Thursday, November 9, 2017

Najib tidak akan dikorbankan demi Putrajaya

Umno tidak akan korbankan Najib demi pertahan Putrajaya
Zulkifli Sulong · Diterbitkan pada 9 Nov 2017 6:54AM
Umno tidak akan menjatuhkan presidennya Najib Razak, yang berdepan pelbagai dakwaan berhubung skandal 1MDB, sebelum PRU1 walaupun populariti beliau rendah dalam kalangan rakyat, kata penganalisis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 November, 2017.

UMNO tidak akan menjatuhkan presidennya Najib Razak, yang berdepan pelbagai dakwaan berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) walaupun populariti beliau rendah dalam kalangan rakyat, kata penganalisis.

Namun jika Barisan Nasional (BN) menang tipis pada PRU nanti, yang perlu diadakan sebelum Ogos tahun depan, ahli Umno akan memberikan tekanan kepada Najib untuk letak jawatan sebagai perdana menteri dan menolaknya pada pemilihan parti itu yang dijadualkan selepas PRU14.

"Hanya dalam dua keadaan saja Najib boleh jatuh  . Apabila BN menang tipis, lebih kecil daripada kemenangan yang dicapai Pak Lah (Abdullah Badawi) sebelum ini (2008) atau BN kalah dan hilang Putrajaya," kata Hisomuddin Bakar, pengkaji politik dari Ilham Centre.

Katanya, mengharapkan Umno menukar Najib sebelum PRU14 untuk membolehkan mereka mengekalkan Putrajaya tidak akan berlaku dalam sistem parti itu.

Kajian akhbar Oriental Daily News baru-baru ini mendapati sokongan masyarakat Cina terhadap Najib kini amat rendah iaitu 3.8% saja manakala timbalannya, Ahmad Zahid Hamidi hanya dapat 0.74% sokongan.

Pengundi Cina lebih berminat dengan Hishammuddin Hussein (19.69%) dan Khairy Jamaluddin (12.15%) manakala 63.61% menolak semua keempat-empat nama ini.

"Mereka tidak akan tiba-tiba pilih Hishammuddin kerana sokongan kepadanya lebih tinggi. Najib pula akan pastikan beliau kekal berkuasa kerana kehilangan kuasa satu malapetaka kepadanya,” kata Hisomuddin.

Umno menangguhkan pemilihan parti yang sepatutnya diadakan sebelum Oktober tahun ini kepada 18 bulan sehingga April tahun depan. Berdasarkan senario semasa, Umno dijangkakan akan mengumumkan penangguhan sekali lagi sehingga selepas PRU14, yang mesti diadakan sebelum Ogos 2017.

Pandangan Hisomuddin disokong oleh pensyarah kanan kajian dasar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mazlan Ali, yang berkata Umno tidak sedia mengambil risiko perebutan kuasa dalaman sekiranya Najib disingkirkan sebelum PRU.

"Ahli Umno yang tidak setuju dengan Najib akan tinggalkan parti itu, bukannya jatuhkan Najib menerusi sistem atau tatacara dalam Umno.

"Ia boleh dilihat dengan kewujudan Bersatu sekarang ini. Mereka sedar mereka tidak boleh lawan Najib dalam Umno, mereka keluar dan tubuh parti baharu," kata Mazlan kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata kewujudan Bersatu adalah manifestasi tidak puas hati ahli Umno kepada Najib, bukan kerana perebutan kuasa sebagaimana ketika penubuhan PKR yang diketuai oleh Anwar Ibrahim pada 1999.

Tiga penjuru

Hisomuddin berkata Umno sekarang yakin akan menang besar pada PRU14 dan mendapat kembali kuasa dua pertiga di Parlimen jika berlakunya pertandingan tiga penjuru.

"Bagi saya, dengan sikap PAS sekarang (yang kekal bersendirian) sudah hampir pasti pertandingan tiga penjuru akan berlaku. Dan inilah sebenarnya strategi Umno sebelum ini, memastikan PAS masuk pilihan raya dengan tiga penjuru kerana dengan cara inilah Umno akan kekal berkuasa," katanya.

PAS kini muncul sebagai blok politik ketiga apabila membentuk kerjasama dengan parti-parti kecil dan pertubuhan masyarakat berasaskan Islam, atas nama Gagasan Sejahtera.

Hisomuddin berkata jika pengkaji membuat kajian lapangan sekarang ini pun mereka akan dapati pengundi yakin jika pertandingan tiga penjuru, BN akan menang kembali dua pertiga di Parlimen.

"Itu jawapan yang kita boleh jangka kerana media sudah memainkan berita ini, jika tiga penjuru BN menang. Responden hanya akan mengukuhkan persepsi yang sudah ditanam ini walaupun tanggapan itu tidak semestinya betul," katanya.

Berdasarkan kajian lapangan yang dijalankannya di kawasan Parlimen Kuala Selangor, akar umbi Umno memang sedar Najib menjadi beban kepada Umno sekarang, tetapi mereka tidak ada pilihan lain.

"Tidak ada ahli Umno yang boleh mempertahankan skandal 1MDB kecuali dua tiga kerat pemimpin di atas. Tidak ada ahli Umno yang boleh mempertahankan Najib apabila dihadapkan isu ini kepada mereka bahawa Najib bersalah.

"Apa yang mereka buat sekarang adalah 'bertahan'," kata Hisomuddin yang membuat kajian lapangan di Kuala Selangor bulan lalu.

Dalam tinjauan Oriental Daily News, 84.15% responden berkata, mereka mahu melihat pertukaran kerajaan berlaku pada PRU14 nanti.

Hanya 6.4% saja mahu kekalkan status quo (kekalkan kerajaan BN) dan 4.09% mahukan BN menang dua pertiga majoriti.

Hisomuddin berkata dapatan kajian itu mengukuhkan kempen DAP bahawa tsunami Melayu akan berlaku pada PRU nanti selepas Dr Mahathir Mohamad menyertai pakatan pembangkang.

Katanya, tsunami Cina menolak BN berlaku dalam dua PRU lalu namun undi Melayu kekal berbelah bagi.

"Apabila Cina merasa tsunami Melayu akan berlaku, maka mereka akan bersemangat kembali untuk menyokong perubahan di negara ini," katanya. – 9 November, 2017.

1 comment:

  1. ada malayu mana reti nak nak berubah
    hnaya tahu makan nasi ngan roti
    tipu pun tipulah
    yang penting hidup sebelum nak dimatikan

    ReplyDelete