Friday, November 10, 2017

Dongeng serigala Arab

mk  -  Hari ini, 9:09 am
Beberapa bulan telah berlalu, sejak penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) diumumkan. Demikian bergengsi kewujudannya, ia diberitakan akan dibangunkan di tanah seluas 16 hektar di Putrajaya. Ia diasaskan antara lain oleh Arab Saudi gara-gara usaha membanteras keganasan.

Turut terlibat dengan penubuhan KSCIP ialah Kementerian Pendidikan Tinggi melalui Universiti Sains Islam Malaysia. Khabarnya kementerian ini akan bekerjasama dengan sebuah institut di bawah Kementerian Pertahanan Arab Saudi, Markaz Harb Fikriah (Pusat Peperangan Ideologi) dan Rabitah Alam Al-Islami (Liga Muslim Dunia), yang sering didakwa sebagai menyebarkan fahaman Wahabi, iaitu versi Islam anutan pihak berkuasa Arab Saudi.
As said by Hishammuddin Hussein, the trust given by His Majesty King Salman to the #KSCIP shows that the Kingdom of Saudi Arabia is confident with Malaysia's ability to come up with a counter-narratice to the #DAESH ideology.

Untuk orang awam yang tidak pandai selok belok hubungan antarabangsa, Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman ini menimbulkan kemusykilan yang sungguh mendalam kerana tiga sebab iaitu pertama, peranan Saudi di Yaman. Kedua, peranan Saudi di Qatar dan Lubnan. Ketiga, perebutan kuasa di dalam istana Saud sendiri yang kelihatannya tidak aman sama sekali.

Orang awam seperti kita perlu melihat insiden-insiden yang disebutkan ini dengan penuh bijaksana.

Yaman

Pada tahun 1982, Michael H Van Dusen pengkaji di Subcommittee on Europe and the Middle East bawah Jawatankuasa Jabatan Negara Amerika Syarikat pernah menulis di The New York Times betapa pentingnya Yaman untuk Arab Saudi. Malah, Van Dusen memperihalkan bagaimana Ibnu Saud, raja Arab Saudi ketika nazaknya pada tahun 1953 pernah berpesan di atas katil kematian: “Waspadai Yaman.”
Ketika tahun 1980an itu, bukan sahaja Amerika Syarikat dan Arab Saudi memberi perhatian kepada Yaman, sejak tahun 1962 Kesatuan Soviet malah menaruh dana yang besar untuk pertahanan negara sekecil Yaman. Van Dusen di akhir tulisan pojok itu seterusnya mengingatkan bahawa kerajaan Yaman yang tidak lagi mesra Amerika, atau Arab Saudi, akan sangat berbahaya untuk kelangsungan Arab Saudi yang merupakan majikan Amerika:

“If an unfriendly goverment emerges in Yemen and seeks an alliance with Southern Yemen, Saudia Arabia could be seriously theatened.”

Hari ini, Yaman, yang mana orang Melayu kita sangat hargai kerana peranan para habib dari Hadhramaut menyebarkan Islam di rantau ini, sedang mengalami malapetaka yang dahsyat angkara Arab Saudi. Adalah tidak masuk akal sama sekali untuk orang Melayu bermazhab Sunni menelan satu hakikat bahawa, penjaga dua tanah suci sedang mengebom orang awam di Yaman tanpa segan silu dan perhatian terhadap dosa.

Badan-badan pemerhati antarabangsa menyatakan Arab Saudi bertanggungjawab terhadap pembunuhan orang awam dalam kekerasan dan perangnya terhadap Yaman. Sebagai contoh Amnesty yang menyiasat pencabulan hak asasi manusia dan pelanggaran undang-undang antarabangsa di Yaman mendapati senjata yang digunakan Arab Saudi sangat kejam dan memberi kesan kecederaan dan kematian yang berganda:

The Saudi Arabia-led coalition has also used cluster munitions, lethal explosive weapons banned under international law. When launched cluster bombs release dozens – sometimes hundreds - of small “bomblets”, which often lie unexploded and can cause horrific injuries long after the initial attack. Amnesty International has documented the coalition’s use of at least four different types of cluster munitions, including US, UK and Brazilian-manufactured models. Imprecise weapons are used on a daily basis in residential areas, causing civilian casualties. Such indiscriminate attacks violate the laws of war.

Oleh kerana itu sangatlah mencengangkan bahawa negara seperti Arab Saudi yang mengganasi jirannya secara semberono sekali dibenarkan berpengaruh sedemikian rupa di negara ini, dan secara lebih langsung dan polos – di ibu kota pentadbiran.

Rekod rasmi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menyatakan bahawa terdapat 13,000 kecederaan serius, lebih 5,000 kematian dan epidemik taun yang memberi kesan terhadap 850,000 orang awam di Yaman ekoran keganasan Saudi. Angka ini wajar digeruni, dan jangan diambil santai.

Qatar dan Lubnan

Tidak cukup dengan tindak-tanduk Saudi menumpahkan darah rakyat negara jirannya iaitu Yaman, kepongahan Saudi terhadap jirannya yang lain iaitu Qatar juga sangat membingungkan orang biasa di Malaysia. Bloked atau pelbagai sekatan terhadap Qatar yang diusahakan oleh Saudi dan beberapa negara Teluk lain sejak pertengahan tahun ini tampak kurang memberi kesan, dan kini penganalisis seperti Christopher Davidson dari Universiti Durham mendedahkan terdapatnya kempen untuk menggantikan pula raja Qatar sedia ada dengan boneka yang lebih jinak.

“A campaign to promote the replacement of Doha’s current ruler, Emir Tamim bin Hamad al-Thani, with a more compliant, pro-Quartet client.”

Jika kita boleh yakin bahawa perang di Yaman berlaku kerana perbezaan sedia ada antara Saudi dan kumpulan Houthi yang dikatakan dibatu api oleh Iran, sesungguhnya perhatian awam terhadap sikap Saudi membuli Qatar menyebabkan jiwa menjadi cemas. Qatar dan Saudi meskipun kedua-duanya berkongsi anutan kepercayaan yang sama iaitu Wahhabisme, tidak diberi ihsan belas oleh Saudi yang mana tindak-tanduk angkuh itu cuba dinafikan oleh MBS, raja muda Saudi sebagai hal yang sangat-sangat-sangat kecil – “Qatar is a very, very, very small issue”.

Alasan bahawa Qatar menjadi tapak semaian keganasan oleh Al-Qaeda, Hamas dan Ikhwanul Muslimin, serta komitmen Saudi untuk membanteras Hezbollah di Lubnan dan puak Houthi di Yaman untuk menekan Qatar kini tidak dapat dipegang oleh awam.

Adalah tidak mustahil, Saudi boleh mengerjakan Qatar memandangkan Bahrain, sekutu rapatnya tidak pernah berhenti menuntut Kepulauan Hawar, di pesisir luar Qatar, dan bandar Zubara, di sebelah utara Qatar. Meskipun Qatar berjaya menahan tuntutan tersebut dari menjadi krisis dengan membawa isu ini ke Mahkamah Antarabangsa (ICJ) dalam tahun 1991 tetapi penganugerahan Zubara kepada Qatar selalu dipandang dengan rasa tidak puas hati.

Campur tangan Saudi di Lubnan sejak dua minggu ini juga mengeruhkan keadaan di Timur Tengah. Dunia masih musykil dengan Perdana Menteri Lubnan, Saad Hariri, yang mengumumkan peletakan jawatannya di Riyadh dan diumumkan di stesen tv milik Saudi. Alasan yang diberikan adalah kerana campur tangan Iran di Lubnan sudah memuncak.

“Saudi fingerprints were seen all over Hariri’s resignation on Saturday. Hariri appeared on Saudi-owned Al-Arabiya TV in a recorded video from an undisclosed location, haltingly delivering a statement in which he accused Iran of meddling in Arab affairs and the Iran-backed Hezbollah of holding Lebanon hostage.”

Ini bermakna Saudi berasa berhak untuk mencampuri mana-mana urusan negara jirannya yang dirasakan mengganggu kepentingannya. Lebih menakutkan, ramai rakyat Lubnan yang percaya Hariri di perangkap, ditahan di Saudi dan dipaksa meletakkan jawatan. Hakikat bahawa Hariri masih belum pulang untuk menjelaskan mengapa beliau meletakkan jawatan secara tiba-tiba menjadikan khabar angin tersebut lebih ketara. Tambahan pula pembonekaan Hariri oleh Saudi bukan sesuatu yang baharu memandangkan beliau sangat bergantung kepada Saudi, khusus dari segi kewangan. Bayangkan Saudi boleh menekan pemimpin sebuah negara lain untuk melepaskan jawatan dengan mudah.

Adalah diketahui umum perniagaan Hariri di Saudi sangat bergantung kepada kumpulan tertentu di negara itu dan ada kemungkinan terjerumus sama dengan pertelagahan dalaman antara kerabat Saudi.

Pergeseran kuasa di Saudi

Minggu ini adalah minggu yang mengejutkan di Saudi. Adalah dilaporkan 17 putera dan kerabat atasan Saudi ditahan atas tuduhan korupsi. Mereka yang ditahan adalah antara lain Putera Alwaleed bin Talal (bawah), pemilik 95 peratus kepada Kingdom Holding, yang melabur dan memiliki saham dalam syarikat besar antarabangsa antara lain Citigroup, Twitter, Apple dan News Corp. Senarai lain turut melibatkan Khaled Al-Tuwaijri, Waleed Al-Ibrahim dan Putera Turki Bin Nasser.
Penganalisis berpendapat penahanan sejumlah besar kerabat Saudi ini lebih kerana perebutan kuasa di istana Saud berbanding isu yang diutarakan iaitu korupsi. Penahanan Putera Miteb bin Abdullah yang berpengaruh dan mempunyai banyak suara dalam ketenteraan dan pertahanan di negara itu bukan sesuatu yang tidak sengaja.

Serigala budiman

Dengan rekod buruk atau aneh Saudi mengganasi, menyekat, dan masuk campur kedaulatan negara lain, kerja-kerja membawa masuk Saudi ke dalam dakapan kita ini meskipun dengan sekadar menubuhkan sebuah ‘pusat keamanan’ sangat membimbangkan. Penggantungan berlebihan terhadap dana dan pelaburan dari Saudi juga perlu diberi perhatian memandangkan Saudi mempunyai rekod yang perlu dikhuatiri untuk jiran-jirannya.

Sesungguhnya kita boleh bermanja, bermesra dan berbaik dengan siapa pun. Akan tetapi rekod yang sedia ada perlu diberi perhatian. Ada banyak pengajaran tersedia untuk diamati jika kita membuka mata. Fakta satu, Arab adalah bangsa yang pertama memusuhi nabi, dan tergamak membunuh cucunda baginda Rasulullah SAW. Fakta dua, Arab adalah bangsa pertama menerima Islam setelah ditundukkan oleh Nabi Muhammad dengan pelbagai dialog dan akhirnya siri perang.

Dalam dongeng kanak-kanak di Barat, ada sebuah kisah seekor serigala yang menyamar sebagai nenek seorang budak perempuan. Ia memakai tudungan merah dan berusaha menjadi baik, budiman, dan penuh mesra. Sebetulnya, serigala itu tidak pun hairan dengan segala kemanjaan dan kemesraan anak tersebut. Niat serigala itu hanya satu, membaham anak kecil itu dan menelannya. Tulang rapuh dan daging muda anak itu menjadi dambaan. Hanya di waktu yang sangat genting barulah anak itu menyedari, serigala itu sudah berpura-pura menjadi nendanya yang dihormati. Dan kini dia siap siaga untuk menjadi habuan makanan.

Serigala itu boleh jadi berasal dari Barat, tetapi tidak mustahil pula Arab.

* FAISAL TEHRANI pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

No comments:

Post a Comment