau-lilau sekeliling kem, saya terpandang satu lembaga yang agak besar. Agak saya setinggi lebih kurang 2 meter melintasi dari penjuru kanan kem, menyeberangi sungai kecil di hadapan kawasan perkhemahan dan meluru masuk hutan menyerong ke sebelah kiri kem dan menghilang di dalam semak.

Saya cuba mengejar tetapi gagal kerana gelap dan dia mungkin terlalu pantas . Saya berpatah balik ke khemah tetapi saya rahsiakan dari anggota-anggota lain bimbang mereka akan ketakutan. Saya juga yang akan susah! 

Saya tidak dapat pastikan bagaimana rupa makhluk itu kerana keadaan samar. Yang saya sempat lihat hanyalah susuk tubuh yang besar dan berbulu macam beruk tetapi lebih tebal dengan warna merah kehitaman. Mukanya saya tidak nampak jelas. Dia berjalan menegak dengan pantas dan sedikit bongkok. Saya tidak pasti dari jenis beruk besar, big foot atau mawas. Itulah kali pertama saya nampak binatang sebegitu sepanjang saya bergiat di dalam bidang rekreasi dan mendaki selama puluhan tahun. 

Esoknya dari Kem Kol kami tiba di Kem Pandan lebih kurang jam 5.00 petang. Seperti biasa kami rehat, mendirikan khemah, mandi dan memasak. 

Semasa anggota lain turun mandi beramai-ramai mengikut arahan saya, saya berehat bersama seorang kawan sambil menjaga kem. Apabila semua anggota sudah balik dari mandian dan mengambil air, saya menanggalkan pakaian. Waktu itu sudah jam 7.00 malam, sudah hampir gelap. Dengan bertuala saya berjalan turun bukit ke arah anak air untuk mandi. 

Sebenarnya maaf cakap, saya suka mandi telanjang. Sudah menjadi kebiasaan saya kerana rasa lebih selesa dan senang nak bersihkan badan. Sebaik saja saya nak menuruni bukit, saya dipanggil oleh Cikgu Ali. Dia nak ikut sama untuk mandi. Tidak boleh bertelanjanglah saya nampaknya. 

Sebaik tiba di Anak Air tempat mandian, saya minta Cikgu Ali mandi dulu kerana saya hendak buang air besar. Saya turun ke bawah lagi mencari tempat sesuai untuk saya gali lubang dan membuang. Setelah puas membuang, saya dapati tidak ada tempat di sepanjang aliran air itu yang sesuai mengikut syarak untuk membersihkan diri. Saya turun lagi ke bawah dan terjumpa satu kolam kecil anggaran 2x2 meter besar dan bila saya turun airnya di paras bawah lutut dengan aliran air mengalir dari tanah tinggi di atasnya ke dalam kolam dan melimpah ke bawah. Saya kira sesuai untuk membersihkan diri. 

Jadi saya bersihkan diri di dalam kolam itu dengan selamkan punggung dan basuh. Bila dah bersih saya naik semula ke tempat mandian yang saya tinggalkan Cikgu Ali tadi. Cikgu Ali dah balik ke kem, hari pun dah gelap. Saya mandi, berwudhuk dan balik ke kem. 

Sebaik saya selesai solat maghrib dengan jamak isyak, saya nampak satu lembaga berdiri di muka lorong untuk turun ke anak air tempat mandian tadi dalam jarak 10 meter dari saya. Saya boleh nampak dengan jelas sebab saya arahkan anggota memasang satu lampu di hadapan lorong itu, dan lembaga itu berdiri hampir dengan lampu. Saiznya sama dengan saiz kita, hanya bercawat tanpa baju dengan rambut gonderong yang panjang tetapi kelihatan amat kotor dengan berpintal-pintal (bukan dipintal). Giginya basar sebab kerana giginya menjadikan bibirnya terbuka tidak rapat. Matanya yang merah meliar macam mencari sesuatu. Ketika itu saya sudah boleh menduganya yang memang dia mencari saya. 

Sebabnya ialah mungkin saya telah menceroboh dan mencemari kolamnya tadi. Atau mungkin juga saya terpijak anaknya. Saya perhatikan orang lain tidak mempedulikannya. Maknanya orang lain tidak nampak kecuali saya. Di sebabkan bimbang dia buat hal kepada orang lain, lebih-lebih lagi di antara kami ramai perempuan, saya nekad mendekati dan berhadapan dengannya. Saya bangun dengan tetapkan hati kepada Allah merapati lembaga itu. Dalam jarak 3 meter saya lihat kulitnya hitam dan kasar. Lantas saya mencabarnya. Saya kata "Aku tahu kau marahkan aku seorang saja. Kalau kau nak sangat, aku cabar kau. Kita bertarung lain kali. Malam ini tak boleh sebab ramai orang lain, nanti orang lain akan kecoh. Kau setan bukan boleh percaya. Lain kali aku datang sorang dan kau tunggu aku di sini. Kau kena percaya aku akan tepati janji" Selepas saya berkata-kata kami bertentang mata. Matanya merah dan kelihatan amat marah. Saya pagar diri saya dengan kalimah Zat Allah. Saya tentang matanya dengan berzikir tanpa berkelip. Lepas seketika dia ghaib. 

Saya berpatah balik ke khemah dan arahkan buat posisi khemah sebagaimana di Kem Kol. Malam itu saya tidur dalam berhati-hati. Kejadian itu saya tidak ceritakan kepada sesiapa pun bimbang anggota perempuan akan menggelabah. 

Pada paginya baru saya tahu, bila lembaga itu gagal kenakan saya dia kenakan Cikgu Ali sebab Cikgu  Ali bersama saya turun ke tempat mandian petang semalam. Disumbatnya telinga Cikgu Ali dengan seekor lipas. Kami gagal keluarkan lipas tersebut. Jadi kami terpaksa mematikan lipas itu supaya tidak menggelupur di dalam telinga yang menyebabkan kesakitan yang amat sangat. Bila balik ke Kota Bharu semula barulah lipas itu yang dah tinggal kerangka berjaya dikeluarkan di HUSM Kubang Kerian. 

Esoknya jam 8.30 pagi kami meneruskan perjalan ke Puncak Gunung Tahan dan selamat tiba di puncak bila hari dah hampir malam. Rupanya syaitan itu juga ikut kami ke puncak!. 

Saya akan teruskan cerita ini bagaimana syaitan itu cuba kenakan saya di Gunung Berapit di dalam perjalanan turun dari puncak Gunung Tahan untuk bermalam di Kem Padang di dalam posting saya yang akan datang. Kalau berminat tungguuu...

Posted by mountdweller at 8:22 PM 

SUNDAY, AUGUST 17, 2008
Lembaga Hitam Di Batu Tok Mat Hassan

Dalam pada semua orang fokus ke Permatang Pauh, saya lencongkan sedikit untuk berkungsi tentang apa yang saya alami semasa mendaki Gunung Tebu minggu lepas bersama-sama seorang Pawang dan seorang Wartawan paranormal. 

Dari kaki Gunung Tebu (Sungai Cakah Dua) kami bertujuh bertolak tepat jam 3.33 petang selepas solat dan makan tengahari. Saya bersama Pak Jik (Aziz), Pak Him (Ibrahim) panggilan saya kepada mereka kerana kami hampir sebaya bersama Mat Ju (Marzuki), Mie (Mohd. Azmi), Din dan seorang anak lelaki kepada Mohd. Azmi yang berumur 15 memulakan trekking dalam keadaan cuaca yang amat baik. 

Pak Jik adalah orang yang berupaya untuk mengundang orang halus. Saya tidak pasti Jin atau Bunian sementara Mohd. Azmi pula adalah seorang Wartawan paranormal yang berhidmat sambilan dengan sebuah majalah yang berkaitan dengan perkara tersebut. 

Pak Jik dan Mohd. Azmilah yang mengajak saya ke sana kerana saya agak mahir dengan trek di gunung itu. 

Jam 6.30 kami tiba di Batu Tok Mat Hassan dan berehat. Ada yang makan malam tetapi saya hanya minum dan makan sedikit roti. Disebabkan masa sudah hampir maghrib saya cadangkan kami berehat di sini dulu dan sambung perjalanan/pendakian selepas waktu maghrib.

Jam 8.00 malam, Pak Jik mengatakan ada ramai rupanya makhluk ghaib di tempat kami berhenti dan berehat itu. Jadi Mohd. Azmi cadangkan Pak Jik cuba mengadakan upacara memanggil makhluk berkenaan. Pak Jik minta jangan sesiapa pun berdiri di belakangnya sementara dia berzikir dan menyeru makhluk berkenaan untuk hadirkan diri supaya dapat dilihat. 

Selepas Pak Jik sudah berupacara, Pak Jik suruh tengok di belakangnya. Memang saya nampak beberapa makhluk dengan bayang-banyang yang lut sinar berada di sekeliling tempat itu seketika dan menghilang dari pandangan mata kasar. 

Bagi saya tidak menakutkan sebab saya sudah beberapa kali diganggu semasa beberapa kali mendaki Gunung Tahan dan Gunung Rabung. Saya juga pernah nampak secara zahirnya satu makhluk yang huduh di Kem Mengkuang di perjalanan ke Gunung Tahan. Kejadian di Kem Mengkuang akan saya ceritakan di dalam posting saya yang akan datang. Insya Allah. 

Setelah beberapa makhluk tadi menghilang, saya termenung memikirkan apa yang saya telah lihat. Adakah itu semua hanya ilusi atau pun memang benar. Saya nak tanya kepada Pak Jik tetapi saya takut dia berkecil hati, tidak percayakannya. Jadi saya diam sambil berfikir dan sambil itu mata saya liar meleret ke sekeliling. 

Saya perhatikan sebuah batu yang agak besar dan setinggi 4 meter di hadapan saya yang dipanggil Batu Tok Mat Hassan. Kononnya mengikut cerita mulut ke mulut batu inilah tempat Tok Mat Hassan bertapa suatu ketika dulu. 

Di situ saya nampak satu lembaga hitam sedang bertenggek di atas batu besar itu yang jaraknya dari saya tidak sampai 5 meter. Saya perhatikan betul-betul kerana bimbang apa yang saya nampak itu hanyalah perasaan saya saja. Lama saya renung dan perhatikan barulah jelas yang ianya satu lembaga berambut panjang dan beruban yang masih bercampur dengan rambut hitam (separuh uban). 

Mukanya bulat tembam dan berkulit gelap. Dia pandang saya tanpa senyum tidak menunjukkan apa-apa emosi. Saya pandang dia, dia juga pandang saya tanpa suara dengan mimik muka yang bersahaja. 

Saya cakap kepada Mohd. Azmi supaya tengok kat atas batu itu dan kalau boleh ambil gambarnya. Mohd. Azmi pandang ke arah itu dan mengiyakan apa yang saya nampak. Dia mengeluarkan kamera dan ambil gambar. Yang anihnya, bila Mohd. Azmi mengambil gambarnya dia beralih tempat pula. Dia menggelunsur sedikit ke bawah dan duduk berjuntai kaki di satu lekok di batu itu seolah-olah tiada apa yang berlaku. Makhluk itu hilang selepas lebih kurang 10 atau 15 minit. Memang agak lama juga. 

Di dalam kamera Mohd. Azmi hanya nampak satu bayang hitam macam di dalam film negetif. 

Selepas itu kami berkemas dan memulakan pendakian pada jam 9.00 malam lebih, saya tidak berapa pasti secara tepat. Air bekalan kami sudah hampir kehabisan kerana kebanyakan anggota tidak bercermat menggunakan air. 

Pendakian dari sini memang mencabar. Treknya licin dan mencanak. Selepas mendaki lebih kurang sejam setengah kami tiba di satu puncak bukit dan bertanda punca air sejauh 120 meter. Kami berhenti rehat dan lima anggota turun ambil air. 

Saya dan Mohd. Azmi menunggu di puncak itu bersama beg dan barangan kami. Sedang kami releks dan berehat, tiba-tiba kami nampak satu makhluk putih melayang lebih kurang 5 saat melintasi kami. Sayangnya saya dan Mohd. Azmi gagal mengeluarkan kamera kerana kami berada di dalam gelap. 

Tidak berapa lama kemudian geng yang turun ambil air sudah sampai dan kami meneruskan perjalanan. Di perjalanan inilah si Mat Ju menceritakan yang dia nampak pagar yang memagari kawasan punca air tadi. Dia tidak berani turun ke tempat air itu tetapi yang lain mendesak hendak turun juga untuk ambil air. Di masa inilah dia tergelincir dan botol airnya jatuh ke dalam aliran air tetapi Pak Him sempat mengambilnya dengan bergayut pada akar.

Setelah bersusah payah akhirnya kami tiba di puncak Gunung Tebu pada jam 12.30 tengah malam. 

Di puncak ini semasa kami berehat makhluk-makhluk itu datang menjenguk lagi, tetapi mereka berada agak jauh, agak dari jarak 10 meter dari kami. Saya nampak macam kabus tetapi memang berbentuk manusia yang sederhana. Saya mengeluarkan kamera dan membetulkan fokusnya. Sedang saya terbelek-belek itulah salah satu lembaga melintas di hadapan kamera saya dalam jarak agak dekat. Tapi sayangnya saya gagal menangkap gambarnya. 

Yang tertangkap kamera saya hanyalah satu lembaga putih yang halus. Selepas itu mereka menghilang dan kami tidur. 

Kalau ada gambar yang terang yang telah Mohd. Azmi rakam, saya akan muatkan di dalam posting saya kemudian. Buat masa ini saya masih belum berjumpa dengannya lagi selepas kami sama-sama pulang dari Gunung Tebu. 

Posted by mountdweller at 11:01 PM 

SUNDAY, JUNE 15, 2008
Peristiwa Berjalan Di tempat Yang Sama

Otak letih kerana kerja yang tak boleh beres di pejabat, semput dada kerana harga minyak. Kali ini saya nak beralih kepada satu peristiwa yang benar-benar berlaku dan saya alami sendiri. 

Peristiwa ini berlaku pada tahun 1991, malam 23 Ogos, di perjalan turun dari Gunung Tahan. 

Setelah empat hari mendaki melalui Kuala Tahan, kumpulan kami tiba di puncak Gunung Tahan pada jam 07:00 dari Kem Padang. Suhu terlalu sejuk sehingga sepasang Mat Salleh Belanda yang ikut kumpulan kami minta diri untuk turun terlebih duhulu kerana tidak tahan kesejukan . Saya sendiri walau pun pakai dua lapis baju di bahagian dalam iaitu singlet dan t-shirt lengan panjang dan di luar pula dengan lapisan wind-breaker masih lagi menggigil kesejukan. 

Selepas memanaskan air dan buat milo cecah biskut serta sekeping roti sebagai sarapan pagi kami bergambar dan menikmati keindahan di puncak alam anugerah Allah yang maha kuasa dan maha kaya. Sungguh indah, memang indah tidak terkata. Saya menangis kefanaan. 

Jam 10:30 kami mula bertolak turun semula ke Kem Padang dan tiba Jam 13:00. 

Kami masak dan makan tengahari. Selepas solat zohor jamak dengan asar kami berlepas ke Kem Wray's dan destinasi kami sebenarnya adalah Kem Kuala Teku. 

Saya lebih suka trekking berseorangan sebab saya suka menikmati alam keliling dengan tenang dan berjalan santai sambil ambil angin. Jam 19:00 saya menuruni Gunung Tangga lima belas dan tiba di Kem Wray's pada jam19:45 dan bertemu dengan dua orang teman yang sedang berehat. 

Dari situ kami berjalan bertiga dan saya mengepalai kumpulan ini. Walau pun sudah gelap, kami masih lagi berjalan dengan rentak yang releks. Pada kami, paling tidak pun pada tengah malam kami boleh sampai ke Kem Kuala Teku dan tidur secukupnya untuk perjalanan pagi esok. 

Pada jam 22:00 ketika sedang berjalan dan rancak bersembang tiba-tiba lampu suluh saya padam, mungkin kehabisan bateri sebab saya tukar bulb spare pun masih tidak mahu menyala. Berjalanlah kami menggunakan dua lampu. Sejurus kemudian lampu salah seorang kawan saya pula padam dan selang beberapa minit pula lampu ketiga juga padam. Pelik tapi benar! 

Saya keluarkan lilin dari bungkusan kecemasan saya dan kami berjalan dengan hanya diterangi cahaya lilin dalam gelap pekat rimba. Untuk mengelak dari lilin terpadam dihembus angin, saya ambil daun muda buat hadangan. 

Saya masih lagi mengepalai kumpulan ini. Kami teruskan perjalanan menurun, berjalan sehingga saya rasa letih. 

Yang peliknya kelakuan kawan-kawan saya tadi, sekejap mereka memotong saya untuk kehadapan. Sekejap lagi mereka berhenti dan biarkan saya potong, jadi saya pula berjalan di hadapan. Begitulah seterusnya sehingga beberapa kali keadaan ini berulang. Sekejap saya di depan, sekejap lagi saya dipotong mereka. 

Jam sudah 00.15, tiba-tiba saya terasa pelik sebab saya sedar yang saya telah melangkah satu banir besar dan tinggi yang melintang trek, dan saya pasti kami sudah tiga kali melangkah banir yang sama. Barulah saya sedar yang kami telah berjalan di tempat yang sama hampir dua jam. Saya sedar yang kami telah dipermainkan oleh setan gunung. 

Saya mula meradang sebab sudah amat letih diperdayakan oleh setan laknat ini. Setelah kami melepasi banir itu dalam jarak lima puluh meter, saya minta kawan saya yang dua orang lagi itu berhenti rehat. Air bekalan kami semuanya sudah habis dan yang tinggal hanya sebotol livita. Kami kongsi sebotol livita bertiga. 

Setalah minum dan berehat sekejap saya minta dua orang teman saya tadi tunggu di sini kerana saya akan naik kembali seorang diri ke lokasi banir tadi. Saya nekad saya akan lawan setan penunggu pokok besar itu. Saya teringat pesan arwah ayah saya, katanya kalau kita tahu yang kita telah diganggu, kita mesti teguhkan keyakinan dan kuatkan semangat dan dengan angkuh kita melawan. 

Jangan tunjuk yang kita takut. Sebab kalau kita takut setan akan lebih suka kerana dia sudah berjaya. Tetapi kalau kita tunjuk berani dan berlagak angkuh setan akan kecut perut. Ingat satu lagi pesan arwah ayah, setan memang bodoh dan senang diperdaya kalau kita berani. 

Seketika mendaki saya sampai di banir tadi dan saya terus tendang banir tersebut sambil berkata dengan kasar dan kuat "Aku tahu kau cuba perdayakan aku malam ini, tapi jangan ingat aku takut. Engkau mesti lepaskan aku turun malam ini, kalau tidak aku bakar seluruh bukit ini bersekali dengan engkau. Aku tahu kau dijadikan dari api. Tetapi tengok ni, api memang makanan aku (sambil itu saya pasang api ke rokok dan saya hisap) kalau kau tidak percaya cubalah halang aku lagi. Aku akan kembali dan terus bakar dengan tidak ada amaran lagi" . 

Saya bertenggek di atas banir tadi menghisap rokok dan menghembuskan asap yang tebal berkepul ke udara. 

Selepas itu saya turun kembali ke tempat kawan-kawan menunggu tadi dan terus berjalan tanpa monoleh kebelakang. Jam 01:10 kami tiba di Kem Kuala Teku tanpa apa-apa gangguan dan berehat. 

Perkara aneh juga berlaku di sini. Bila tiba di Kem Kuala Teku, saya dapati dua tiga orang kawan yang bertolak kemudian dari saya telah pun sampai di sini lebih dahulu sedangkan seingat saya mereka tidak pernah bertembung atau memotong kami di perjalanan tadi. 

Mereka juga hairan bagaimana mereka sampai dulu dan tidak pernah memotong kami, sedangkan kami bertolak lebih awal daripada mereka. Adakah kami hanyut ke laluan lain atau bagaimana? kalau kami hanyut ke laluan lain, macam mana pula saya boleh sampai ke Kem Kuala Teku? 

Sehingga sekarang saya tidak mendapat jawapannya. Semasa berehat sebelum tidur selepas mandi dan makan barulah dua orang kawan tadi buka cerita. Rupanya sesuatu yang pelik dan menakutkan berlaku kepada mereka berdua semasa saya mengepalai perjalan tadi. 

Cerita mereka, apabila tiba di tempat banir besar tadi, sebaik saja mereka melangkah banir tersebut salah seorang daripada kawan tadi nampak satu tangan berbulu keluar dari banir dan memegang kakinya. Kakinya terlepas setelah dia menariknya dengan kuat. 

Yang seorang lagi pula, beg yang disandangnya ditarik oleh satu tangan berbulu yang entah keluar dari mana. Itulah sebabnya mereka berdua memotong saya untuk ke hadapan. Sekejap lagi bila mereka berada di hadapan dan saya di belakang, mereka rasa takut dan biarkan saya memotong supaya saya berada di hadapan mereka semula. Tapi yang anehnya saya tidak diganggu dan tidak diapa-apakan sehinggalah saya sedar kami sedang berjalan di tempat yang sama. 

Bila saya tanya mereka kenapa tidak beritahu saya lebih awal. Mereka kata mereka terlalu takut pada masa itu, nak beritahu saya pun mereka takut. 

Itulah, petuanya bila kita tahu yang kita telah diganggu setan, kita jangan takut atau tunjuk takut. Kita tunjukkan yang kita tidak takut dan berani melawan. Gunakan helah untuk menipu setan. Kalau yang boleh baca doa-doa tertentu lagi bagus.

Insaya Allah kita jumpa lagi dan saya suka untuk kongsi bersama beberapa petua bila berada di hutan atau bukit. 

Posted by mountdweller at 11:15 PM - siri hantu oleh moundweller

2 comments:

  1. Haha...masaalsh mcm mana nk tunjuk berani..kena sergah pun boleh darah spt memancut keluar kat kepala..
    Saya daki bukit..gunung wsktu siang...pun dh seram..bila npk benda pelik...nikan pula mlm..
    apapun enjoy bscs..sdmin punye pengalaman...

    ReplyDelete